Selasa, 31 Juli 2012

Isabella-Antara islam dan Kristian Di Spanyol 5

“Tuhan kami tida pernah berperang dalam peperangan apa pun juga dan tidak kahwin. Jadi persoalan ini tidak timbul.” jawab perempuan Kristian itu agak gugup.

“Meskipun Tuhan anda tidak pernah berperang dengan sesiapa pun atau berkahwin namun pengikut-pengikutnya iaitu orang-orang Kristian telah melakukan Perang Salib dan menjalani kehidupan berkeluarga. Sedangkan manusia sempurna menurut ukuran anda itu tidak menepati contoh yang standard bagi pengikut-pengikutnya dalam kedua-dua aspek keduniaan ini yang menjadi aspek penting dalam kehidupan manusia. Jadi, di mana letaknya perbezaan yang anda berikan kepada manusia sempurna dalam amali kehidupan orang-orang Kristian?” tanya Isabella.

Setelah diam sejurus lamanya, perempuan Kristian itu lalu berkata “Tuhan kami ialah contoh kehidupan rohaniah. Apa ada hubungannya dengan kehidupan fizikal?”

“Saya bersetuju bahwa Jesus Kristus itu diambil sebagai model kehidupan rohaniah yang cukup tinggi. Tetapi jangan anda lupa bahwa aspek rohani dan jasmani tidak boleh dipisahkan di dalam kehidupan manusia, tidak saja pada penyatuan keduanya tetapi bahagian yang terbesar daripada kedua itu dituntut oleh kehidupan jasmaniah. Kerana itu orang-orang Kristian terpaksa mencari seseorang lain sebagai model. Ini diikuti dengan logik bahwa Tuhan anda juga berkehendak kepada masalah yang utama ini. Tidak syak sedikit pun bahwa kehidupan Nabi Musa ialah kehidupan terhormat, sementara kehidupan Jesus Kristus pula kehidupan anggunan tetapi kehidupan nabi kami yang terakhir, Nabi Muhammad sallallah alaihi wassalam ialah kehidupan kesempurnaan. Kehidupannya dipenuhi dengan ibadat, salih dan sufi dan sebagai manusia dia menjadi contoh manusia dunia, seorang pedagang dan malah sebagai seorang raja juga. Nabi akhir zaman Muhammad sallallah alaihi wassalam menggembalai kambing pada masa kecilnya, agak dewasa sedikit dia berulang-alik ke Gua Hira dan beribadat di sana. Dia berdagang sampai di Syria, kemudian kahwin dengan Siti Khadijah. Baginda lalu berdakwah dari atas Bukit Faran dan di jalan-jalan di Mekah, lalu ke Taif, hidup dalam kumpulan suku Hijaz dan mengalami kesulitan dari musuh-musuhnya dan para penentangnya, menyantuni orang-orang yang sedang lapar, mengasuh anak-anak yatim dan janda-janda di dalam masyarakat. Kemudian berhijrah dari Mekah ke Madinah, mengadakan perjanjian antarabangsa dengan orang-orang Yahudi di Madinah, membina masjid, menyelesaikan perselisihan antara suku kaum, memimpin solat, memberi ceramah di berbagai-bagai tempat, melatih tentera dan mengatur siasat tentera di dalam peperangan Badar dan Uhud dan memimpin tentera sebagai panglima tertinggi dan telah memperlihatkan kebolehannya di dalam siasat peperangan. Baginda mengerjakan solat yang lama pada waktu malam sehingga kakinya bengkak-bengkak. 

Jadi daripada semua kenyataan ini cara, jalan dan model yang diperlukan di dalam kehidupan dunia terdapat pada diri baginda yang mulia, Nabi Muhammad sallallah alaihi wassalam, sebagai penggembala kambing juga sebagai seorang pedagang yang besar sama-sama dapat dijadikan contoh, juga sebagai pendakwah, pengembara dan penghijrah baginda boleh dijadikan modelnya. Bagi seorang yang taat kepada Allah yang bersara dari tugas, baginda menjadi petunjuk yang baik dan menjadi contoh bagi manusia duniawi dalam kehidupan berumahtangga. Ajarannya memberikan satu peraturan yang sempurna dalam kehidupan internasional juga bagi penduduk rimba. Bimbingannya merupakan cahaya. Perencanaan siasatnya menjadi petunjuk di medan peperangan dan baginda menjadi contoh kepada masyarakat dalam kehidupan di masa damai. Pendekkata tidak ada contoh lain yang dapat mengatasi kehidupan yang sempurna Nabi kami Muhammad sallallah alaihi wassalam di dalam rumahtangga, berdakwah, perniagaan, kepemimpinan, memberi nasihat dan mengimani solat, dalam hidup bersara, mengatur peperangan, menyusun undang-undang, memerintah sebagai raja, baik dalam masa gembira mahupun dalam masa berkabung, perkahwinan dan penceraian, hidup dan mati, mengajar dan mendidik anak-anak dan apa saja tugas yang dihadapi oleh manusia di dalam kehidupan beradab. Begitulah di dalam kehidupan yang sempurna dan juga di dalam keperluan kehidupan yang menggundahkan terdapat di dalam kehidupan Nabi Muhammad sallallah alaihi wassalam dan tidak terdapat di dalam kehidupan Nabi Musa dan Nabi Isa. Jadi dari sudut keadilan dan kejujuran maka kita harus mengakui bahwa dalam diri Nabi akhir zaman, Muhammad sallallah alaihi wassalam terhimpun semua tatasusila rohaniah dan jasmaniah kehidupan manusia yang agung dan anggun. Sesiapa saja manusia di dunia ini yang ingin mencari kebajikan dunia dan akhirat maka tidak ada jalan yang lain selain daripada mencari perlindungan di bawah bayang-bayangan nabi Muhammad sallallah alaihi wassalam yang luas, pengasih, pemurah dan budi pekerti yang tinggi dan adap sopan yang mulia.”

Seluruh hadirin di dalam perhimpunan itu diam tidak bergerak, terpesona dengan hujah-hujah yang dikeluarkan oleh Isabella secara lancar dan teratur. Malah perempuan Kristian itu juga yang mengaku boleh melakukan mukjizat terpukau seperti orang yang tidak sedarkan diri. Apabila Isabella mendapati perempuan Kristian itu telah terpukul dengan penuh kehinaan dan dalam keadaan dukacita yang amat sangat, dia pun meminta maaf mengucapkan selamat tinggal lalu meninggalkan tempat itu.

Menurut laporan yang diberikan oleh Abu Hafiz, anak muda terpelajar yang ikut menyaksikan perbahasan itu, kesan daripada hujah-hujah yang disampaikan oleh Isabella, sebahagian besar dari wanita Kristian yang mengikuti perbahasan tersebut dengan rela hati telah menerima Islam dan beberapa tahun kemudian perempuan Kristian itu pun juga beriman dengan keesaan Allah dan diislamkan oleh Isabella sendiri. Tetapi hal ini tidak berlaku sekaligus, ia mengambil masa bertahun-tahun lamanya bagi jiwa yang mahu dipimpin untuk datang ke bawah bayangan Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Sepanjang hayatnya, Isabella terus menyembahkan baktinya kepada keagungan Islam. Di satu pihak dia menutup mulut orang-orang Kristian dan di pihak lain pula dia mencurahkan ilmu pengetahuannya ke dalam dunia pembelajaran, Ilmu Hadis dan pentafsiran Kitab Suci Al-Quran. Beratus ribu cendekiawan Islam telah mendapat manfaat daripada ilmunya. Isabella telah hidup mencapai usia delapan puluh tahun dan telah menutup mata dalam keadaan tenang dan damai, diratapi oleh seluruh penduduk Sepanyol. Berjuta-juta orang telah mengiringi jenazahnya ke tempat persemadian yang terakhir. Orang-orang di tempat yang jauh ada yang melakukan solat ghaib untuk arwahnya dan memanjatkan doa ke hadirat Allah subhanahu wa taala agar rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang salih.

Sebagai penutup kisah ini kita juga dengan menundukkan kepala memberi hormat dan membaca Al-Fatihah untuk saudara Islam kita yang agung ini dan mudah-mudahan Allah subhanahu wa taala menerima amal ibadatnya dan menempatkan rohnya bersama orang-orang yang dikasihiNya. Amin

Related Post



0 komentar:

Posting Komentar

 

Site Info

Blog ini akan terus di update tiap hari, jangan lupa terus berkunjung untuk mendapatkan update nya...thanks

Smile

Welcome to my blog

AntaraIslamdanKristen Copyright © 2009 Template is Designed by Pengelana Agama Special for My BrotherYohanes Adi Susilo