Minggu, 04 Desember 2011

Isabella-Antara islam dan Kristian Di Spanyol 2

BAB 4 PERTEMUAN PERTAMA

Tidak lama sesudah Isabella meninggalkan tempat itu, Umar Lahmi, Maaz dan kawan-kawan mereka yang lain berpisah untuk pulang ke rumah masing-masing. Sesampai di rumah, mereka mentelaah Kitab Suci Al Quran dan Kitab Injil serta membuat catatan-catatan perkara yang penting untuk dijadikan bahan yang akan dibahaskan di dalam pertemuan esok hari. Pada pagi berikutnya iaitu pagi Ahad, berita tentang pertemuan itu telah tersebar dengan luas di seluruh kota.

Orang-orang Kristian dengan penuh hati-hati membuat persiapan yang teliti terutama di dalam menghadapi orangramai yang ingin ikut mendengar perbincangan tersebut. Hanya beberapa orang Islam saja yang dibenarkan masuk ke dalam gereja sedangkan yang lain-lain terpaksa pulang dengan perasaan kecewa. Umar Lahmi, Maaz dan beberapa orang cendekiawan Islam dibenarkan masuk sesuai dengan persetujuan yang telah dibuat lebih awal. Ketika mereka masuk, didapati hampir semua paderi yang terkemuka di Cordova ada di dalamnya dan sedang sibuk mengerjakan sembahyang.

Tidak lama kemudian upacara sembahyang itu pun selesai. Paderi-paderi lalu mengambil tempat duduk di suatu meja panjang yang tersedia, berhadapan dengan Umar Lahmi, Maaz dan kawan-kawannya. Isabella dengan semua kawan-kawannya pun ikut serta duduk bersama-sama.

Sesudah mengucapkan selamat datang dan terima kasih kerana telah menyahut pelawaan mereka, Michael, guru Isabella membuka pertermuan dengan memperkenalkan tiap-tiap orang paderi yang ada di meja persidangan itu. Salah seorang daripada mereka bernama Peter yang terkenal sebagai seorang ahli pengajian Arab dan kitab-kitab Islam.

“Kami diberitahu bahwa tuan-tuan mempunyai sedikit keraguan tentang agama Kristian dan telah bersetuju datang kemari untuk meminta penjelasan daripada kami. Tuan-tuan juga telah berjanji kalau penjelasan yang kami berikan itu boleh meyakinkan maka tuan-tuan akan meninggalkan agama Islam dan memeluk agama Kristian.” kata Michael.

“Kami sedikit pun tidak merasa ragu tentang kepercayaan dan ajaran-ajaran Kristian tetapi kami cukup yakin kepercayaan dan ajaran-ajaran itu tidak beralasan. Dalam pada itu pun jikalau tuan dapat memuaskan hati kami dengan penjelasan-penjelasan tentang agama tuan yang boleh meyakinkan maka kami bersedia masuk agama Kristian.”

Mendengar kata-kata Umar Lahmi itu, Michael lalu berpaling kepada Peter yang kelihatan lebih tua daripada yang lain. Peter yang sudah menulis banyak buku menentang agama Islam, dianggap orang yang paling berkebolehan untuk berdebat dengan orang Islam.

Peter dengan nada suara orang yang menguasai keadaan berkata, “Saya diberitahu bahwa bantahan tuan-tuan yang terutama sekali ialah tentang mengapa St Paul telah mengatakan hukum-hukum agama itu satu kutukan. Tetapi ini adalah satu perkara remeh dan tida lebih daripada satu isu sampingan saja. Tuan-tuan orang Muslim dan berimankan Quran dengan sendirinya pendapat tuan-tuan mengenai Tuhan Jesus Kristus dan agama Kristian mengikuti lunas-lunas Quran.

Umar Lahmi tersenyum kecil sebelum menjawab, “Saya sudah membuat definisi yang jelas di dalam surat saya tentang persoalan yang akan kita bincangkan seperti yang tuan sendiri sudah akui tetapi mengapa pula tuan bawa kepada perkara-perkara lain? Saya sudah menulis perbincangan ini akan berisar di sekitar hukum-hukum agama dan kutukan, jadi apa ada bantahan tuan tentang hal itu?”

Peter masih dengan nada suara yang agak kuat berkata,”Kami akan menjawab pertanyaan tuan tetapi lebih dulu biarlah kita bincangkan isu-isu yang dasar yang juga dari Quran tuan-tuan. Bukankah dalam Quran ada mengatakan tentang Tuhan Jesus Kristus kami sebagai Rohullah, Kalimatullah. Tidakkah ada tersebut di dalamnya bahwa dia pernah menghidupkan orang yang sudah mati? Jadi, apabila tuan percayakan Quran bagaimana pula boleh tuan-tuan meragui Tuhan Jesus sebagai ‘Putera Tuhan’?”

“Tuan telah memulai dengan perbincang yang agak menyimpang yang sedikit pun tidak ada kena-mengena dengan keraguan yang kami timbulkan.” kata Umar Lahmi. “Apa yang saya inginkan ialah untuk memahami signifikan hukum-hukum agama dan kutukan. Andaikata tuan bersedia mahu membincangkannya, silakan. Kalau tidak, kami akan meninggalkan tempat ini.” Umar Lahmi memandang muka sahabat-sahabatnya dan mereka semua menganggukkan kepala tanda bersetuju dengan keputusan itu.

“Saya mengemukakan Quran kepada tuan ialah supaya isu-isu dasar itu dibincangkan lebih dulu. Jikalau tuan mahu mengelakkan diri daripada persoalan dasar ini dan mahu membincangkan isu-isu sampingan, itu bererti tuan tidak dapat menjawabnya.” kata Peter dengan sikap angkuh.

Umar Lahmi segera menjawab, “Baiklah, tuan mahu membincangkan isu-isu dasar, terlepas daripada persoalan agama tuan dan mahu berselindung di balik AlQuran. Jikalau tuan mahu membincangkan isu-isu dasar, mari kita selesai ini dulu. Apakah Adam benar-benar ada melakukan satu dosa dan bila kita putuskan dia benar-benar ada berbuat dosa, maka patutlah kita bincangkan pula apakah dosa itu diperturunkan dari generasi ke generasi sampai meliputi seluruh umat manusia. Yakni, kerana dosa Adam itu, semua manusia dengan sendirinya ikut dibebani dosa? Jika keadaannya benar begitu, kita akan bincangkan bagaimana noda dosa itu dapat dihapuskan? Kemudian kita bincangkan pula tentang kesucian Nabi Isa, tentunya menurut Kitab Injil.

Sesudah itu tuan mesti buktikan kepada kami bahwa Jesus itu Tuhan dan hanya dia saja dapat memerdekakan manusia daripada dosa. Apabila semua ini dapat dijelaskan maka tuan mesti buktikan pula bahwa Jesus benar disalib dan kerana semua dosa manusia dia telah tinggal selama tiga hari di dalam neraka. Inilah yang patut dibahaskan dan bukan apa yang tersebut di dalam AlQuran tentang Nabi Isa.”

“Semua itu tidak relevan. Tidak ada perhubungannya dengan persoalan.” Peter menampik. “Apa yang saya maksudkan ialah untuk membuktikan dari Quran sendiri bahwa Jesus ‘Roh Allah’ dan ‘Kalam Allah’ dan telah menghidupkan orang yang sudah mati. Olehkerana itu, agama Kristian itu benar.”

Umar Lahmi menjadi tidak senang dengan putar belit paderi tua itu. Masa sudah berjalan beberapa minit, pokok perbincangan belum juga diperolehi. Dia lalu memandang kepada Isabella yang sejak perbincangan itu dimulai tidak pernah melepaskan matanya dari wajah itu.
Sambil menunjuk kepada Isabella, dia berkata, “Sekarang saya tunjuk nona ini sebagai hakim dan memintanya memberitahu mengapa kami diundang kemari? Nah! Saudari mesti katakan apa yang telah saya tulis di dalam surat saya dan kenapa saudari membawa kami kemari?”

Isabella yang sedang tenggelam di dalam lamunannya itu agak tersentak apabila ditunjuki Umar Lahmi serupa itu. Pipinya tiba-tiba menjadi merah.
Dengan suara yang rendah tetapi berwibawa, dia menjawab, “Sebenarnya, perbincangan ini ialah untuk menentukan apakah hukum-hukum agama itu satu kutukan ataupun tidak. Tetapi keberatan yang dikemukakan oleh bapa suci kami juga ada kebenarannya. Menurut pendapat saya, mula-mula kita bahaskan dulu keberatan-keberatan tuan kemudian barulah bapa suci memajukan pula soalan-soalan tentang Quran.”

Umar Lahmi mengangguk-anggukkan kepala tanda bersetuju dengan pendapat Isabella.
“Nah, saya bersetuju dengan pendapat nona. Sekarang saya buka gelanggang ini kepada tuan. Saya berjanji bahwa apbila tuan dapat menyelesaikan keberatan-keberatan kami dengan penjelasan yang meyakinkan, kami dengan tidak melewatkan waktu membenarkan tuan memajukan soalan-soalan secara umum. Tapi apabila saya berjanji mahu menganut agama Kristian, saya fikir tidak perlu lagi kita berbahas panjang-panjang.”
Umar Lahmi menutup kata-katanya itu dengan senyum kecil dan memandang Isabella dengan ekor matanya. Isabella yang dapat melihat jelingan Umar Lahmi itu merasa tersindir.

“Baiklah,” ujar Peter, “sebutlah soalan-soalan tuan dengan jelas bersama-sama dengan pendirian tuan mengenainya.”

“Tuan boleh menjawab soalan saya satu persatu, persoalan demi persoalan. Ini akan menjadi lebih jelas.: kata Umar Lahmi. “Mula-mula, cuba beritahu saya apakah ‘jangan mencuri, jangan membunuh, jangan menimbulkan kesukaran kepada tentangga dan lain-lainnya’ itu merupakan firman-firman Tuhan dan apakah ada kaitannya pula dengan hukum-hukum agama?”

“Sudah tentu. Semua itu ada kaitan dengan undang-undang agama.” jawab Peter dengan cepat.
“Apakah pula dikri St Paul tentang hukum-hukum agama?” tanya Umar Lahmi lagi.
“Dikri bagaimana? Saya tidak faham.” jawab Peter, mengangkat muka memandang Umar Lahmi seperti hairan.
“Tuan faham benar-benar perkara itu.” kata Umar Lahmi dengan suara agak keras sedikit. “Cuma tuan mahu mengelak daripada menjawabnya. Katakan saja bahwa St Paul telah menganggap hukum-hukum agama itu sebagai satu kutukan.”

“St Paul menganggap hukum-hukum agama itu sebagai kutukan dari sudut bahwa inti hukum agama itu adalah bahagian daripada Jesus Kristus dan betapa bodoh apabila inti ditinggalkan sedangkan kulitnya dikejar-kejar.”
“Begitulah pula yang saya maksudkan.” jawab Umar Lahmi. “St Paul yang menganggap Jesus sebagai jiwa dan hukum-hukum agama sebagai tubuh telah mengatakan hukum-hukum agama itu sebagai satu kutukan dan apabila tuan juga berkata Firman Perjanjian Lama ada kaitannya dengan hukum-hukum agama maka menahan diri dari membunuh dan berzina juga adalah satu kutukan.”

Mendengar hujah Umar Lahmi itu, Peter, paderi tua, kelihatan resah sedikit tetapi dia menjawab dengan satu dalih.
“Perkara ini sebenarnya merupakan satu perkara ghaib dan tuan tidak dapat memahaminya tanpa bantuan dari ‘Roh Kudus’ dan tidak semestinya pula bahwa sesuatu problem yang tidak dapat difahami itu merupakan perkara salah. St Paul telah menganggap hukum-hukum agama secara lahiriahnya satu kutukan dan tidak pula tertuju kepada semua bentuk hukum agama.”
“Benar. Memang betul St Paul mengatakan hukum-hukum agama pada lahiriahnya satu kutukan. Sekarang cuba terangkan kepada saya. Jikalau tidak mencuri, tidak berzina, tidak menganggu keluarga dan lain-lain lagi itu adakah hukum-hukum agama yang lahiriah atau dalaman, rohaniah dan moral?” tanya Umar Lahmi.
“Tuan hanya menumpukan soalan kepada topik yang sama.” Peter membantah. “Cuba dengar. Apa yang dikatakan oleh Jesus Kristus adalah lebih baik daripada yang dikatakan oleh St Paul. Tuhan kami menyuruh kami mengikut Firman-Firman Perjanjian Lama.* “ ( *sila lihat Injil, Matius Bab 5:19 sampai Bab 10:25 )“Iaitu memperoleh keselamatan maka perlu mengikuti Perjanjian Lama juga.” kata Umar Lahmi. “Kalau sudah memang demikian keadaannya, mengapa pula tuan menimbulkan perkara penebusan dosa dengan menyalibkan ‘Putera Tuhan’? Iaitu, mengapa Penebusan Dosa Momok ini apabila Perjanjian Lama perlu diikuti? Apakah perlu mengikuti Firman-Firman Perjanjian Lama malah sesudah Kristus menebus dosa?”
“Kami tidak tahu apa-apa.” jawab Peter dengan suara perlahan. “Kecuali Tuhan kami telah mengarahkan kami mengikut Perjanjian Lama. Tetapi keselamatan tidak dapat diperoleh hanya semata-mata mengikuti Perjanjian Lama tanpa ada penebusan dosa.”
“Jadi, Nabi Musa, Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Yusuf, Nabi Nuh dan lain-lain nabi itu kehilanganlah keselamatan mereka kerana jalan keselamatan mereka satu-satunya hanya dengan mengikuti hukum-hukum agama?” tanya Umar Lahmi. “Begitu juga dengan para pengikutnya, keselamatan mereka dicabut.” sambungnya lagi.
“Sebelum kedatangan Kristus, jalan keselamatan satu-satunya ialah dengan mengikuti hukum-hukum agama tetapi penebusan dosa oleh Jesus Kristus telah mengubahnya dan sekarang jalan yang ada hanyalah penebusan dosa.” jawab Peter.Umar Lahmi tersenyum mendengar jawaban Peter yang berbelit-belit itu. Dia memandang muka Isabella dan muka itu walaupun kelihatan tenang tetapi sedang tenggelam dalam satu fikiran yang membingungkan. Umar Lahmi memandang muka Peter, ditenung matanya.

“Mula-mula tuan menolak apa yang sudah dikatakan oleh St Paul iaitu hukum-hukum agama bukan satu kutukan kemudian tuan menolak hukum-hukum agama sebagai dasar keselamatan. Dapatkah tuan mengemukakan kata-kata ‘wali’ yang lain untuk membuktikan bahwa ucapan St Paul ‘hukum-hukum agama itu satu kutukan’ tidak benar?”

Tiba-tiba paderi kurus yang bermuka cengkung dari sudut sebelah kiri menyampuk dengan suara yang lantang.
“Tuan-tuan! Percakapan tentang hal ini adalah perbuatan murtad dan kufur. Semua yang dibincangkan berkaitan dengan perkara-perkara ghaib. St Paul memang mengatakan hukum-hukum agama satu kutukan dan kata-kata itu benar tetapi tuan-tuan tidak dapat memahami perkara-perkara ghaib serupa ini. Jalan keselamatan kami ialah ketuhanan Kristus dan penebusan dosa kerana Jesus bebas daripada dosa dan ia penjelmaan Tuhan, yang kerana kesayangan dan perbuatan baiknya menderita di atas salib sebagai ganti kita semua dan memberi kita keselamatan.”

“Jangan itku rasa hati dalam perselisihan persahabatan.” ujar paderi yang bertubuh gemuk dan berkepala bulat dan licin. Dia duduk di sebelah kanan Peter. “Tuan sudah mulai menyangkal St Paul.”
“Inilah hasil perbincangan yang tidak benar dan tidak beralasan. Tuan kini telah mula membicarakan soal ketuhanan dan penebusan dosa.” kata Umar Lahmi. “Eloklah kita selesaikan lebih dulu perbahasan mengenai hukum-hukum agama dan kutukan.”
“Kami telah memberikan jawaban yang meyakinkan kepada tuan. Jadi, sekarang kami berikan masa selama delapan hari untuk tuan beristirehat. Andaikata keraguan tuan-tuan masih belum dapat dipecahkan pada masa itu, tuan-tuan boleh datang lagi kemari.” kata Peter.

Umar Lahmi tidak menghiraukan kata-kata paderi tua itu.
Sebaliknya, dia bertanya, “Tuan tidak menganggap hukum-hukum agama sebagai satu kutukan dan kolega tuan pula mengatakan ia itu satu kutukan dan St Paul berada di pihat yang benar. Jadi, mana satu di antara tuan-tuan ini yang benar?”
“Orang yang mengatakan hal ini tidak ada kaitannya dengan misteri agama Kristian. Jangan tuan pedulikan kata-kata mereka itu.” jawab Peter.

Umar memandang kepada Isabella.
“Nah, cuba terangkan kepada saya yang mana benar di antara mereka ini dan apakah St Paul itu silap kerana mengatakan hukum-hukum agama satu kutukan?”
Sekali lagi, Isabella tersentak apabila Umar Lahmi memajukan pertanyaan kepadanya.
“Saya datang kemari untuk mendengar perbahasan dan bukan untuk ikut campur. Tapi saya akan meminta kepada guru saya, Bapa Michael, untuk menyelesaikan masalah ini kerana beliau seorang ilmuwan yang agung dan cendekiawan pula, kerana sebagai sebahagian daripada tamu-tamu terhormat yang lain saya sendiri pun belum begitu faham tentang hal ini.”
Kata-kata Isabella itu bagai petir di tengah hari. Semua orang yang hadir di dalam gereja amat terperanjat mendengarnya, lebih-lebih lagi para paderi yang duduk di meja persidangan. Mereka memandang muka Isabella dengan pandangan tajam yang berisi kehairanan. Di tempat para penonton telah timbul keributan kecil.

Melihat keadaan yang mula kacau, Michael bangun dan berkata, “Saudara-saudara, kita semua berhimpun di sini untuk mencari kebenaran dan sesungguhnya ini adalah satu tugas yang berfaedah. Tetapi untuk tujuan ini, maka perlulah kita mempunyai hati yang tulus ikhlas dan satu keinginan untuk menerima kebenaran. Masalah keimanan yang sedemikian itu tidak akan dapat dicapai oleh seseorang dengan usahanya sendiri tanpa pertolongan Tuhan. Oleh sebab itu, kita harus berdoa kepada Tuhan dengan setulus hati agar Dia menunjukkan kebenarn kepada kita melalui bantuan Roh Kudus dan menampakkan kepada kita segala misteri agama Kristian.”
Michael terpaksa berhenti sejenak kerana dari para hadirin Kristian terdengar ucapan Amen sedarun. Kemudian dia menyambung semua.
“Saudara-saudara. Apakah hukum-hukum agama itu satu kutukan atau tidak adalah satu soalan titik-bengik, tidak penting. Persoalan yang sebenarnya ialah saudara-saudara Muslim kita ini tidak mengetahui tentang kepercayaan Kristian dan dasar-dasar pokoknya, sebab itulah mereka gemar berpolemik. Intisari agama kita hanya terletak pada dua kalimat, iaitu ketuhanan Kristus dan penebusan dosa. Seseorang yang memahami erti kedua kalimat ini maka fahamlah dia semua rahsia agama Kristian.

Betapa sayangnya Tuhan kepada kita sehingga Dia mengirim putera tunggalnya bagi keselamatan kita untuk memikul semua derita manusia di dunia ini dan akhir sekali Dia telah dibunuh di atas salib sebagai penebus semua dosa kita. Oleh sebab itu saya ingin memohon kepada sahabat saya, Umar Lahmi, dan kawan-kawannya supaya membatalkan saja perbahasan yang sia-sia mengenai hukum-hukum agama dan kutukan dan memikirkan tentang keperibadian suci Tuhan Jesus kita dan penebusan dosanya yang tidak ada tolok bandingan. Marilah masuk agama Kristian.”

Umar Lahmi merasa gusar dengan ucapan Michael yang sama sekali tidak diduganya itu lalu dengan segera dia menjawab, “Kami datang kemari bukanlah kerana mahu bercakap perkara-perkara yang kosong. Kami semua ada prinsip dan kami mahu membahaskan masalah-masalah dasar. Kami telah pun menjelaskan pokok perbincangan kita di dalam surat kami dan saudari Isabella ini yang menjadi saksinya. Jadi, kalau tuan mahu membatalkan pokok persoalan awal kita itu dan mahu membincangkan entang ketuhanan Kristus dan penebusan dosanya, saya juga bersedia asal saja tuan tuliskan bahwa kita batalkan masalah hukum-hukum agama itu dan kita patut bincangkan tentang ketuhanan Kristus dan penebusan dosanya pula.”
“Kami tidak bermaksud bahwa tuan tidak boleh bincangkan masalah-masalah itu,” kata Peter berdalih, “cuma kita patut tinggalkan isu-isu sampingan dan bincangkan masalah-masalah dasar.”
Umar Lahmi mulai jengkel. “Jadi, kenapa tuan-tuan undang kami kemari? Gereja dan masjid tidak perlu diperbahaskan. Kalau tuan-tuan tidak mahu berbincang, katakanlah dengan berterus terang supaya masa kami terbuang tidak sia-sia begini.”
“Tuan sudah salah faham tentang kata-kata Peter Suci. Dia tidak bermaksud kita tutup terus perbincangan ini. Dia cuma mahu menekankan bahwa pertanyaan-pertanyaan mengenai masalah dasar yang dapat tuan fikirkan, tuan kemukakan kepadanya. Tapi sekarang sudah tengah hari dan tuan-tuan mungkin akan pergi makan. Bila waktu yang sebaik-baiknya tuan-tuan dapat kemari lagi?” Michael cuba membujuk.

“Sekaranglah waktu yang sebaik-baiknya.” ujar Umar Lahmi. “Tidak sesiapa yang boleh menentukan apakah kita akan mendapat kesempatan yang berfaedah seperi ini lagi.”
“Tapi tuan-tuan akan menunaikan solat?” kata Michael lagi.
“Kami boleh bersolat di gereja ini.” jawab Umar Lahmi.
Peter lalu mencelah. “Saya fikir lebih baik kita berbincang lagi hari Ahad depan.”
“Saya berpendapat perbincangan ini tidak boleh ditangguhkan terlalu lama. Mungkin kita mendapat petunjuk dari Allah.” kata Umar Lahmi.
“Baiklah. Kita sambung perbincangan ini esok pada masa yang sama sampai tengah hari.”
“Jika perbincangan ini mahu ditangguhkan sampai esok,” Isabella tiba-tiba ikut campur, “tidak usah diberhentikan sampai tengah hari tetapi dilanjutkan sehingga petang. Barangkali kita boleh sampai kepada sesuatu keputusan.”
Michael segera menjawab, “Sama sekali tidak. Tidakkah kita ada membuat kerja-kerja lain juga?”
“Saya fikir tidak ada kerja lain yang lebih penting daripada perbincangan ini.” jawab Isabella, tidak mahu kalah.

Orangramai mulai bising. Akhirnya, diadakan satu perbincangan kecil di antara para paderi dan Umar Lahmi serta sahabat-sahabatnya. Mereka membuat keputusan akan menghentikan perbincangan hari itu sampai di situ saja dan akan disambung semula esok dari pagi sampai ke tengah hari. Pertemuan yang pertama itu pun berakhir. Setelah mengucapkan terima kasih kepada semua orang-orang Kristian, Umar Lahmi dan sahabat-sahabatnya meninggalkan gereja besar.

Isabella dan para paderi lain masih tinggal sehingga semua hadirin keluar meninggalkan tempat itu, pulang ke rumah masing-masing.
Setelah orang-orang lain habis keluar, paderi yang berbadan kurus bermuka cengkung bangun lalu berjalan mendekati Isabella.
“Amat mendukacitakan yang kamu telah memberi kesempatan kepada orang-orang kafir itu untuk mengemukakan keraguan mereka dan mengejek agama Kristian.”
Belum sempat Isabella menjawab, paderi itu berjalan ke tempat Michael.
“Satu-satunya cara mahu melayani orang-orang murtad itu ialah meletakkan Quran di hadapan mereka. Peter Suci telah berbuat serupa itu pada mulanya tetapi malang, mereka menggelecek keluar dan membahaskan tentang hukum-hukum agama. Kalau esok terjadi lagi yang serupa, alamat kita akan dikecewakan dengan teruk kerana mereka tanyakan ialah tentang rahsia ketuhanan yang tidak siapa pun tahu kecuali wali-wali saja.”
“Sebetulnya perbincangan itu sejak awal lagi telah menyimpang ke saluran salah kalau tidak mereka telah tunduk oleh Quran mereka sendiri.” kata Michael menyampuk paderi kurus itu. “Bukankah Quran ada mengatakan yang Tuhan Jesus kita itu ‘pembawa hidup’ dan menghidupkan semula yang sudah mati? Bukankah Quran menyebutnya ‘Roh Allah’ dan ‘Kalimat Allah’?
Peter kemudian berkata, “Pokok perbincangan esok hari sudah ditetapkan. Iaitu mengenai ketuhanan Kristus dan penebusan dosa. Aku dengan licik telah memesongkan mereka ke pokok persoalan lain tetapi kau, Michael, telah membawa mereka kembali ke persoalan itu.”
“Tuan jangan salahkan saya. Itu semua perbuatan tuan sendiri.” jawab Michael menangkis tuduhan paderi tua itu.
“Buat apa lagi kita memuaskan nafsu dengan perbahalan sesama sendiri.” kata seorang paderi lain. “Kita tunggu esok dalam perbahasan tentang ketuhanan Jesus. Agama Kristian kita bukan seperti bubur lembutnya boleh ditelan dengan sekali teguk saja.”
Dia bangun dan meminta diri. Semua paderi pun ikut meminta diri dan meninggalkan gereja. Mereka pulang ke tempat masing-masing dengan membawa berbagai-bagai mcam fikiran.

Isabella dan ketiga orang sahabatnya berjalan di belakan paderi-paderi itu. Dalam masa berjalan itu, dia berkata kepada sahabat-sahabatnya.
“Cuba kalian lihat. Di belakang orang-orang Muslim, mereka bercakap besar bahwa orang-orang Muslim tidak akan dapat berhadapan dengan mereka. Tetapi bila duduk berhadapan, tembelang mereka terdedah semuanya. Aku sangat menyesal bapaku terpaksa meninggalkan gereja sebaik saja selesai dia memimpin sembahyang kerana dia terlalu percaya dengan kebolehan dan ilmu Bapa Michael dan Bapa Peter. Kalau tidak, dia tentu boleh tutup mulut orang-orang Muslim itu.”
“Sebenarnya, masalah itu terlalu berat, apakah bapamu sanggup menghadapinya?” Salah seorang sahabatnya menyahut.
Seorang lagi mencelah, “Sebenarnya, kepercayaan dan dogma kita terlalu kabur. Kalau tidak masakan paderi-paderi kita itu terpukul begitu teruk?”
“Minta dijauhkan Tuhan! Baru saja sekali berbahas kamu berdua sudah mula berputus asa. Kepercayaan kita cukup teguh asasnya tetapi mesti ada seseorang yang boleh menjelaskannya. Lihat saja esok nanti. Bila ketuhanan Kristus dibahaskan betapa teruk mereka akan dihentam.”

Mereka lalu berpisah di persimpangan jalan. Masing-masing pulang ke rumahnya


Bab 5 pertemuan ke dua

Pada pagi Isnin, para paderi mula datang ke gereja besar. Pada hari itu juga, bersama-sama Isabella, ikut hadir perempuan-perempuan Kristian yang ingin mendengar perbincangan. Ruang sembahyang gereja sudah penuh dengan penonton lelaki dan perempuan, tua dan muda. Di meja panjang yang berhampiran dengan podium tempat paderi besar membaca khutbah sudah duduk para paderi yang ikut di dalam perbincangan hari kelmarin, diketuai oleh paderi tua Peter dan pembantu kanannya, Michael. Isabella ikut bersama-sama mereka. Tepat jam delapan, Umar Lahmi dan sahabat-sahabatnya muncul di pintu depan gereja. Selain daripada Maaz dan penyokong-penyokong yang ikut dalam perbincangan pada hari kelmarin yang memang sudah dikenali, ada beberapa orang muka baru. Ini membuat para paderi bercakap berbisik-bisik sesama sendiri. Mereka kelihatan agak gusar tetapi tidak dihiraukan oleh Umar Lahmi. Dia segera mengambil tempat duduknya berhadapan dengan paderi-paderi itu.

Sebaik saja selesa duduknya, Umar Lahmi pun berkata, “Kelmarin kita telah membuat keputusan akan berbahas pada hari ini mengenai ketuhanan Kristus dan penebusan dosa. Oleh sebab agak sukar mahu membincangkan kedua-dua masalah ini sekaligus maka ada baiknya kita bincangkan secara berasingan.”
Peter segera menjawab, “Kedua-dua masalah ini sebenarnya satu dan saling berkait. Jadi, tuan boleh pilih mana satu yang tuan suka.”
“Terima Kasih.” kata Umar Lahmi.
Dia lalu membaca beberapa ayat dari Surat Al-Furqan. Wajah Isabella tiba-tiba berubah. Kulit mukanya yang putih bersih menjadi merah seperti bunga raya kembang pagi. Bacaan Umar Lahmi terhenti apabila dia mendengar ada benda yang jatuh tidak jauh dari tempat duduknya. Dia yang sedang berpejam segera membuka mata dan dilihat sahabat Isabella sedang menolong mengangkat Isabella duduk. Seluruh hadirin menjadi gempar dan berdiri melihat ke depan.

Maaz membisikkan ke telinga Umar Lahmi memberitahu bahwa anak gadis itu terlalu terpesona dengan ayat-ayat AlQuran yang dibacanya. Peter dan Michael bukan main lagi terkejut melihat keadaan Isabella itu. Mereka serentak bertanya sebab musabab terjadi serupa itu tetapi Isabella tidak menjawab. Hanya beberapa titik airmata jatuh meleleh di atas pipinya yang masih merah. Isabella cuba menenangkan dirinya dengan keadaan yg agak payah. Dia memberitahu sahabatnya bahwa sejak bulan yang lalu dia mendapat serangan tiba-tiba serupa itu. Dia memberi isyarat supaya mereka jangan menghiraukan keadaannya. Mereka boleh meneruskan perbincangan. Sebahagian daripada paderi yang duduk di meja mencurigainya.

“Dia tidak apa-apa,” kata sahabat Isabella, “dia selalu mendapat serangan tiba-tiba serupa itu.”
Keterangan sahabat Isabella telah dapat mengikis sangkaan para paderi bahwa Isabella sudah mula terpengaruh dengan Islam. Setelah berhenti sejenak, Umar Lahmi menyambung bacaannya.
Dia berdiri lalu berkata, “Tuan-tuan, kami telah diberitahu bahwa asas prinsip agama Kristen ialah ketuhanan Kristus dan penebusan dosa. Jadi saya ingin majukan satu pertanyaan yang boleh menghuraikan masalah ketuhanan Kristus. Pertanyaan itu ialah: apa keperluannya yang khusus maka ‘Putera Tuhan’ membuat pengorbanan bagi penebusan dosa? Kalau untuk tujuan itu saja, orang alim yang lain juga boleh dipilih untuk mengorbankan jiwanya sebagai ‘penebusan dosa semua orang yang berdosa’. Apa sebab secara istimewa ‘Putera Tuhan’ telah disalib?”

Para paderi telah berbisik sesama sendiri, berbincang perlahan-lahan. Sejurus kemudian, mereka memilih Peter untuk menjawab tetapi dia berada dalam keadaan bingung. Namun sebagai sikap kebapaan, dia bangun juga dan bercakap dengan lidah yang terketar-ketar.
“Untuk penebusan dosa, ‘Putera Tuhan’ diperlukan kerana orang lain baik dia nabi atau rasul penuh dengan dosa. Orang yang ada dosa tidak dapat menebus dosa orang lain. Kerana Tuhan Jesus Kristus satu-satunya ‘Putera Tuhan’ dan bebas dari dosa maka dia dikorbankan untuk kepentingan semua oang yang berdosa.”
“Baiklah,’ kata Umar Lahmi, “cuba terangkan apa yang disalib. Apakah ketuhanan yang disalibkan untuk penebusan dosa ataupun kemanusiaan yang ada pada Kristus? Jikalau ketuhanan Kristus yang disalibkan maka bererti bahwa Tuhan yang tunggal dan tanpa sekutu itu memikul semua beban seksaan penyaliban dan kematian datang ke atas peribadi Tuhan yakni Tuhan sudah mati. Tetapi kalau kemanusiaan di dalam Kristus yang disalib, jawaban tuan sudah hilang semua kekuatannya kerana kalau begitu caranya maka penyaliban manusia adalah lebih cocok dan bukan Tuhan kerana kedua-duanya menunjukkan akan kemanusiaan di dalam Kristus bukan ketuhanannya yang dikorbankan.”

“Sudah tentu. Tuhan Jesus merupakan ketuhanan yang sempurna dan kemanusiaan yang sempurna. Kedua-dua sifat ini terhimpun dengan baik di dalam dirinya. Tetapi kemanusiaannya seperti juga dengan ketuhanannya bebas daripada dosa dan sebab itu pengorbanannya amat perlu kerana manusia lain semuanya bergelimang dosa. Dengan demikian mereka tidak sesuai untuk penebusan dosa.” kata Peter.
“Itulah,” jawab Umar Lahmi, “kerana tidak ada manusia di dalam dunia ini yang bebas daripada dosa maka Tuhan sendiri terpaksa turun ke dunia dan ketuhanannya tidak disalib tetapi kemanusiaannya. Andaikata seorang manusia yang bebas daripada dosa diperlukan untuk menebus dosa, mengapa Tuhan tidak cipta seorang manusia yg bersih sehingga tidak payah Tuhan sendiri mati di atas tiang salib kerena penebusan dosa.”
Peter menjawab, “Tuhan saja yang mengetahui perkara yang ghaib. Kita tidak boleh kata kenapa Dia tidak berbuat serupa itu dan kenapa Dia sendiri datang ke duni untuk tujuan itu. Tetapi tentang hal ini, kami tahu bahwa Tuhan datang ke dunia untuk menebus dosa untuk menunjukkan kasihsayangNya yang agung terhadap kemanusiaan. Bahwa sayangnya Tuhan kepada makhluNya sampai ke tingkatan mengutus putera tunggalNya untuk menyerahkan nyawa sebagai galang ganti manusia-manusia lain. Tujuan ini tentu tidak akan tercapai kalau hanya dengan mengutus orang lain.”
“Jikalau kasih sayang Tuhan sudah sedemikian besar kepada makhlukNya, kenapa Dia tidak mengutus ‘puteranya’ itu awal-awal lagi untuk disalib? Apakah tidak ada manusia sebelum Kristus yang patut dipedulikan oleh Tuhan? Apa sebab Dia baru menunjukkan kasihsayangNya itu setelah beribu-ribu tahun berlalu?” Umar Lahmi memajukan pertanyaan tanpa melepaskan peluang.

Peter menjadi serba salah. Dia lalu cuba melepaskan dirinya dengan menjawab, “Kita tidak tahu tentang keghaiban ini. Misteri Tuhan hanyalah diketahui Tuhan saja.”
“Pertanyaan saya masih belum berjawab. Rujukan kepada keghaiban berulang-ulang tidak akan dapat menyelesaikan masalah. Nah, cuba katakan saja, kalaulah hanya kerana kemanusiaan penyaliban itu dilakukan maka kedatangan Tuhan ke dunia adalah sia-sia belaka. Orang lain pun boleh dikorbankan juga.”
“Saya sudah menjawab,” ujar Peter, “manusia tidak dapat dijadikan penebus dosa kerana dia sendiri bergelumang dengan dosa. Kemanusiaan Kristus sesuai untuk penebusan dosa kerana dia adalah penjelmaan kemurnian dan tidak berdosa.”
“Kerana kemanusiaan Kristus murni dan tidak berdosa maka dia menjadi perlu untuk dipikulkan beban dosa seluruh manusia ke atas pundaknya.” Umar Lahmi berhujah. “Tuan paderi yang mulia, logika tuan itu sedikit pun tidak meyakinkan malah kepada tuan sendiri juga. Sekarang cuba terangkan, apa salahnya jikalau ‘Putera Tuhan’ ini berbuat sesuatu yang lebih baik yang boleh menebus dosa semua orang daripada dia dibebankan dengan dosa-dosa itu? Dengan jalan itu, tidaklah payah Kristus yang tidak berdosa memikul beban dosa orang lain, tidak perlu dia disalib dan tidaklah timbul persengketaan tentang ketuhanan dan kemanusiaan. Penawar bagi dosa ialah kebajikan, kedatangan Kristus ke dunia ini sepatutnya membuat kebajikan-kebajikan sebagai penebus semua dosa dan bukan membunuh dirinya untuk penebusan dosa.”

“Kita tidak dapat menasihati Tuhan. Dia berbuat apa yang disukaiNya. Satu kekurangan ajar kalau mahu mencapai darjat Tuhan.” Peter menjawab.
Umar Lahmi tidak menghiraukan jawaban Peter yang kasar. Sebaliknya dia berkata, “Tuan tahu bahwa Kristus dilahirkan dari rahim Maryam Perawan. Nah, apakah kelahiran itu ada pertaliannya dengan manusia dan Tuhan yakni apakah yang dilahirkan itu ‘Tuhan’ atau ‘manusia’?”
“Tuhan bebas daripada cacat kelahiran. Kemanusiaan di dalam Kristus itulah yang dilahirkan.” jawab Peter dengan nada gugup.
“Siapa yang mati di atas salib? Tuhan atau manusia?”
“Tuhan itu bebas dari cacat kematian. Manusialah yang mati di atas salib. Iaitu kemanusiaan Kristus.” jawab Peter lagi.
“Kalau begitu,” kata Umar Lahmi, “kelahiran dan kematian ada pertalian dengan kemanusiaan Kristus dan bukan dengan ketuhanannya.”
“Benar. Memang benar.” jawab Peter dengan cepat dan bersungguh-sungguh.
Umar Lahmi lalu mencapa Kitab Injil yang terletak di hadapan Michael. “Maafkan saya. Saya minta pinjam sebentar.”
Michael tidak sempat menjawab, Kitab Injil itu sudah ada di dalam tangan Umar Lahmi dan sedang membuka halamannya. Para paderi memandang kejadian itu dengan perasaan terkejut dan tanpa berkata bertukar-tukar pandangan antara satu dengan yang lain. Isabella semakin tertarik dengan perjalanan perbincangan itu dan dengan diam-diam dia mengagumi kepintaran dan keluasan ilmu Umar Lahmi.

Umar Lahmi membuka pada Injil Ayub bab 15:14.
“Cuba lihat, di sini ada tertulis ‘Masakan manusia bersih, masakan benar yang lahir dari perempuan?’ dan kerana kelahiran itu bukan bersifat ketuhanan tetapi kemanusiaan maka mengikut pendapat Ayub, kemanusiaan Kristus juga bergelimang dosa.” Umar Lahmi membuka halaman lain pula.
“Dan lihat apa yang tertulis pada kitab Roma 6:23 bahwa ‘upah dosa ialah maut’ yakni kematian ialah bukti bahwa yang mati itu penuh dengan dosa. Oleh sebab itu timbul lagi pertanyaan: apakah sebab Tuhan tidak menyalibkan orang lain yang berdosa supaya ketuhanannya dapat diselamatkan? Selanjutnya, menurut tuan seseorang yang berdosa tidak boleh menebus dosa orang lain, jadi jelaslah Kristus tidak sesuai untuk penebusan dosa.”
Peter kelihatan rusuh dan peluh-peluh renik memancut keluar dari dahi dan pipinya.
“Saya telah katakan bahwa semua ini adalah perkara-perkara ghaib ketuhanan. Tuhan berbuat apa yang disukaiNya. Bagaimana tuan atau saya boleh mengkritikNya?”
Umar Lahmi dengan suara lantang yang dapat didengar oleh semua yang hadir berkata, “Jikalau agama tuan hanya berdasarkan kepada keghaiban ketuhanan saja, kenapa tuan jemput kami kemari, menghabiskan masa tuan dan juga masa kami dengan sia-sia saja?”

Ucapan Umar Lahmi yang lantang itu telah menimbulkan keributan di tempat penonton. Isabella yang memang menaruh minat kepada soal-soal teologi, mendengar dengan penuh perhatian tiap-tiap patah perkataan yang keluar dari mulut Umar Lahmi. Terguris di dalam hatinya rasa hairan pada Peter Suci yang amat dihormatinya itu, kenapa apabila dia tidak dapat menjawab sesuatu masalah yang ditimbulkan oleh lawannya, dia lalu lari berselindung di balik tabir misteri ketuhanan. Keributan di tempat penonton semakin menjadi-jadi. Mereka tidak sabar menunggu jawaban dari paderinya tentang kata-kata Umar Lahmi yang agak pedas itu.

Tiba-tiba Michael bangun sambil memberi isyarat dengan tangannya supaya penonton berdiam diri.
Dia berkata, “Saudara-saudara. Hari ini ialah hari konfrontasi antara agama Kristian dengan agama Islam. Saudara-saudara tentu telah tahu apa itu agama Islam? Agama itu mewajibkan kahwin empat isteri. Membunuh orang-orang bukan Islam tanpa memandang bulu dan Rasulnya kahwin dengan sebelas perempuan dan …”
Umar Lahmi melompat bangun dan menentang Michael dengan kata-kata, “Kalau tuan-tuan tidak dapat menjawab hujah saya katakan dengan berterus-terang dan kemudian apa saja kritikan tuan-tuan terhadap Islam boleh kemukakan, saya akan menjawab satu persatu.”
Dia kemudian membalikkan badan memandang kepada hadirin.
“Di mana letaknya moral tuan-tuan ini. Kami dipanggil kemari ke tempat tuan-tuan, pertanyaan kami tidak dijawab sebaliknya mengeluarkan kata-kata yang menghina.” Dia berpaling kepada Isabella, “Sekarang katakan apakah sikap para paderi saudari ini wajar?”

Isabella dengan segera bangun dan dengan perkataan yang terpatah-patah berkata, “Saya telah mengikuti perbincangan ini dari awal sampai ke akhir. Saya merasa dukacita bahwa Bapa Suci Peter mahupun Bapa Michael tida pernah dapat memberi jawaban kepada hujah-hujah yang dikemukakan. Permintaan saudara Umar Lahmi adalah adil” Sama ada pertanyaan-pertanyaan itu diberi jawaban yang meyakinkan ataupun mengaku kalah saja. Tetapi saya berpendapat tuan-tuan tidak dapat melakukannya. Jadi lebih baik perbahasan ini diselesaikan sekrang dengan ketentuan bahwa agama Kristian tidak boleh dipersenda-sendakan dan betapapun juga pengetahuan atau ilmu tuan-tuan tidak dapat menghuraikannya. Saya merasa agak aneh bahwa …”

Isabella tidak sempat meneruskan kata-katanya kerana ditegur oleh Peter, “Kau ini sudah gila, bercakap merepek serupa itu.”
Peter kemudian berucap kepada para hadirin.
“Sudah pasti anak gadis ini diresapi oleh syaitan dan dia sudah tersisih dari Kristus. Tidak hairan kalau dia sudah hilang ingatannya.”
Mendengar kata-kata Peter, timbul kemarahan di dalam hati Isabella. Dia tanpa segan silu lagi menjawab agak keras.
“Daripada bapa meluahkan perasaan bapa kepada saya yang hina ini bukankah lebih baik bapa menjawab pertanyaan orang-orang Muslim itu ataupun membatalkan saja perbahasan ini. Saya tidak berhajat menjawab tuduhan yang ditimpakan kepada saya di sini tetapi kalau ini rupa hadiah di atas keikhlasan saya maka saya lebih rela dituduh sebagai orang gila.”

Michael yang merasa tersinggung dengan kata-kata Isabella segera menyampuk dengan suara yang keras.
“Tak bolehkah kau diam? Bercakap, bercakap dan bercakap tak berhenti. Kami telah menjawab semua hujah-hujah orang Muslim. Kalau kau berani cubalah maju ke depan dan jawab.”
Paderi gemuk pula bersuara, “Nampaknya anak perempuan ini secara diam-diam sudah murtad. Bagaimana dia mahu menjawab hujah-hujah orang-orang Muslim? Kelancangannya patut diberitahukan kepada bapanya yang dihormati dan dia patut dihukum dengan hukuman yang setimpal.”
Catherine, sahabat Isabella, segera menjawab, “Malang sekali tuan-tuan semua sedikit pun tidak berlaku adil dan di atas pundak Isabella yang tidak berdosa ini tuan-tuan timpakan kesalahan. Ada yang mengatakannya gila dan yang lain pula membuat ancaman tetapi tidak seorang pun yang menumpukan perhatiannya kepada pokok persoalan. Isabella benar, apabila dia mengatakan tuan-tuan tidak dapat menjawab pertanyaan Umar Lahmi tetapi itu bukan bererti agama Kristian tidak benar.”
Lalu dengan suara yang agak keras, dia melepaskan paku buah kerasnya.
“Tuan-tuan semua tidak berguna dan cuba menodai agama Kristian dengan kebahlulan tuan-tuan.”

Peter dengan tubuh tuanya melonjak bangun dan dengan suara yang marah berkata, “Usir perempuan-perempuan ini dari sini. Siapa yang membenarkan perempuan-perempuan bedebah ini ikut campur dalam perbincangan kita?”
Umar Lahmi bangun cuba menyabari.
“Kalau tuan benarkan saya bercakap, saya akan menjelaskan apa yang dimaksudkan oleh Nona Isabella.”
Michael memandang tajam kepada Umar Lahmi.
“Jangan tuan ikut campur percakapan kami. Ini soal rumahtangga kami sendiri.”
Paderi yang berbadan kurus bermuka cengkung mencelah, “Bagaimana kalau Isabella dan Catherine ini sudah murtad?”
Michael berpaling kepadanya dengan mata yang ragu-ragu.
“Kita tidak dapat menentukan sekarang ini. Budak-budak perempuan ini tolol. Mereka mahu mempercepatkan perjalanan perbincangan meskipun masalahnya memakan masa berbulan atau bertahun hendak diselesaikan.”

Perjalanan perbincangan telah terhenti buat seketika lamanya. Para paderi sedang sibuk berurusan mengenai masalah Isabella dan sahabatnya. Berbagai-bagai pendapat dan komen diluahkan kepada anak-anak perempuan yang malang itu. Mereka merancang tuduhan dan menghubungkannya dengan berbagai-bagai tohmah. Melihat keadaan yang ribut itu, Umar Lahmi dengan suayanya yang nyaring merdu membaca beberapa ayat AlQuran Surat Maryam. Seluruh hadirin diam terpaku dan suasana yang tadinya kacau itu menjadi senyap sunyi. Ada yang diam kerana terperanjat mendengar bacaan yang ganjil daripada biasa di perdengarkan di dalam gereja. Para paderi yang kebingungan menutup telinga mereka, khuatir ayat-ayat AlQuran itu menembus masuk ke dalam hati dan perasaan mereka. Ada sebahagian daripada orang-orang Kristian di dalam gereja termasuk Isabella yang faham sedikit bahasa Arab terharu mendengar pujian-pujian terhadap Nabi Isa dan ibunya yang suci dan bantahan-bantahan terhadap tohmah orang-orang Yahudi yang dilemparkan kepada mereka. Muka Isabella menjadi berseri-seri tetapi dia menguasai dirinya dengan sabar dan duduk tidak bergerak. Setelah selesai Umar Lahmi membaca ayat-ayat itu, barulah Isabella membuka mulutnya, menyusun kata-kata dengan teratur dan tenang.
“Tuan-tuan. Saya memohon kepada tuan-tuan semua untuk menjadi saksi bahwa saya adalah orang Kristian yang sempurna. Oleh sebab itu, saya tidak mahu agama Kristian diperhinakan. Saya tidak maksudkan bahwa kita tidak ada jawaban bagi semua pertanyaan mereka tetapi masalahnya ialah paderi-paderi kita tidak memusatkan perhatian kepada persoalan-persoalan itu. Mereka berpendapat bantuan daripada Roh Kudus diperlukan untuk memahami kepercayaan Kristian dan hal ini dianggap sebagai satu kelemahan kita oleh orang-orang Muslim. Saya harap sesudah ini tidak ada lagi salah faham terhadap saya. Permintaan saya sekarang ialah kita teruskan perbincangan ini.”

Paderi yang berbadan kurus membuat komen seolah-olah kepada dirinya sendiri.
“Kita sama sekali tidak perlu berbincang dengan orang-orang kafir itu. Perbincangan yang lepas telah pun menggugat kepercayaan kita.”
Teman yang disebelahnya menyampuk, “Apa maksudmu?”
“Saya maksudkan orang-orang kafir ini sepatutnya kita usir dengan segera keluar dari gereja ini.” jawabnya sambil membuat muka.
Temannya itu berkata, “Jangan berkata mengikut emosi. Masalah ini harus diputuskan sesudah ditimbang dengan saksama. Saya juga berpendapat perbincangan ini harus dihentikan saja. Nampaknya, tidak ada manfaat apa-apa.”

Umar Lahmi mendengar apa yang sedang dibincangkan oleh paderi-paderi yang ada di sekitarnya.
“Tuan-tuan, saya tahu tuan-tuan amat bangga dengan ajaran Nabi Isa sehingga kalau ada orang menampar pipi tuan-tuan, pipi yang sebelah lagi tuan-tuan berikan. Tetapi apa yang kami saksikan di sini sekarang? Apakah kami masuk kemari secara paksa? Apakah bukan tuan-tuan yang mengundang kami? Sekarang pun kalau tuan-tuan berterus-terang bahwa tuan-tuan tidak mahu berbincang lagi, kami akan meninggalkan tempat ini dengan segera. Tapi saya ingin ingatkan kepada tuan-tuan bahwa kami sudah sampaikan seruan kami dan Allah tidak akan membiarkan usaha kami itu berlalu begitu saja. Jadi, katakanlah apakah kami harus tinggalkan tempat ini ataupun tuan-tuan masih mahu berbincang?”

“Tuan yang dihormati. Masalahnya sekarang ialah tuan tidak dapat memahami realiti kepercayaan agama Kristian dan kedatangan tuan-tuan kemari pun bukan itu tujuannya.” jawab Peter. “Andaikata tuan mahu menyambung perbincangan ini, tuan mesti menjawab pertanyaan saya dulu.”
“Baiklah!” ujar Umar Lahmi. “Saya beri kebebasan kepada tuan untuk mengemukakan pertanyaan apa saja dan saya dengan rendah hati akan menjawabnya.”
“Apakah Quran ada memuji Kitab Injil? Apakah tuan percaya dengan Kitab Injil?” tanya Peter.
“Sudah tentu AlQuran memuji Kitab Injil dan kami orang Muslim percaya Kitab Injil, Taurat dan Mazmur dan semua kitab yang disampaikan oleh nabi-nabi.” ujar Umar Lahmi.
“Kemudian, kenapa tuan tidak percayakan Kitab Injil kami?” kata Peter lagi.
“Kerana ia bukan Kitab Injil.” jawab Umar Lahmi. “Sekiranya seseorang itu menyusun sebuah fiksi dan menamainya Injil maka kami tidak terikat untuk mempercayainya kerana ia bukan Kitab Injil tetapi hanya menjudulkan saja serupa itu. Tuan boleh letakkan di hadapan kami Kitab Injil yang disebut di dalam AlQuran.”
“Jadi, Injil yang disebut di dalam Quran itu berlainan dari Kitab Injil kami? Buktinya?” Peter dengan ghairah memajukan pertanyaan untuk memerangkap Umar Lahmi.

Umar Lahmi menghadapi pertanyaan itu dengan tenang.
“Benar, walaupun AlQuran menyebut-nyebut tentang Kitab Inji yang tulen, telah menyebut juga kepalsuan ‘Injil’ ini dan menunjukkan pernyataan-pernyataan yang salah.”
“Jadi, apakah pernyataan-pernyataan salah Kitab Injil kami ini?” tanya Peter lagi.
Umar Lahmi tersenyum kecil. Dia lalu mencapai Kitab Injil yang ada di hadapannya lalu membuka.
“Sebagai contoh. Injil Matius bab 12:46-53 Jesus telah menolak mengakui ibunya, Maryam dan saudara-saudaranya kerana tidak melakukan kehendak bapanya di syurga. Penolakan ini samalah sebagai menuduh ibunya itu murtad. Padahal AlQuran kami menyebutnya ‘siddiqa’ yang bererti dia bukan murtad tetapi seorang yang beriman dan warak.

Dalam ayat yang sama dalam Injil Matius bab 12: 46-50 itu juga jelas menunjukkan keangkuhan Jesus dan ketidaksopanannya terhadap ibunya. Meskipun di dalam Taurat melarang keras menghormati dan memuja ibu tetapi AlQuran menyebutnya bahwa itu salah dan mengatakan Jesus telah berkata bahwa dia patuh kepada ibunya dan telah dilarang berbuat baik kepada ibunya itu. Ataupun juga seperti yang disebutkan dalam Injil bahwa Jesus telah dikutuk dan kerana kutukan tersebut maka dia telah disalibkan.* ( * sbg bukti bahwa Kristus telah dikutuk, lihat Galatia 3 : 12-13 )
Tetapi Kitab Suci AlQuran menyebutnya ‘Roh Kudus’ dan ‘Kalimat Allah’ dan bahwasanya ‘Al-Masih ibn Maryam seorang yang mempunyai kemegahan dan kemuliaan di dunia dan di akhirat dan salah seorang yang diperdekatkan kepada Allah.* “
( *AlQuran 3:45 )Satu suara sumbang kedengaran dari khayalak ramai.
“Itu salah! Injil mengatakan dia itu ‘Tuhan’.”
“Ya. Sangat menakjubkan. Menurut tuan, Tuhan juga boleh dikutuk. Tuan telah mengutuk Kristus di samping mengakuinya sebagai Tuhan tanpa memperdulikan sedikitpun bagaimana Tuhan yang Menjadi Sumber semua kebaikan dan kesempurnaan itu pantas dikutuki.” kata Umar Lahmi menjawabnya.
“Yang patut dikutuki ialah syaitan bukan Tuhan. Agama Islam tidak memuja Kristus sebagai dewa tetapi menganggapnya sebagai manusia biasa dan pada masa yang sama dia seorang yang bebas dari dosa dan diakui kesuciannya. Nah, cuba pilih apakah ‘Tuhan’ yang terkutuk itu baik dan suci ataupun seorang manusia yang bebas dari dosa?”Peter menyampuk, “Pokoknya mengapa tuan tidak percayakan Injil tetapi tuan telah melemparkan ke dalamnya persoalan kutukan. Kalau tuan ada mempunyai Injil yang original yang diakui Quran, nah bawa kemari kepada kami.”
“Tuan tidak berhak memintanya dari kami. Kalau tuan telah mengakui lebih dulu bahwa Injil tuan itu karangan dan dipalsukan, pada waktu itu baru boleh tuan datang kepada kami meminta Injil yang sebenarnya. Saya sudah buktikan bahwa Kitab Suci AlQuran tidak mengesahkan kesahihan Injil yang ada sekarang ini tetapi telah membuktikan kepalsuannya dan secara terang-terangan menceritakan kesalahan-kesalahan Injil sekarang. Cuba bayangkan, bolehkah Injil ini yang memuja Kristus dan kemudian terbunuh di atas salib menjadi Injil yang diakui AlQuran? Dalam AlQuran dirakamkan kata-kata Kristus. ‘Inni Abdallah’ – aku hamba Allah dan ‘padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak mensalibnya’ * Apakah AlQuran mengesahkan Injil tuan atau membuktikan kepalsuannya?” * AlQuran 4:157

“Bukankah Quran ada menyebut Jesus itu sebagai ‘Roh Kudus’ dan ‘Kalimat Tuhan’? Bukankah ini satu bukti bahwa dia mengatasi manusia?” Peter bertanya.
“Benar. Kitab Suci AlQuran ada menyebut Nabi Isa sebagai ‘Kalimat Allah’ tetapi ia juga ada menyebut bahwa Kalimat Allah itu tidak terkira banyaknya dan jika semua lautan dijadikan dakwat dan semua pokok di dunia dijadikan pena masih saja tidak akan sanggup menceritakan semua Kalimat Allah kerana kalimatNya tidak terpermenai banyaknya. Jadi, Kristus juga salah satu dari Kalimat Allah. Mengenai Kristus menjadi ‘Roh Kudus’ maka hal ini juga tidak akan melebihkannya daripada manusia lain sebab kalimat yang sama pula digunakan untuk Adam. Di dalam AlQuran ada disebutkan ‘Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya dan Aku tiup padanya rohKu, maka tiaraplah kamu kepadanya dalam keadaan bersujud’. * Jadi, dengan kalimat yang sama maka Kristus juga serupa Adam. Jikalau Kristus menjadi ‘Tuhan’ maka Adam juga demikian dan semua anak-cucunya juga ‘Tuhan’.” * AlQuran 15:29Peter segera menyampuk, “Sekiranya Quran ada mengatakan Adam sebagai Roh Kudus maka itu adalah satu kesalahan kerana tidak ada ‘Roh Kudus’ yang lain selain daripada Kristus.”
Umar Lahmi tersenyum geli mendengar sangkalan paderi tua itu. Dia lalu berkata dengan tenang.
“Tuan fikir seluruh AlQuran itu salah tetapi tuanlah yang mendesak supaya ketuhanan Kristus dibenarkan oleh AlQuran. Jadi, saya telah membuktikannya bahwa dia bukan Tuhan. Andaikata dia boleh menjadi ‘Tuhan’ kerana ‘Roh Kudus’, maka Adam alaihissalam juga ‘Tuhan’. Tuan telah mengatakan AlQuran itu salah dalam soal ini jadi mengapa pula tuan membawa AlQuran ke mari?”Mendengar jawaban Umar Lahmi itu, Peter menjadi agak gugup. Dia seolah-olah tenggelam punca sejurus lamanya. Isabella yang diam mendengar dengan penuh minat tiba-tiba bersuara.
“Tuan percaya akan ketuhanan Nabi Muhammad meskipun dia memprakarsai pertumpahan darah di dalam dunia ini dan menyuruh membunuh orang-orang yang ingkar akan agamanya.”
“Barang dijauhkan Allah! Saya berlindung dengan nama Allah dari kepercayaan jahat serupa itu.” jawab Umar Lahmi. “Kami anggap Nabi Suci kami hanya sebagai manusia biasa, hanya dia itu Penghulu Segala Rasul dan Mahkota Segala Kebaikan. Inti daripada keimanan kami ialah La ilaha illallahu, Muhammad-ur Rasulullah ertinya tidak ada Tuhan yang patut disembah melainkan Allah dan Muhammad itu rasulNya. Sesiapa menganggap Muhammad sebagai Tuhan maka dia menjadi kafir dan terkeluar dari islam. Tentang Nabi memprakarsai pertumpahan darah di dunia , itu sama sekali tidak benar. Baginda memang ada melakukan peperangan terhadap kaum musyrikin yang bercita-cita mahu menghapuskan baginda dan agama yang dibawanya tetapi baginda tidak pernah mengganggu orang-orang yang tidak memusuhinya. AlQuran memerintahkan kami berperang melawan orang-orang yang memerangi kami.”

Kemudian Umar Lahmi dan sahabat-sahabatnya dapat memahami mengapa Isabella memajukan pertanyaan serupa itu. Para paderi Kristian sejak lama dulu telah menyebarkan fitnah terhadap Islam sambil mempertalikan segala macam keburukan kepadanya. Para paderi inilah yang mencemarkan nama baik Islam dengan mengatakan bahwa orang-orang Muslim menganggap Rasulnya sebagai Tuhan.
“Tuan telah berkata berulang-ulang kali bahwa Injil kami tidak tulen meskipun Injil telah disusun oleh murid-murid Kristus dengan bantuan Roh Kudus. Quran memuliakan mereka itu dan menganggapnya sebagai orang-orang beriman. Injil telah dianggap sah oleh penganut-penganut Kristian sedunia.” kata Michael cuba mengetengahkan hujah baru.

“Persoalannya,” jawab Umar Lahmi dengan tenang, “ialah apakah benar Injil itu disusun oleh murid-murid Kristus yang khusus bertugas untuk tujuan itu ataupun oleh beberapa orang yang menggunakan nama murid-murid Kristus. Malah orang-orang Kristian sendiri ada yang tidak sependapat bahwa murid-murid Kristus yang menyusun Injil. Kemudian ada masalah lain pula, samaada murid-murid Kristus yang menyusun Injil ataupun oleh pesuruh-pesuruh lain, AlQuran tetap tidak mengakui Injil yang disusun itu. AlQuran hanya mengakui Injil yang disampaikan kepada Kristus langsung dari Allah, seperti yang termaktub di dalam ayat 27 surat Al-Hadid yang kira-kira maksudnya, ‘Kami berikan kepadanya Injil’ dan di dalam surat Maryam ayat 30 pula ada disebutkan begini “Putera Maryam berkata: “Sesungguhnya aku adalah seorang hamba Allah. Dia pasti akan memberikan kepadaku Kitab (Injil) dan Dia pasti akan jadikan aku seorang nabi.” Nah, tuan-tuan mengakui bahwa Injil itu disusun oleh murid-murid Kristus sedangkan AlQuran dengan tegas mengatakan bahwa Injil diwahyukan kepada Kristus.”

Sebaik saja selesai Umar Lahmi berkata keadaan dalam gereja terganggu sebentar apabila bapa Isabella yang menjadi ketua paderi tiba-tiba muncul. Dia terus menempelak paderi-paderi itu.
“Gelanggang gusti apakah yang telah kamu lakukan di sini? Kamu telah bercakap dengan orang-orang yang tidak beriman di dalam gereja yang suci ini dan perbuatan kamu itu telah mengganggu kepercayaan orang-orang Kristian. Orang-orang Kristian telah datang kepadaku mengadu tentang ketidakupayaan kamu berhujah dengan orang-orang ini. Sudah banyak orang-orang Kristian yang goncang imannya dan mereka mengatakan malah anakku, Isabella, juga sudah tidak terkendalikan lagi.”
Dia memandang Isabella dengan mata yang tajam.
“Kau, siapa yang menyuruh kau datang kemari? Apa ada hubunganmu dengan perbahasan ini? Kau telah mempelajari Quran secara sembunyi-sembunyi, ya? Aku tahu apa yang kau buat. Kau anak perempuan bodoh. Apa yang kamu semua lakukan ini ialah memutar-belitkan lidah dengan orang-orang kafir ini dan perbuatan kamu itu menimbulkan kegusaran kepada Tuhan Yesus. Jikalau aku dapati kamu semua mengulangi perbuatan ini lagi, aku akan pecat kamu semua.”

Tempelakan ketua paderi itu membuat paderi-paderi yang ada di dalam majlis tergamam dan terkejut. Kulit muka Isabella yang tadinya merah mendadak berubah menjadi pucat lesi. Sejurus lamanya tidak ada seorang pun di antara paderi-paderi yang berani membuka mulut memberi penerangan kepada ketua paderi. Tetapi ada seorang paderi muda, kurus tinggi dengan jambang yang jarang, yang duduk agak jauh di tepi sebelah kiri, memberanikan diri bangun bercakap.
“Bapa yang suci. Apa yang telah bapa katakan itu benar sekali. Benar, tidak ada manfaat apa-apa kecuali kerugian kita berbincang dengan orang-orang yang tidak beriman ini. Tetapi wahai bapa yang suci! Apakah bapa ingin kita diperhina dan dipermalukan di seluruh Sepanyol ini? Apakah bapa mahu agama Kristian hapus dari bumi Sepanyol? Demi Tuhan Jesus, kalau kita tidak dapat mengganyang mereka ini, kita tidak akan dapat mengangkat kepala lagi di negeri ini. Saya juga dapat mengatakan bahwa tidak ada seorang pun di antara kita yang boleh menjawab bantahan-bantahan orang-orang Muslim ini. Andaikata bapa sudi menerima permohonan kami, saya dengan rendah hati mengatakan bahwa soalan-soalan yang dikemukakan oleh orang-orang Muslim ini tidak dapat kami jawab tanpa bantuan bapa yang dihormati. Di seluruh Sepanyol tidak ada abdi agama Kristian yang dapat menandingi yang mulia, yang boleh menyelesaikan tugas berat ini dan dengan jawaban yang pendek dan tepat dari yang mulia, maka mulut orang-orang yang tidak beriman ini dapat kita tutup untuk selama-lamanya. Andaikata yang mulia tidak tampil ke muka untuk menyelamatkan agama Kristian sekrangan ini maka bapa yang sangat mulia, akibatnya bagi kita dan agama Kristian adalah sangat membahayakan dan dakwahan kita dipermalu dan dihinakan. Bolehkah saya meletakkan harapan bahwa yang mulia bersedia untuk menjawab masalah yang ditimbulkan oleh orang-orang Muslim ini?”

Bapa Isabella, ketua paderi, terdiam sebentar demi mendengar kata-kata paderi muda itu. Air mukanya kembali tenang, rasa marahnya pun menjadi berkurangan.
Setelah difikirkan sejenak, dia lalu memandang Michael.
“Kamu sendiri yang membuat perkara ini begitu penting dengan mengundang orang-orang Muslim kemari. Amat malang, kamu tidak dapat menjawab pertanyaan-pertanyaan mereka walaupun pertanyaan-pertanyaan yang remeh-temeh serupa itu dan kamu menjadi bodoh sesudah mempelajari masalah-masalah teologi. Bolehkah orang-orang Muslim ini dibawa ke jalan yang benar sesudah mendapat jawaban yang memuaskan?”
Michael segera menjawab, “Ya, mereka telah berjanji kalau mereka mendapat jawaban yang memuaskan, mereka akan keluar dari agama Islam dan masuk agama Kristian. Mereka telah membuat janji dengan bertulis.”
Mendengar jawaban Micahel, ketua paderi lalu mengambil tempat duduk yang disediakan khas untuknya, diapit oleh Peter dan Michael. Dia terus memandang ke wajah Umar Lahmi dan berkata, “Nah, kemukakan pertanyaanmu!”

“Jika tuan dapat mendengar dengan tenang maka saya akan kemuakan pertanyaan saya.” kata Umar Lahmi.
“Sikap tuan terhadap orang-orang yang malang dan sikap tuan terhadap etika Kristian menunjukkan kemauan tuan bahwa saya seharusnya menolak bercakap dengan tuan. Tetapi kerana saya seorang yang mencari kebenaran, maka saya mahu mencari cahaya petunjuk melalui tuan dan saya ingin bercakap dengan tuan dengan syarat tuan mendengarnya dengan tenang apa yang akan saya ucapkan.”

“Tuan jangan ambil hati di atas kata-kata saya yang kasar tadi.” ujar ketua paderi. “Dan sekiranya perbincangan ini menyinggung perasaan tuan, saya minta maaf bagi pihak semua yang hadir. Saya percaya tuan seorang yang mencintai kebenaran dan sudah tentu Tuhan Kristus kami akan menolong dan menunjuk jalan kepada tuan. Olehsebab itu, saya persilakan tuan datang ke rumah saya esok supaya semua keraguan dan salah pengertian tuan akan diselesaikan secara bijaksana.”
Ketua paderi itu kemudian berpaling kepada para paderi yang duduk di kiri dan kanannya.
“Tuan-tuan juga dijemput datang supaya tahu jawaban dari pertanyaan-pertanyaan orang-orang Muslim ini dan pada masa hadapan tuan-tuan boleh berurusan langsung dengan mereka.”
Kemudian, paderi besar melihat wajah Umar Lahmi sekali lagi seraya berkata, “Saya persilakan tuan datang ke rumah saya pagi esok. Pintu rumah saya sentiasa terbuka untuk tuan.

Bab 6 PERTEMUAN KETIGA

Isabella menjadi salah seorang peserta yang cukup besar minatnya di dalam perbincangan teologi itu. Selama perbincangan itu berlangsung, fikirannya menjadi penuh dengan perkara-perkara yang dibincangkan. Dia sudah tidak menghiraukan lagi segala aktiviti yang lain. Semua janji dibatalkannya, masalah-masalah sosial yang mengusutkan ditolak ke tepi. Setiap kali para paderi itu tidak dapat menjawab pertanyaan Umar Lahmi, Isabella membuat kesimpulan sendiri bahwa mereka memang tidak mempunyai jawaban dan kepercayaannya terhadap agama Kristian pun mulai goyah sedikit demi sedikit. Dalam ingatannya, terbayang dengan jelas peristiwa yang berlaku di rumahnya ketika bapanya berhadapan dengan Umar Lahmi. Umar Lahmi bersama dengan beberapa orang sahabatnya telah datang ke rumah ketua paderi sesuai dengan perjanjian mereka waktu pertemuan di gereja besar. Paderi-paderi yang lain dan beberapa orang kenamaan dalam kalangan penganut Kristian juga ikut diundang. Ketibaan Umar Lahmi dan sahabat-sahabatnya pada pagi itu telah disambut dengan penuh hormat. Mereka ditempatkan di sebuah bilik yang berasingan dan dijamu dengan minuman serta kuih-muih yang lazat citarasanya.

Sebuah ruang telah disiapkan untuk perbincangan yang penting itu. Umar Lahmi dengan beberapa orang pengiringnya duduk berhadapan dengan empat puluh orang cendekiawan Kristian yang hebat-hebat. Isabella dengan teman-temannya serta beberapa orang wanita lain duduk di bilik sebelah.
Setelah semua duduk dengan selesa, ketua paderi berkata kepada Umar Lahmi, “Saya sudah tahu akan pertanyaan yang tuan mahu kemukakan teapi saya tidak mahu berbicara secara terperinci dan memanjangkan perbincangan ini. Saya cuma akan bercakap sepatah dua saja yang boleh mencapai tujuannya dalam beberapa minit. Apa yang saya maksudkan ialah Islam dan Kristian akan diuji tentang ajaran-ajaran dasarnya dan agama yang dapat memperlihatkan ajaran-ajaran yang terbaik, itulah agama yang benar. Bukankah begitu?”

“Saya tidak ada bantahan apa-apa dan saya bersedia untuk membincangkan tiap-tiap garis yang tuan pilih,” kata Umar Lahmi, “memang benar hanya melalui ajaran sajalah Kristian dan Islam itu dapat diketahui benar atau palsunya.”
“Bagus, bagus!” ujar ketua paderi dengan suara gembira. “Sudah tentu pertolongan Roh Kudus berada di pihak tuan dan tuan segera akan dipimpin keluar dari lorong yang salah masuk ke lorong yang benar. Nah, sekarang tuan telah bersetuju dengan garis yang saya cadangkan, saya ingin menyatakan bahwa dalam tiap-tiap agama ada dasar-dasar prinsip dan perkara-perkara yang terperinci. Saya mahu meletakkan di hadapan tuan inti dasar agama Kristian yang tidak lebih dari sepatah perkataan dan sebagai balasannya tuan juga mesti memberikan inti dasar agama tuan dengan sepatah perkataan juga. Tuan bersetuju?”
“Silakan! Saya bersetuju saja dengan cadangan tuan.” jawab Umar Lahmi.

Ketua paderi itu berpaling kepada paderi-paderi lain dan berkata, “Cuba lihat! Beginilah caranya berbincang cuma dengan sepatah perkataan saja isu dapat diputuskan.” Kemudian dia menoleh semula kepada Umar Lahmi, “Nah, sekarang dengar baik-baik. Inti dasar agama Kristian ialah kasih. Dengan sepatah perkataan ini saja agama Kristian telah disingkatkan. Sekarang giliran tuan pula memberikan inti dasar agama Islam dengan sepatah perkataan juga.”
“Saya merasa bangga untuk menyatakan bahwa Islam telah meringkaskan inti dasar ajarannya dengan satu perkataan saja yang meliputi semua dasar prinsip dan perkara-perkara yang terperinci. Akar prinsip Islam dan ajarannya ialah Tauhid.” kata Umar Lahmi.
“Kalau inti dasar Islam itu tauhid maka kasih tidak termasuk ke dalamnya. Selain daripada itu, kami juga mengatakan tauhid* sebagai inti agama kami.” ujar ketua paderi itu. * dalam terjemahan ‘Tauhid’ disebut ‘unity’. Erti tauhid ialah kesaksian akan keesaan Allah.

“Kalau tauhid menjadi inti dasar agama tuan, tuan harus mengetengahkannya. Kenapa pula tuan katakan kasih sebagai dasar agama tuan? Dan amat salah mengatakan dengan menerima tauhid sebagai inti dasar agama kasih terkeluar daripadanya. Sebaliknya menurut kenyataan bahwa kasih itu datang dari tauhid. Kalau tauhid tidak diambil dengan segala aspeknya maka kasih menjadi perkataan yang tidak bermakna. Untuk menerima kasih sebagai inti dasar agama bererti penolakan total terhadap tauhid atau menidakkannya sebagai inti dasar agama.” jawab Umar Lahmi.

Ketua paderi itu menyambut jawaban Umar Lahmi itu dengan mengatakan, “Pokoknya ialah tauhid itu datang dari kasih dan bukan kasih dari tauhid.”
“Itu suatu logika yang salah. Kalau tauhid datang dari kasih maka kasih menjadi perkataan yang tidak bermakna. Kerana tanpa tauhid, yakni kesaksian akan keesaan. Allah akan menidakkan kasih akan Allah yang sebenarnya kerana kasihkan Allah bergantung kepada ilmu tentang ketuhanan, dan ketauhidan merupakan pengakuan yang hakiki akan Allah. Dengan hanya kasih saja belum lagi menjadi bukti kasihkan Allah.”
Umar Lahmi menghujah kata-kata paderi tua itu.

“Tuan telah memulakan perbincangan panjang. Apa yang saya maksudkan ialah kasih tidak ada tempat dalam Islam.” ujar ketua paderi itu.
“Kalau kasih tidak ada tempat di dalam Islam,” sahut Umar Lahmi dengan cepat, “maka bererti bahwa kasih tidak wujud sama sekali di dalam dunia ini. Walau bagaimanapun benarnya kata-kata tuan itu tetapi tidak ada sedikit juga kesan-kesan kasih dalam agama Kristian. Kasih cuma permainan bibir. Tidak ada ukuran dan tidak ada bukti.”

Ketua paderi itu mula meradang. Air mukanya berubah.
“Begini! Sudah menjadi cogankata yang terkenal di dalam kitab kami bahwa Tuhan ialah kasih. Bukankah ini bukti tentang kasih itu?”
“Cuma pengakuan mulut saja,” kata Umar Lahmi, “kecuali ada ukuran kasih itu. Teori kasih yang dikatakan itu tidak dapat diterima.”
“Kini tuan membuat definisi tentang kasih pula. Bukankah dalam kitab kami ada disebutkan Tuhan bapa? Bukankah bapa itu mengasihi anak-anaknya?”
Umar Lahmi juga sudah mula gusar. Lalu dijawabnya, “Pokoknya, hanya dengan berulang-ulang menyebut perkataan kasih saja kita tidak akan sampai ke mana-mana kecuali semua syaratnya dipenuhi. Jikalau seseorang itu mengasihi seseorang lain maka dia harus membuktikan dengan pengorbanan diri dan hartabendanya dan barulah dapat dikatakan kasih yang sejati. Oleh sebab itulah Islam telah menentukan ketaatan dan amalan sebagai kriteria kasih yang dengan lain perkataan disebut pengorbanan diri dan hartabenda. Dalam AlQuran Allah berfirman kepada Nabi Muhammad “Katakanlah jika kamu mencintai Allah, maka ikutilah akan daku agar kamu dikasihi oleh Allah dan diampuni dosa-dosamu; dan Allah Maha Pengampun lagi sentiasa mencurahkan rahmatNya. Katakanlah! Taatlah akan Allah dan RasulNya. Jika mereka tetap berpaling maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang kafir*. Ayat ini telah memberikan ketentuan tentang ukuran kasih yang membezakan antara kasih sejati dengan kasih palsu. Tetapi di dalam agama tuan tidak ada kriteria kasih ini. Sesiapa saja yang munafik boleh bangun berdiri dan berkata dia kasihkan Allah.”
* AlQuran, surat Al-Imran : 32-32

“Tuan mulai lagi perbahasan yang panjang. Saya mahu segala sesuatu itu meliputi banyak hal supaya keputusan dapat dicapai segera. Bagaimanapun, jikalau Quran tuan juga ada menyebut Tuhan bapa maka mana satu tingkat kasih yang paling tinggi?” ketua paderi bertanya.
“Kalau AlQuran menggunakan perkataan bapa untuk Tuhan maka itulah bukti yang paling besar akan ketidaksempurnaannya. Islam tidak pernah menggunakan perkataan yang mengelirukan ini untuk Tuhan tetapi sebaliknya ia ada menggunakan perkataan-perkataan yang lebih agung ertinya dibandingkan dengan perkataan bapa.” jawab Umar Lahmi.
“Mulut tuan terlalu lancang mengatakan perkataan bapa itu mengelirukan.”
Nada suara ketua paderi agak meninggi kerana dipengaruhi oleh perasaan marah.
“Cuba beritahu saya cepat apa perkataan yang digunakan oleh orang Islam sebagai ganti yang lebih baik daripada perkataan bapa?”

Melihat kemarahan ketua paderi itu, Umar Lahmi dengan tenang berkata, “Tidak ada sebab untuk naik darah. Saya mengatakan perkataan bapa itu mengelirukan kerana ia menjadi dasar tugas sekutu Allah. Tuan juga percaya kepada ketuhanan Kristus. Tentang perkataan yang lebih baik sebagai ganti perkataan bapa kami orang Muslim menggunakan perkataan Rab yang secara tidak langsung menyatakan ia zat yang memelihara kita dari awal sampai akhir dan pemeliharaanNya tidak pernah terhenti. Jadi dengan menggunakan perkataan Rab, Islam telah mengajarkan bahwa pemeliharaan kasih Allah terus menerus ada. Tetapi konsep bapa membawa makna bahwa bapa itu akan mengasuh anaknya sampai kepada satu waktu yang tertentu saja setelah itu dia tidak ambil peduli lagi. Selain daripada itu seorang bapa hanya dapat memelihara anak-anaknya dalam perkara-perkara opsional saja tidak dalam perkara-perkara di luar dari keupayaannya. Sebagai contoh kalau anak itu jatuh sakit, bapa tidak dapat menyembuhkan penyakit itu sementara orang di dalam pemeliharaan Allah adalah sebaliknya kerana Dia mempunyai kuasa atas segala sesuatu dan Maha Berkuasa. PemeliharaanNya kekal abadi. Ini membuktikan bahwa perkataan pemeliharaan adalah lebih sesuai dengan martabat Allah daripada perkataan bapa. Lagi pula perkataan pemeliharaan menunjukkan ‘Keesaan Allah’ sementara perkataan bapa pula menjadi punca menugaskan seorang sebagai sekutu kepada Allah di dalam dunia.”

Ketua paderi itu kelihatan gelisah mendengar hujah Umar Lahmi tetapi dia cuba juga untuk menjawabnya dengan berkata, “Pengaruh pemeliharaan yang tuan katakan itu tidak dapat dibuktikan di dunia ini. Tuan tidak boleh menutup mata terhadap kasih bapa. Jadi, bagaimana orang dapat menerima perkataan yang tidak ada erti dan tidak ada bukti di dunia ini. Tuan tidak boleh menolak pengaruh kasih bapa.”
“Malang sekali kepercayaan tuan kepada penebusan dosa telah menutupi pemandangan tuan, kalau tidak tentulah tuan tidak akan berkata serupa itu.” kata Umar Lahmi.
“Tiap-tiap hari kita melihat anak kecil dipelihara dalam rahim ibunya. Kanak-kanak, orang remaja, orang dewasa terus menerus dipelihara. Pemerliharaan itu berterusan dari awal sampai akhir. Bukankah itu pekerjaan Rab yang kita saksikan setiap hari?”

“Kitab Suci Injil mengatakan bahwa Tuhan mempunyai kasih yang sedemikian rupa terhadap manusia di dunia ini sehingga Dia mengorbankan putera satu-satunya untuk menyelamatkan manusia. Apakah lagi bukti yang lebih baik tentang kasih bapa yang telah mengorbankan anak yang dikasihinya kerana kasih?” kata ketua paderi.
“Keterangan dari Injil itu sendiri telah membantah dakwaan tuan. Tuan maksudkan bahwa bapa itulah yang mengorbankan anaknya yang suci bersih demi manusia yang kotor dan penuh dosa,” kata Umar Lahmi, “itulah pernyataan kasih bapa yang ditunjukkan dengan membunuh anaknya yang tidak bersalah? Tetapi Rab tetap berlaku adil kepada sesiapa saja. Sebaliknya Dia menghukum orang yang zalim. AlQuran dalam surat Al-An’am ayat 164 mengatakan ‘Dan tiada seseorang yang berdosa memikul dosa orang lain’. Tetapi bapa tuan membunuh anak sendiri. Jikalau menyalib dan membunuh anak sendiri yang tidak berslaah dan tidak berdosa dikatakan kasih, maka kita tidak akan menyebutnya lagi sebagai kasih.”

Ketua paderi berpaling kepada paderi-paderi lain sambil berkata, “Saya fikir orang ini cenderung kepada Jesus Kristus tetapi rupanya dia seorang pemungkar yang gigih. Semua yang telah saya katakan ialah perkara-perkara tinggi tetapi bagaimana orang-orang ini dapat memahaminya?”
Kemudian dia memandang Umar Lahmi, “Hati tuan sudah tertutup. Kristus tidak bersedia menerima tuan. Sekarang baiklah tuan pergi jauh dari sini. saya tidak mahu lagi berurusan dengan tuan. Tuan kemari hanya menggusarkan saya saja.”
Kemudian dia berkata kepada paderi-paderi yang lain. “Kalian juga jangan lagi berurusan dengan orang-orang ini. Kalian sudah melihat betapa mereka sangat keras kepala. Tidak dapat menyetujui apa pun juga.”
“Tapi tuan …” Umar Lahmi mahu membantah.
“Tutup mulut tuan.” Ketua paderi membentak. “Saya sudah tahu akan tujuan tuan datang ke mari dan tentang apa yang tuan mahu berbincang dengan kami.”
Sambil mengucapkan kata-kata itu, ketua paderi memperlihatkan tatakrama Kristian. Dia terus bangun dan meninggalkan tamu-tamunya lalu naik ke bilik di tingkat atas. Melihat keangkuhan ketua paderi itu, Umar Lahmi dan sahabat-sahabatnya lalu bangun dan dengan suara kuat berkata, “Nasrum-min-a-Allahi wa fat-hunqarib*”
* pertolongan dari Allah dan kemenangan yang sudah dekat – surat Ash-Shaf :13

Mereka semua lalu keluar meninggalkan rumah ketua paderi sambil terus mengucapkan kata-kata itu berulang-ulang disaksikan oleh paderi-paderi dan hadirin yang lain yang masih belum hilang perasaan terkejut kerana sikap ketua suci mereka yang tiba-tiba saja meninggalkan perbincangan itu. Umar Lahmi dan sahabat-sahabatnya lalu berpisah, menuju ke rumah masing-masing.

Pada petang itu, Isabella bertemu semula dengan sahabat-sahabatnya di taman yang selalu mereka kunjungi. Mereka tidak duduk di tempat biasa, khuatir bertemu dengan Umar Lahmi dan sahabat-sahabatnya. Mereka berasa malu dengan sikap bapa Isabella yang sangat-sangat mereka hormati. Dalam pertemuan itu mereka bercakap tentang perbahasan yang telah berlaku pada pagi itu. Berbagai-bagai macam komen, pro dan kontra mereka keluarkan. Isabella lebih banyak mendengar. Perasaan dan fikirannya sarat dengan berbagai-bagai macam persoalan. Kepercayaannya kepada agama Kristian mulai mendapat godaan. Daripada hujah-hujah yang dikemukakan oleh Umar Lahmi, dia dapat melihat walaupun belum begitu yakin bahwa agama Kristian hampir menyerupai satu kepura-puraan yang tidak mempunyai dasar atau prinsip.

Waktu perbincangan awal dulu, Isabella berpendapat Peter dan Michael serta paderi-paderi yang lain itu tidak begitu dalam ilmunya sehingga mereka tidak dapat mematahkan hujah-hujah Umar Lahmi. Pada masa itu dia yakin dengan sepenuh hati akan bapanya, ketua paderi, dapat dengan mudah mengalahkan orang-orang Muslim itu kerana bapanya terkenal sebagai seorang yang alim dalam selok-belok agama Kristian. Kalau orang-orang seperti Michael dan Peter tidak dapat menundukkan Umar Lahmi, bapanya sudah tentu dalam waktu yang singkat dapat menutup mulutnya. Tetapi setelah mendengar perbincangan pada pagi itu maka dia sungguh amat kecewa terhadap bapanya. Kekecewaannya itu menjadi makin pedih apabila bapanya mengusir orang-orang Muslim itu pulang dan dengan angkuh meninggalkan majlis dan para tamu. Daripada kejadian itu terfikir olehnya bahwa dasar agama Kristian tidak lebih daripada semacam sarang labah-labah.

Sahabat-sahabat Isabella merasa gundah dengan sikapnya yang tidak banyak bercakap dan ketawa seperti biasa. Dia lebih banyak tenggelam dalam fikirannya sendiri tetapi mereka tidak berani bertanya. Mereka membiarkan dia terus dalam keadaan begitu dengan sangkaan akan berubah apabila peristiwa pagi itu dapat dilupakan.

Sedikit demi sedikit, Isabella mulai renggang daripada sahabat-sahabatnya. Dia kini lebih banyak menyendiri dan menumpukan perhatiannya kepada mempelajari isi Kitab Inji dan AlQuran. Dia membuat perbandingan untuk mencari yang mana satu di antara kedua agama itu mempunyai unsur-unsur kebenaran yang banyak dan yang mana pula berisi dengan khurafat. Dia mengukur perbandingan itu dengan menumpukan fikirannya kepada masalah-masalah tauhid, kerasulan, Kitab Suci AlQuran, salam, penebusan dosa, pengantaraan, erti dosa, tindakan manusia dan akibatnya.

Sudah sebulan masa berlalu dari tarikh pertemuan antara bapa Isabella dengan Umar Lahmi. Dalam masa itu Isabella secara bersembunyi telah beberapa kali menemui Umar Lahmi untuk mendapat penerangan yang lebih lanjut tentang masalah-masalah yang dihadapinya ketika membuat kajian perbandingan antara Islam dan Kristian. Isabella sudah mulai menundukkan kepalanya kepada Islam dan dia bukan lagi penganut Kristian yang taat. Tetapi untuk menukar agama merupakan satu masalah besar baginya. Fikirannya terganggu apabila datang keinginan untuk meninggalkan agama yang telah dianutinya sejak dia lahir ke dunia ini. Betapa besar cubaan dan godaan yang harus dihadapinya jika dia menyeberang ke agama Islam. Bapa, ibu, saudara-saudara perempuan dan kaum kerabat terpaksa ditinggalkannya dan betapa pula keadaan hidupnya di hari depan. Pada masa itu terlintas fikiran lain di kepalanya, cubaan dan godaan harus dihadapi di dalam mencapai jalan kebenaran dan setelah mengenali kebenaran, tentulah dia akan hina di hadapan Allah kalau dia tidak berterus-terang mengakuiNya.

BAB 7 Cendekiawan Islam


Kisah ini berlaku ketika pemerintah Islam di Sepanyol mulai membina masjid dan sekolah di seluruh negeri. Para cendekiawan dan ahli hukum Islam yang termuka telah datang ke negeri itu dari berbagai-bagai tempat. Di ibu negeri, Cordova, sistem pendidikan dan amalan telah pun diperkenalkan kepada penduduk. Ziad bin Umar merupakan salah seorang ahli falsafah, pentafsir Hadis dan Al-Quran yang ulung. Kealimannya tidak ada bandingan dan kerana ketulusan hatinya, kesucian serta kesahihannya maka dia dihormati dan dimuliakan di seluruh Sepanyol. Pada waktu siang, dia menghabiskan masa di universiti dengan mengajar dan pada waktu malam dia menghadiri perhimpunan para cendekiawan dan pegawai-pegawai kerajaan. Tempat kediamannya terletak tidak berapa jauh dari kampus Universiti Cordova. Biasanya sesudah selesai solat isyak, orang-orang yang hauskan ilmu agama akan berkumpul di rumahnya. Pada suatu hari ketika satu pertemuak waktu petang sedang berlangsung di rumahnya, yang dihadiri oleh para cendekiawan dan ilmuwan yang terkenal, Ziad bin Umar turun dari tempat ibadatnya. Semua yang hadir berdiri penuh hormat. Setelah duduk, Ziad pun bertanya akan keadaan kesihatan masing-masing dan kemudian dia berkata kepada Umar Lahmi.

“Mudah-mudahan Allah memberikan taufik dan hidayatNya kepada usaha-usaha anda yang mulia. Anda telah berdakwah seruan kebenaran sampai ke dalam rumah orang-orang kafir dan menundukkan pula mereka. Anda telah menyampaikan seruan Allah.”
Umar Lahmi dengan rendah hati menjawab, “Semuanya itu adalah berkat dari doa dan perhatian anda juga. Kalau tidak saya ini hanyalah seorang Islam yang lemah tidak berdaya dan berkat doa anda pula maka Isabella telah menerima agama Islam di dalam hatinya. Oleh sebab itu dia ingin sekali bertemu dengan anda, maka dia telah ada di sini sekarang.”
“Isabella ada di sini?” tanya Ziad dengan nada gembira.
“Ya. Dia ditempatkan di bilik sebelah dan kalau diizinkan, dia akan dibawa menghadap.” jawab Umar Lahmi.
“Sudah tentu. Kalau dia datang mahu menemui saya, benarkan dia masuk.”
Asad, salah seorang yang hadir di pertemuan itu mencelah, “Demi Allah, tuan. Ini sungguh-sungguh suatu peristiwa penting. Sekarang ini terjadi kehebohan besar di kalangan orang-orang Kristian di Cordova. Tetapi apakah Isabella seorang saja yang tertarik kepada Islam ataupun ada orang lain lagi bersama-sama dengannya?”
Umar Lahmi memandang Asad. “Tentang hal itu, anda akan dapat mendengar sendiri daripadanya.”
Satu suara lain terdengar di antara para hadirin. “Saya dengar orang-orang Kristian mahu membunuh Isabella.”
“Sebegitu jauh Isabella telah mengambil langkah-langkah melindungi dirinya. Dia merahsiakan keislamannya sehingga belum ada yang mengetahui bahwa dia sudah memeluk agama Islam ataupun bermaksud akan melakukannya. Jadi, berita angin tentang orang mahu membunuhnya itu agak terlalu awal.” jawab Umar Lahmi.
“Sekarang bawa Isabella ke mari.” kata Ziad setelah mendengar percakapan Umar Lahmi dengan hadirin itu. “Kita akan mendengar cerita yang menarik dari mulutnya sendiri.”

Isabella dijemput masuk ke majlis. Waktu melihat Ziad bin Umar duduk di tempat khas dikelilingi oleh para hadirin, Isabella dengan takzim menundukkan kepalanya memberi hormat lalu mengambil tempat di suatu sudut. Semua yang hadir mengucapkan selamat kepadanya dan memuji-muji keberanian dan ketegasannya membuat keputusan.

“Anakku, Isabella.” ujar Ziad. “Saya bersyukur dan mengucapkan tahniah di atas pilihanmu kepada jalan kebenaran. Bahwa Allah telah mengeluarkan kamu daripada kegelapan dan telah menganugerahkan kepadamu nikmat Islam. Melepaskan kamu daripada cengkaman trinitas yang membingungkan. Allah telah membawa kamu ke jalan yang benar. Bagi mereka yang sudah kukuh kepercayaannya kepada Islam tidak akan takut dan gentar dengan segala macam kesukaran dunia ini biar betapa pun besarnya kerana Allah akan memimpinnya mengatasi semua kesukaran itu.”
“Bapa yang mulia ….” Isabella mahu berkata.
Tetapi Ziad mengangkat tangannya, menyuruh dia bersabar.
“Anakku,” kata Ziad, “panggilan serupa itu jangan kau gunakan lagi. Di dalam Islam, tidak ada kepausan seperti yang dilakukan oleh penganut-penganut agama Kristian terhadap paderi-paderinya. Dalam Islam ada persamaan hak yang sempurna. Tugas suci orang-orang alim ialah membimbing orang-orang Islam menurut Al-Quran dan Hadis Nabi SAW. Menjadi tugas tiap-tiap Muslim untuk mengikut bimbingan itu dan bukan mendewa-dewakan mereka ataupun menjadikan mereka itu berkuasa di atas semua urusan kehidupannya.”

Isabella merasa malu. Cahaya kemerahan naik ke pipinya.
“Ajarlah saya bagaimana caranya mahu memanggil tuan dan pemimpin-pemimpin Islam yang lain.”
“Panggillah saya dan orang-orang Islam lainnya dengan panggilan saudara atau kalau mahu ditambah, tambahlah dengan perkataan tuan.” kata Ziad.
“Baiklah tuan. Saya akan mematuhi kata-kata tuan.” ujar Isabella.
Setelah diam sejenak, dia lalu menyambung, “Tuan. Dengan petunjuk dan pertolongan Tuhan maka Dia telah menunjukkan kepada hamba yang hina ini jalan kebenaran dan keadilan dan membawa saya keluar dari jalan trinitas dan penyembahan salib. Yang menjadi pembuka jalan kepada saya ialah dari bimbingan guru rohaniah yang dermawan, Umar Lahmi, yang telah mendakwah kepada paderi-paderi Cordova samapi ke dalam rumah mereka sendiri. Melalui beliaulah, seruan kepada kebenaran ini sampai ke telinga saya. Saya dengan tulus ikhlas berdoa kepada Tuhan, mudah-mudahan kepadanya dianugerahkan segala kebajikan di dunia ini dan juga di akhirat. dan dengan doa tuan pula hidup dan mati saya di dalam Islam.”
“Amin!” semua hadirin serentak mengucapkannya.

“Anakku,” kata Ziad, “Allah menghendaki khidmat yang amat besar daripadamu. Sudah pasti seluruh orang Islam akan mendapat faedah yang besar melalui khidmat itu. Tetapi, apakah ada wanita-wanita lain yang telah ikut kau Islamkan?”
“Ya tuan. Empat sahabat saya yang sudah hilang kepercayaannya kepada agama Kristian sudah tertarik kepada Islam.” ujar Isabella. “Dengan izin Tuhan, esok atau lusa saya akan bawa mereka kemari supaya mereka mendapat doa dari tuan dan pembersihan segala sisa syak wasangka tentang Islam kalau masih ada di dalam diri mereka.”
“Saudara Isabella,” Umar Lahmi menyampuk, “siapakah gerangan sahabat-sahabatmu itu? Demi Allah, kami belum lagi kenal dengan mereka dan kau pun tidak pernah memberitahu kami sebelumnya.”
“Salah seorang daripadanya ialah anak guru teologi saya, Michael dan ada tiga orang lain lagi. Semua mereka ikut mendengar perbahasan tuan.” ujar Isabella.
“Apakah benar-benar mereka itu sudah Islam dan kesemuanya telah melihat akan kelemahan agama Kristian? Apakah mereka telah pasti dengan kebenaran Islam? Ataupun mereka belum begitu berani untuk melepaskan agama nenek moyangnya dan berterus-terang memeluk Islam?” kata Umar Lahmi dengan agak ghairah.

Ziad tersenyum mendengar kata-kata Umar lalu dia menjawab dengan kata-kata yang bijaksana.
“Insya-Allah, Allah akan memberikan kepada mereka keberanian yang anda inginkan itu. Mari kita semua berdoa untuk mereka.”
“Bawalah juga anak perempuan Michael pada suatu hari nanti supaya kita dapat menghilangkan keraguannya.” kata Umar Lahmi kemudian.
“Esok atau lusa saya akan membawanya ke mari.” ujar Isabella. “Jikalau keempat-empat mereka itu tidak dapat datang sekaligus sudah pasti seorang daripadanya, anak Michael akan saya bawa.”
“Anakku,” kata Ziad kepada Isabella, “dengar baik-baik kataku ini. Kamu menerima Islam ialah sesudah membersihkan semua keraguan yang ada di dalam dirimu. Jangan sekali-kali kerana kecurangan atau muslihat. Allah menghendaki keikhlasan hati dan Al-Quran menyebut bahwa hidup dan mati seorang Islam, solat dan baktinya, duduk dan berdiri, tidur dan berjalan, tiap-tiap sesuatunya adalah kerana Allah semata-mata dan kerelaan Allah hendaklah menjadi tujuan hidupnya.”
“Saya mengaku bahwa Allah menjadi saksi, tuan. Saya menjejaki ambang Islam ini bukan kerana nafsu dan muslihat juga bukan kerana tujuan inginkan kekayaan dan kekuasaan. Tuan sendiri tahu tentang kehormatan yang diberikan kepada bapa saya di Cordova ini dan juga di seluruh Sepanyol.” kata Isabella.
“Allah akan melimpahkan rahmatNya kepadamu dan memberikan keteguhan serta nikmatNya yang tidak terhingga.” ujar Ziad.
Umar Lahmi menyampuk, “Hanya agama Islam saja, dengan menerimanya, Allah akan melimpahkan rahmatNya yang banyak ke atas pemeluknya dan semua dosa diampunkan.”

Mendengar kata-kata Umar Lahmi menyebabkan Isabella tersenyum. Dia teringat pada pengampunan dosa yang dilakukan oleh para paderi.
“Semua dosa saya sudah diampunkan setiap minggu oleh paderi Cordova, yang bertanggungjawab terhadap jabatan penyiasatan.”
Menundukkan kepalanya lalu menyambung, “Saya sekarang sudah bebas dari dosa dan suci bersih.”
“Apakah maknanya jabatan penyiasatan itu dan apa maksudnya paderi memberi pengampunan dosa? Bolehkah manusia mengampunkan dosa?” tanya Ziad.
Mendengar pertanyaan itu, Isabella merasa malu sejurus.
“Tuan, cerita ini amat menarik, boleh jadi agak aneh pada pendengaran tuah kerana tuan tidak begitu mengetahui perkara-perkara yang terjadi di dalam agama Kristian.”
Ziad menjadi tertarik dengan kata-kata Isabella.
“Sudilah anakku menceritakan hal ini kepada kami. Perkara-perkara yang menarik serupa itu tentu amat baik menjadi pengetahuan kami dan apatah pula tidak ada orang yang lebih tepat untuk menceritakannya selain daripada anakku.”
“Tuan yang mulia. Penganut agama Kristian mempunyai suatu adat iaitu tiap-tiap orang duduk di depan ‘altar’ Kristus menghadap ketua paderi pada tiap-tiap minggu dan mengakui dosanya yang akan diampuni oleh ketua paderi menurut kepercayaan agama Kristian. Ketua paderi mempunyai kekuasaan untuk melakukannya kerana dia dianggap sebagai wakil St. Petrus.” kata Isabella.
“La haula wala quwwata illa billa.” kata Ziad. “Bolehkah manusia mengampunkan dosa selain daripada Allah. Inilah sebabnya mengapa Al-Quran menuduh Kristian menjadikan paderi dan anggota tertua gereja mereka sebagai ‘Rab’ selain Allah. Apakah ada hak paderi-paderi itu mengampunkan dosa?” suaranya mengandungi kehairanan.
“Ya,” jawab Isabella, “asalkan yang berdosa itu mengakui dosanya yang terang dan yang tersembunyi di depan paderi. Kalau dia masih menyembunyikan juga maka dosanya tidak dapat diampunkan.”

Umar Lahmi mencelah, “Jadi untuk mendapat pengampunan dosa segala macam perbuatan kotor mestilah didedahkan? Bagaimana cara kita mahu mendapatkan pengampunan itu?”
Isabella menundukkan mukanya. “Tiap-tiap orang hendaklah pergi ke gereja besar menurut waktu yang telah dijanjikan. Kalau di sini perjanjian itu dibuat dengan Michael atau Peter dan kemudian …”
“Wanita-wanita juga ikut hadir?” tanya Umar Lahmi lagi.
“Ya, tiap-tiap gadis dan pemuda yang dewasa hadir di situ. Paderi akan bertanya tentang dosa yang telah mereka lakukan pada minggu berikutnya. Setelah dosa-dosa itu didedahkan dan pengakuan dibuat, paderi lalu meletakkan tangannya di atas kepala yang berdosa dan berkata, “Kini kamu boleh pergi. Dengan restu Jesus Kristus semua dosamu telah diampunkan.”
“Apakah paderi itu bertanya kepada seseorang itu secara bersembunyi ataupun di depan orangramai secara terbuka?” tanya Umar Lahmi dengan penuh minat.
Isabella dengan cepat menjawab. “Tidaklah begitu memalukan kalau tiap-tiap orang disuruh mengaku secara sulit. Tetapi yang berlaku ialah diminta mengaku di depan semua yang hadir. Sijil pengampunan juga dikeluarkan.”
“Astagfirullah! Walaupun di depan pemuda-pemudi yang belum kahwin?” tanya Umar Lahmi,
“Ya.” ujar Isabella sambil menundukkan mukanya dengan rasa malu. “Malah pemuda dan pemudi yang belum kahwin terpaksa mengakui dosanya di depan umum dan dapat didengar oleh semua orang.”
“Astagfirullah.” Umar Lahmi beristigfar panjang. “Dalam membuat pengakuan dosa mereka serupa itu banyak perkara yang memalukan akan terdedah. Andaikata seseorang itu telah mencuri, dia terpaksa mengaku di depan …”
“Bukan saja mencuri,” ujar Isabella “perbuatan yang paling hina dan keji pun terpaksa diakui di depan umum. Kalau dia tidak mengaku atau menyembunyikan sesuatu maka pengampunan tidak diberikan dan yang berdosa itu akan masuk neraka.”
“Tentulah amat buruk kesannya kepada moral pemuda-pemudi yang belum kahwin?” kata Umar Lahmi.
“Sudah tentu. Tetapi di kalangan penganut Roman Katolik, dosa itu tidak begitu penting dibandingkan dengan usaha mendapatkan pengampunan dosa yang terlalu mudah. Orang-orang dengan senang boleh melakukan dosa.” kata Isabella.
Salah seorang yang hadir mencelah, “Dosa orang biasa juga diampunkan oleh paderi sendiri?”

Setelah sekian lama berdiam diri kerana mendengar soal jawab Umar Lahmi dan Isabella, Ziad sambil tersenyum berkata perlahan seolah-olah kepada dirinya sendiri.
“Barangkali paderi-paderi itu tidak ada melakukan dosa.” Sesudah berkata serupa itu, dia lalu meminta diri naik ke atas untuk menunaikan solat dan berwirid.
Isabella menundukkan kepalanya cuba menyembunyikan perasaan malu.
“Tuan tidak dapat membayangkan betapa pemimpin-pemimpin agama kami melakukan dosa. Lebih-lebih lagi para rahib yang kebanyakan hidup penuh bergelimang dosa.”
“Apa?” Umar Lahmi terperanjat mendengar kata-kata Isabella.
“Apakah kehidupan pemimpin-pemimpin agama itu lebih buruk daripada orang-orang biasa? Apa yang saudara katakan ini? Jangan kerana saudara menjadi Islam, saudara membuat tuduhan palsu terhadap orang lain. Menurut Al-Quran, hukuman terhadap tuduhan palsu amat berat.”
“Memang benar. Tuan boleh berkata serupa itu kerana tuan tidak tahu terutama tentang catatan hitam kehidupan para rahib dan kerana tuan tidak dapat membayangkan perbuatan-perbuatan keji mereka, tuan tidak bersalah kalau menuduh saya berbohong ataupun tidak percaya dengan keterangan saya.” kata Isabella.

“Benarkah ini satu kenyataan?” ujar Umar Lahmi lagi dengan suara rendah, seolah-olah merasa menyesal dengan ucapannya tadi. “Kalau begitu cubalah ceritakan kepada kami secara terperinci.”
Semua yang hadir ikut mendesak Isabella memberikan sedikit penerangan tentang cara-cara amalan yang dilakukan oleh penganut-penganut agama Kristian supaya mereka mendapat sedikit idea untuk membandingkannya dengan agama Islam.
“Saudara-saudara tentu tahu,” kata Isabella setelah diam sejurus mempertimbangkan permintaan hadirin itu, “bahwa mengabaikan dunia dan pengorbanan diri oleh para rahib sangatlah dituntut di dalam agama Kristian. Oleh sebab itu, kebanyakan daripada paderi terdiri daripada rahib-rahib atau orang yang telah membuang dunia. Untuk mencapai keselamatan, mereka mesti menderita kesusahan dan menyeksa dirinya. Dengan cara yang serupa bila kaum wanita menjadi rahib perempuan yakni mereka mengikuti jejak Maryam dan hidup tanpa kahwin. Tetapi dalam wakut yang sama rahib lelaki dan rahib perempuan tidak dapat mempertahankan kesuciannya. Rahib dan pemimpin-pemimpin agama juga berlaku curang dan rahib perempuan seringkali hilang kesuciannya. Kerana ada sistem pengakuan dosa, para rahib itu mendapat satu kesempatan baik untuk memuaskan nafsu bejatnya. Rahib perempuanlah yang kebanyakannya terlibat di dalam kebejatan moral itu. Sementara rahib lelaki ada yang tidak memilih bulu sampai-sampai kepada ibu dan saudara perempuannya jua.” Isabella mengucapkan kata-kata yang terakhir itu dengan penuh rasa malu dan tanpa disedari peluh menyucur keluar dari dahinya.
Semua yang hadir serentak mengucapkan “Astagfirullah! Astagfirullah!”

Setelah diam sejurus lamanya, Umar Lahmi lalu berkata “Keadaan yang serupa ini berlaku kerana agama Kristian memuliakan kehidupan tanpa kahwin dan sistem pembujangan yang bertentangan dengan tabii manusia dan undang-undang Tuhan. Suatu hujah yang kuat tentang kepalsuan agama Kristian ialah ia memaksakan undang-undang serupa ini ke atas manusia yang berlawanan dengan sifat semulajadi dan sudah pasti manusia tidak dapat mematuhinya. Kerana itu, Nabi kita menyatakan: ‘Tidak ada pembujangan di dalam Islam’ yakni tidak ada pembujangan atau membuang dunia di dalam Islam. Nabi juga bersabda “Nikah itu adalah sunnahku maka sesiapa yang tidak suka beramal dengan sunnahku maka tidaklah dia daripada golonganku”. Kitab Suci Al-Quran* juga ada menyebut ‘Kemudian mereka mengadakan rabbaniyah* yang kami tidak memfardhukan ke atas mereka’. Mereka orang-orang Kristian tidak dapat mengawal pembujangan. Betapa mereka dapat mengawali sesuatu yang tidak wajar dan bertentangan dengan undang-undang tabii.”

* AlQuran S57:27 * terlalu menekunkan diri dalam beribadat, menjauhkan diri dari masyarakat dan tidak mahu beristeri.

“Apakah Islam melarang pembujangan dan membuang dunia?” tanya Isabella.
“Sudah tentu. Apa yang saudara dengar tadi ialah hukum di dalam Al-Quran dan dari Hadiths.” jawab Umar Lahmi.
Isabella sangat terharu mendengar keterangan itu dan kemuliaan Islam semakin dalam membekas di dalam hatinya. Tiba-tiba salah seorang daripada hadirin bersuara.
“Jadi para rahib itu tidak dapat membezakan antara yang hak dengan yang batal dan yang benar dengan yang salah?”
“Banyak sekali perkara yang memalukan,” ujar Isabella “kita dapat menilainya sendiri apabila kehormatan ibu dan saudara perempuan tidak dapat dipercayakan kepada mereka maka apalagi yang tak dapat mereka lakukan?”
Seorang lain yang hadir bertanya “Apakah rahib perempuan juga berbuat kecurangan?”
“Allah melindungi kita semua. Keadaan mereka adalah lebih buruk lagi daripada rahib lelaki.” ujar Isabella. “Kebanyakan mereka hidup penuh kehinaan. Sejarawan Eropa pernah menulis tentang tengkorak bayi yang dijumpai di dalam tangki sekolah rahib perempuan bila tangki itu dicuci. Bayi-bayi itu dicampakkan ke dalam tangki untuk menyembunyikan perbuatan di luar nikah.”
“Semua perkara ini berlaku kerana kepercayaan kepada penebusan dosa itulah.” kata Umar Lahmi lagi. “Kepercayaan itu seperti semacam keizinan kepada penganut Kristian untuk berbuat dosa.”
“Memang benar.” kata Isabella. “Tuan pun telah mengetahuinya. Dengan kepercayaan kepada penebusan dosa maka ketakutan kepada dosa menjadi hilang dan tiap-tiap orang yakin bahwa dengan membuat pengakuan di hadapan paderi semua dosa akan diampunkan.”

“Allahu Akbar!” Umar Lahmi mengeluh panjang. “Keagungan dan kebesaran Islam jelas dari kenyataan bahwa di samping menolak kepercayaan penebusan dosa, ia menekankan pekerti yang baik sebagai dasar keselamatan dan kebahagiaan dan pada waktu yang sama menganjurkan prinsip ‘barangsiapa yang berbuat kebajikan walaupun sebesar zahra akan diberi pahala dan barangsiapa yang berbuat jahat walaupun sebesar zahra akan menerima balasan.”
Satu suara dari antara hadirin menyampuk.
“Saudara Isabella, saudara tentu tahu bahwa kepercayaan kepada penebusan dosa itu telah menyebabkan penganut-penganut Kristian melakukan dosa tetapi ada sebab lain lagi iaitu orang-orang Kristian menganggap semua nabi itu berdosa belaka dan berpendapat mereka itu telah melakukan berbagai dosa dalam hidup mereka.”
“Pendapat itu tidak benar. Jikalau semua nabi suci dianggap berdosa maka siapa lagi yang akan tinggal untuk membenci dosa? Dan apa pula hak mereka untuk mencegah orang lain dari berbuat dosa?”
“Saudara benar,” kata Umar Lahmi ” tetapi bagaimana pula pendapat saudara terhadap anggapan penganut-penganut Kristian bahwa, dijauhkan Allah, nabi-nabi suci itu penyembah berhala, penzina dan pembohong?”
“Oh tuan! Benarkah itu kepercayaan Kristian dan mereka menganggap nabi-nabi sebagai penyembah berhala dan pembohong? Kalau benar, manakah satu kitab Kristian yang menyebutnya?” tanya Isabella agak terperanjat.
“Saudaraku. Saudara belum tahu lagi tentang idea-idea Kristian dan untuk membenarkan dosa mereka maka mereka membuat tuduhan yang serius kepada nabi-nabi. Kerana saudara belum mengkaji secara menyeluruh kitab-kitab suci agama Kristian maka saudara terperanjat mendengar kata-kata saya.” jawab Umar Lahmi. “Saya berani menjamin bahwa kalau Islam tidak ada dan Penghulu segala Rasul yang menjadi jagoh dari semua kebajikan tidak membuka keduk tentang kepalsuan Kristian dan Yahudi, maka tidak seorang pun akan menemui kebenaran tentang kesucian nabi-nabi.”

“Apakah orang-orang Kristian itu begitu tidak malu, masih juga percaya kepada nabi-nabi sedangkan nabi-nabi itu mereka anggap orang yang berdosa? Barangkali tuan salah mengerti. Saya belum pernah mendengar dari sesiapa pun bahwa nabi-nabi menyembah berhala atau bercakap bohong. Bolehkah tuan membuktikan dakwaan tuan itu melalui kitab-kitab agama Kristian?” kata Isabella.
“Sudah tentu dari kitab-kitab suci agama saudari.” jawab Umar Lahmi.
“Kitab-kitab suci agama saya?” Isabella hairan dan terperanjat. “Kitab suci agama saya ialah Al-Quran.”
Umar Lahmi tersenyum dan cuba membetulkan kesilapannya. “Maksud saya kitab-kitab yang saudara anggap sebagai kitab-kitab agama Kristian. Kitab-kitab itu ada mengandungi hal-hal serupa itu.”
“Agak aneh,” ujar Isabella “cuba perjelaskan sedikit.”
“Maksud saya,” jawab Umar Lahmi “dalam kitab-kitab suci agama Kristian ada dijelaskan nabi-nabi itu sebagai penzina dan penyembah berhala. Ada disebutkan bahwa Nabi Lot telah membuntingkan kedua anak perempuannya.” Umar Lahmi lalu mencapai Kitab Perjanjian Lama.
“Lihat Injil Kejadian bab 19 ayat 36. Tentang Nabi Daud dikatakan telah tidur dengan Batsyeba binti Eliam isteri Uria orang Het. Lihat 2 Samuel bab 11 ayat 4. Kemudian ada dikatakan pula tentang Nabi Simson yang juga telah tidur dengan seorang perempuan sundal waktu dia sampai di Gaza kemudian jatuh cinta kepada seorang perempuan di Lembah Sorek yang namanya Delila, lihat Injil Hakim-Hakim bab 16:14.”
“Astagfirullah,” sahut orang-orang yang hadir. “Muga-muga Allah mengutuki orang-orang Yahudi dan Kristian. Astagfirullah! Astagfirullah!”

Isabella merasa amat malu. Peluh dingin memercik dari tubuhnya. Lama dia tidak dapat berkata-kata.
“Cuba dengar ini pula,” kata Umar Lahmi menyambung “dalam kitab suci Kristian nabi-nabi juga dikatakan sebagai pendusta. Yakni meskipun mereka itu menjadi nabi tapi mereka tetap bercakap bohong. Mula-mula tentang Nabi Simson. Dia telah berbohong kepada Delila tentang rahsia kekuatannya. Delila cuba mencungkil rahsia kekuatan Nabi Simson itu kerana dia mendapat upah daripada orang-orang Filistin yang mahu menangkap Nabi Simson. Lihat Injil Hakim-Hakim bab 16:6-15. Kemudian tentang seorang nabi lain yang tidak disebut namanya di dalam Injil telah berbohong kepada seorang abdi Tuhan yang tidak mahu pergi ke rumahnya sehingga akhirnya abdi itu percaya kepadanya dan mengikutnya. Lihat Injil 1 Raja-Raja bab 13:18. Seorang nabi lain membuat cerita palsu kepada raja dengan membalut kepalanya yang luka bukan kerana pertempuran di dalam perang tetapi dia sengaja menyuruh orang memukulnya. Lihat Injil 1 Raja-Raja bab 20:37-39. Dalam Injil 2 Raja-Raja pula pada bab 22:13-15 Nabi Mikha bin Yimla disuruh berbohong kepada raja Israel. Nabi Yeremia pula banyak sekali bercakap dusta. Lihat Injil Yeremia bab 38.”
Kemudian Umar Lahmi berkata kepada Isabella. “Saudari cukup kenal dengan St Petrus, bukan? Apa kata orang-orang Kristian terhadapnya?”
“Orang-orang Kristian percaya St Petrus sebagai nabi wali dan semua paderi besar dianggap sebagai pengganti St Petrus dan kerana itu pula maka mereka diberi kuasa untuk mengampunkan dosa.” jawab Isabella.
“Memang benar.” kata Umar Lahmi. “Tetapi tidakkah ada dikatakan dalam kesemua empat-empat Injil bahwa ketika musuh menangkap Jesus Kristus dan kemudian mereka mahu menangkapnya sama, dia lalu menyangkal ada mengenali Jesus Kristus. Dia mengutuk dan menyumpah-nyumpah sampai tiga kali bahwa dia tidak mengenali Jesus Kristus dan Jesus pun pernah berkata kepadanya: ‘Sebelum ayam berkoko engkau telah menyangkal aku tiga kali’.*

*lihat Injil Matius bab 26:69-75, Injil Markus bab 14:66-72, Injil Lukas bab 22:56-62 dan Injil Yohanes bab 18:19-24

“Memang benar ada ditulis begitu.” jawab Isabella. “Saya belajar Injil setiap hari dari guru saya, Michael.”
“Sekarang lihat pula bukti perkara yang ketiga. Menurut orang-orang Kristian, nabi-nabi itu penyembah berhala. Ini ada tertulis dalam Injil Keluaran yang menjadi bahagian keempat Kitab Taurat. Pada bab 32 ayat 4-6 ada dikatakan bahwa Nabi Harun telah menerima barang-barang emas orang-orang Israel lalu dibuatnya anak lembu dan disuruh mereka menyembahnya. Pada bab 11 dari Kitab Raja-Raja di bawah tajuk ‘Salomo Jatuh ke Dalam Penyembahan Berhala’ ada disebutkan bahwa Nabi Sulaiman mencintai banyak perempuan asing dan atas desakan isteri-isterinya ikut menyembah berhala pada ketika usianya sudah lanjut dan dengan demikian telah menyekutukan Allah. Astagfirullah.” kata Umar Lahmi.
“Mudah-mudahan Allah melindungi kita.” jawab Isabella.
“Cuba lihat ini,” sambung Umar Lahmi “di dalam Injil ini saya telah meletakkan tanda pada lembaran-lembaran penting. Saudara boleh melihatnya sendiri,. Saya tidak berbohong.”
Injil itu diserahkan kepada Isabella untuk dilihatnya. Isabella menyambut dan terus membuka halamannya untuk melihat.

“Tujuan saya memperlihatkan perkara ini,” kata Umar Lahmi “ialah kerana orang-orang Kristian itu terlalu lancang dan berani membuat berbagai macam dosa kerana menurut mereka nabi-nabi juga ada membuat dosa dan mereka berpendapat apabila nabi-nabi itu tidak dilucutkan kenabiannya maka mengapa pula orang-orang biasa mesti dihukum atas dosa yang sama.”
“Apakah Al-Quran ada mengatakan nabi-nabi itu orang yang suci?” tanya Isabella.
“Itulah kelebihan Al-Quran yang paling agung. Al-Quran dengan tegas menyangkal semua idea dan tuduhan yang dibuat oleh orang-orang Yahudi dan Kristian. Al-Quran menyatakan bahwa nabi-nabi tidak pernah berfikir untuk melakukan dosa apatah lagi untuk benar-benar melakukannya.” kata Umar Lahmi. “Lihat Al-Quran Surat Hud yang mengatakan antara lain bahwa apa yang dilarang oleh nabi-nabi itu mereka tidak pun pernah berfikir akan melakukannya* dan menurut Al-Quran nabi-nabi tergolong dalam golongan insan yang suci.”

* “… dan tiada aku berkehendak akan mengerjakan sesuatu yang aku larang kamu mengerjakannya” AlQuran S11:88

“Tidakkah Al-Quran ada menyebut bahwa Adam ada memakan buah yang dilarang? Bukankah melanggar perintah Tuhan itu satu dosa?” tanya Isabella.
:D efinisi dosa ialah sesuatu perbuatan yang terlarang dilakukan dengan sengaja,” jawab Umar Lahmi “sesuatu yang dilakukan dalam keadaan tidak sedar tidak dianggap berdosa. Misalnya seseorang yang sedang berpuasa dilarang minum atau makan tetapi jikalau dia makan dan minu dalam keadaan terlupa, puasanya itu sah dan dia tidak berdosa. Nabi Adam memakan buah yang terlarang dalam keadaan terlupa seperti yang disebutkan Al-Quran dalam Surat Taha iaitu Allah telah menerima pengakuan Adam kerana dia telah terlupa dan Allah tidak melihat ada kesengajaan dengan perbuatannya itu.” *

* “Sesungguhnya telah kami janjikan kepada Adam sebelumnya, lalu dia lupa dan tidak mempunyai cara berfikir yang kuat,” Al-Quran S20:115

“Maha Suci Allah. Tahulah saya sekarang bahwa Adam tidak melakukan dosa. Kalau tidak, pada paderi Kristian selalu mendakwa Al-Quran ada mengatakan Adam itu orang berdosa.” ujar Isabella. Dia kemudian melihat jam. “Oh, saya sudah terlalu lewat dan mesti pulang ke rumah segera. Bapa saya dan ibu tentu sedang menunggu saya pulang dan saya pun belum lagi makan.”
“Kalau saudari mahu makan di sini bersama kami juga boleh. Dapat kami sediakan menurut makanan biasa guru kami, Ziad. Sudikah saudari makan di sini?” tanya Umar Lahmi.
“Terima kasih banyak. Tetapi saya lebih suka makan di rumah, kadang-kadang ibu saya tidak akan makan sampai saya pulang. Dia biasa menunggu saya untuk makan bersama-sama.” jawab Isabella.
Umar Lahmi tersenyum kecil mendengar jawaban Isabella. “Berapa lama dia dapat menunggu makan bersama-sama saudari agaknya kerana pada suatu hari nanti rahsianya akan bocor juga?”
“Itu kita serahkan kepada keadaan tetapi buat masa ini, izinkanlah saya pulang dulu.”
“Jadi bila saudari akan membawa sahabat-sahabat saudari ke mari?” tanya Umar Lahmi.
“Esok kalau tidak ada halangan. Paling lambat lusa. Saya mohon doa tuan-tuan agar mereka diberi petunjuk ke jalan yang benar seperti saya.” kata Isabella.
“Amin!” Para hadirin menyahut serentak.

Isabella lalu bangun. Umar Lahmi dan para hadirin ikut bangun menghormatinya.
“Sampaikan salam saya kepada Tuan Ziad.” kata Isabella kepada Umar Lahmi sebelum dia meninggalkan majlis itu.

BAB 8 Isabella Di Rumah

Setelah meninggalkan majlis yang penuh bererti dan banyak memberikan harapan, Isabella pulang melalui jalan yang terus menuju ke rumahnya; melewati Qasrus Syuhada dan terus ke Suqul Asafir. Pertemuan dgn Ziad bin Umar telah meninggalkan kesan yang cukup mendalam di hati sanubarinya. Perasaannya riang gembira sehingga dia tidak menghiraukan keadaan sekeliling. Dia menhayunkan kaki perlahan-lahan dengan teratur. Matanya tunduk ke bawah. Kira-kira setengah jam kemudian dia pun sampai ke rumahnya. Dilihat ibu sedang menunggu kepulangannya di pintu rumah dalam keadaan gelisah. “Kemana kau pergi sehingga pulang lewat serupa ini?” tanya ibu sebaik-baik saja dia mengucup tangannya.
“Saya di rumah kawan, mama.” jawab Isabella. Tetapi dia tidak menyebut nama kawannya walaupun didesak ibunya.
Ibunya segera menyuruh pembantu rumah menyediakan makanan. Mereka lalu makan bersama-sama. Kemudian bapa Isabella pula datang dan ikut makan. Mereka tidak banyak berbicara di meja makan. Setelah selesai, masing-masing masuk ke dalam bilik. Malam itu, Isabella tidak ke mana-mana. Dia terbenam di dalam biliknya sambil mentelaah tafsir Al-Quran yang diberikan oleh Umar Lahmi.

Di waktu pagi, dia terbangun apabila mendengar suara muazzin yang mengumandangkan azan subuh dari menara Masjid Cordova. Betapa merdu laungan itu sampai ke telinga di pagi yang bening, membangunkan orang-orang yang sedang tidur supaya mengerjakan solat subuh, rukuk dan sujud kepada Allah Yang Maha Besar. Betapa mempesonakan kata-kata Allahu Akbar! Allahu Akbar! Berbeza daripada bunyi loceng gereja yang juga mulai memecah keheningan pagi dengan keriuhan yg tidak ada erti. Suara muazzin yang beralun-alun menusuk sukma secara mendalam sementara bunyi ding-dong, ding-dong loceng hanya menggegarkan perasaan secara tidak menentu. Dua macam cara yang membezakan dua macam agama. Tidak lama kemudian pemeluk-pemeluk agama Islam yang taat mulai keluar meninggalkan masjid sesudah menyerahkan jiwa dan raga kepada Allah. Kaum buruh, peniaga dan petani masing-masing menuju ke tempat kerja, pasar dan ladang mulai ramai. Kicauan burung mulai tenggelam oleh suasana siang.

Mendengar panggilan beribadat itu, Isabella pun bangun dari tempat tidurnya. Setelah membersihkan diri, dia pun masuk ke dalam bilik bacaan di rumahnya, duduk di suatu sudut mentelaah sebuah kitab. Sedang asyik dia dengan kitabnya, pintu bilik diketuk orang. Isabella agak hairan. Siapa gerangan yang mengetuk pintu bilik di waktu pagi begini. Dia tahu bapa dan ibunya masih bersembahyang di gereja besar. Mereka akan pulang ketika hampir waktu sarapan.

“Siapa?” tanya Isabella.
“Kami!” sahut suara di luar.
Isabella kenal suara itu. Suara gurunya, Michael. Dengan segera, dia bangun membuka pintu. Isabella sangat terperanjat melihat Michael dan Peter berdiri di depan pintu. Dia dengan segera menundukkan kepalanya memberi hormat dan mempersilakan mereka masuk. Ketika dia hendak menutup pintu, bapanya pula muncul. Perasaan Isabella menjadi gempar melihat kehadiran bapanya, Michael dan Peter secara serentak. Dia lalu meminta diri kerana sangkanya mereka hendak membincangkan sesuatu perkara yang penting. Boleh jadi masalah yang berhubungan dengan orang-orang Islam.

“Kau tunggu!: Bapanya memberi isyarat dengan tangan. Perasaan Isabella menjadi semakin gempar dan kecut apabila mendengar arahan bapanya yang aneh. Tentu kedatangan gurunya dan Peter secara tiba-tiba itu ada hubungan dengan dirinya. Barangkali pertemuannya dengan orang-orang Islam telah sampai ke pengetahuan mereka.
“Duduk!” Bapanya memberi arahan.
Isabella pun duduk di sebuah kerusi yang agak jauh sedikit tetapi berhadapan dengan bapanya. Dia melihat urat-urat timbul di wajah bapanya. Air mukanya yang selalu lembut itu agak tegang, sekali-sekala dia menggigit-gigit bibirnya menahan perasaan. Ibu Isabella juga dipanggil masuk. Bapa Isabella pun membuka mulutnya. Mula-mula dia tujukan kepada ibu Isabella. Kemudian kepada Michael dan Peter.
“Tahukah kamu akan keadaan anak ini sekarang? Betapa dia memalukan dan menghina kita. Kerana memikirkan hal itulah maka saya memanggil anda berdua ke mari.”

Peter kelihatan terperanjat. Dia memandang Isabella dan berkata, “Oh, ada apa?”
“Perkaranya amat serius,” ujar ketua paderi “sudah agak lama saya mendengar berita anak ini telah meninggalkan agama Kristian dan secara sembunyi-sembunyi memeluk agama Islam.”
“Apa? Apa?” Helena, ibu Isabella, hampir memekik mendengar kata-kata suaminya. “Apa anda katakan ini? Jesus Kristus tidak akan mengizinkan. Tetapi kenapa anda begitu meradang pagi ini sehingga tanpa sebab menuduh anakku masuk Islam?”
“Apa yang aku katakan ini adalah benar.” jawab ketua paderi. “Kalau tidak hari ini, beberapa hari lagi kau akan mengetahuinya juga.”
“Bapa yang suci,” sampuk Peter “kata-kata bapa agak aneh. Isabella seorang anak yang baik. Dia telah belajar teologi. Dia tidaklah begitu bodoh untuk menerima agama Islam yang terkutuk itu.”
“Saya tidak tahu kenapa anda berprasangka begitu.” ujar Helena seraya bangun mendekati Isabella yang sedang duduk dalam ketakutan di sudut bilik.
Helena memegang bahunya dan berkata “Kau dengar apa yang dikatakan oleh bapamu?”

Isabella diam dan tunduk. Waktu itu bapanya memberi isyarat kepada Michael supaya bertanya.
“Anakku,” kata Michael “benarkah kau telah memberontak terhadap agama Kristian? Benarkah begitu? Kalau ada orang yang menuduh kau serupa itu, kau mesti membantahnya.”
Isabella mengangkat muka memandang Michael. Kemudian segera tunduk kembali dan mendiamkan diri. Air matanya berlinang.
“Nah, tengoklah,” kata Helena “bukankah telah aku katakan ada orang yang membuat dakwaan palsu terhadap anakku. Apa bantahan yang dapat dia buat? Airmatanya itulah saja yang dapat menjawab tuduhan dia memberontak terhadap agama Kristian. Tuduhan itu palsu.”
“Cuba anda diam dulu. Biar Isabella menjawab sendiri.” ujar ketua paderi dengan perasaan gusar melihat ibu Isabella ikut campur. “Nah, anakku. Cuba ceritakan benar atau tidak laporan mengenai dirimu itu?”
“Saya belum menerima Islam dan masih tetap menjadi penganut Kristian.” jawab Isabella.
“Kalau kau belum lagi terima Islam apakah kau akan menerimanya nanti?” Michael segera bertanya.
“Kenapa bapa tanya saya tentang hari depan?” Isabella memandang Michael dan menentang matanya. “Saya juga boleh bertanya serupa itu kepada bapa.”
“Nah, kalau begitu cuba terangkan pendapatmu tentang agama Islam.” kata Michael membalas tenungan Isabella.

Isabella tidak menjawab segera. Dia memandang muka bapanya yang masih tegang menggigit bibir. Dari muka bapanya dia beralih ke muka ibunya yang sudah kembali ke tempat duduknya. Mukanya membayangkan kesan-kesan kegelisahan. Kemudian melihat muka Peter. Paderi tua itu tenang tetapi ada tanda-tanda kegoncangan perasaan di dalam.
“Saya tidak pernah menghina Islam.” katanya sambil melihat wajah Michael. “Kerana di dalam Kitab Suci Islam, Jesus diberi kemuliaan sebagai nabi yang suci dan orang-orang Islam memuliakannya.”
“Kalau begitu kamu cintakan Islam dan orang-orang Islam?” Michael mengajukan pertanyaan dengan cepat.
“Bapa boleh mengatakan serupa itu ataupun dengan perkataan lain yang bapa suka.” jawab Isabella. “Bagaimanapun saya bukanlah orang yang tidak berbudi. Jikalau orang-orang Islam memuliakan Kristus kita maka saya pun memuliakan nabi dan kitab suci mereka.”
“Jadi sudah jelas sekarang ini bahwa di dalam hati kamu, kamu telah menjadi seorang Islam, kalau tidak masakan kamu memuji Islam dan penganutnya begitu.” kata Peter cuba memerangkap Isabella. “Nah, beritahu kami apa fikiranmu terhadap agama ygn kamu anuti sekarang yakni agama Kristian?”

Isabella dapat menangkap arah tuju pertanyaan paderi tua itu.
“Saya beriman dengan Kitab Injil dan semua kitab yang diwahyukan tetapi saya tidak mahu terima segala cacat-cela yang telah dimasukkan ke dalam agama oleh penganut-penganut Kristian sekarang ini.”
Mendengar jawaban itu, bapa Isabella lalu berkata ke arah Michael, Peter dan ibu Isabella.
“Kita sekarang sudah tahu fikirannya. Sudah tidak ada lagi jalan untuk mengubatinya melainkan dengan mata pedang.”
Ibu Isabella terperanjat mendengar keputusan suaminya yang nekad itu. Lidahnya kelu tidak dapat berkata-kata. Peter segera membuat isyarat dengan tangannya.
“Berilah saya masa. Saya pasti akan dapat mengubah fikirannya. Saya akan mengikis semua salah fahamnya, apatah lagi Isabella pun ada belajar ilmu ketuhanan.”
“Baiklah! Anda boleh cuba dan kita akan lihat hasilnya. Kalau gagal saya akan fikirkan satu cara lain mengubatinya.”
Setelah berkata begitu ketua paderi pun bangun dan mengajak Michael dan Peter mengikutinya. Mereka berangkat ke gereja besar kerana menghadiri satu perhimpunan penganut-penganut Kristian yang datang dari seluruh negara Sepanyol untuk menyaksikan tanda peninggalan nabi-nabi dan ketua paderi yang terdahulu yang merupakan tulang-tulang dan lain-lain. Pada hari itu orang-orang Kristian telah datang dari tempat-tempat yang jauh untuk ikut ambil bahagian di dalam upacara tersebut yang akan dirahmati oleh ketua paderi.

Setelah ketua paderi, Michael dan Peter meninggalkan bilik, ibu Isabella yang masih kebingungan bangun mendekati anaknya sekali lagi.
Dia memeluk leher Isabella sambil berkata “Benarkah apa yang dikatakan oleh bapamu itu, nak?”
Isabella tidak menjawab. Dia memegang tangan ibu dan menepuk-nepuk dengan lembut sambil bangun melepaskan diri.
“Saya mahu masuk ke bilik saya, mama.” katanya lalu terus berjalan menuju ke bilik sambil diperhatikan oleh ibunya dengan perasaan sedih bercampur hiba.
Isabella mengunci pintu bilik. Dia merebahkan diri di atas katil dan mula memikirkan nasibnya. Dia yakin akan menerima hukuman daripada bapanya dan paderi-paderi lain. Hukuman dan seksaan yang kejam bukan sesuatu perkara asing bagi penganut-penganut agama Kristian yang murtad ataupun mengeluarkan sesuatu pendapat agama yang bertentangan dengan ketua-ketua agama. Dia akan menghadapi hukuman yang berat. Namun dia sedikit pun tidak gentar dengan segala macam kekejaman dan seksaan yang akan ditimpakan ke atasnya. Hatinya telah bulat dan tekadnya telah tetap, dia akan menghadapi semua percubaan itu dengan hati yang tabah dan tidak berganjak.

Isabella kemudian mengambil kertas dan pena lalu menulis surat kepada Mirano, anak Michael, yang menjadi sahabat akrabnya.

Saudaraku yang dikasihi.
Tadi malam kira-kira jam sembilan, aku telah menghadiri satu pertemuan para cendekiawan Islam. Umar Lahmi dan ahli-ahli agama juga ikut hadir. Bagaimana aku akan menerangkan kepadamu suasana pertemuan itu! Suatu pertemuan yang sungguh menakjubkan. Kehadiranku di situ sesungguhnya semakin menebalkan lagi keyakinanku terhadap Islam. Aku sangat berharap kau juga ikut bersama-sama aku pada waktu itu. Tetapi aku telah berjanji dengan ketua mereka, Ziad bin Umar, akan membawa kau bersama-sama untuk ikut serta dalam pertemuan yang akan diadakan malam esok atau malam lusa. Satu perkara penting telah terjadi ke atas diriku hari ini. Nampaknya, aku akan dihadapkan ke inquisisi. Doakanlah agar aku tetap di jalan yang benar. Bapaku rupanya telah mendapat berita tentang diriku bahwa aku telah memeluk agama Islam. Dia telah memanggil bapamu dan Peter ke rumah kami. Berbagai macam pertanyaan telah diajukan kepadaku. Cuba kau bayangkan betapa tersepitnya keadaanku waktu itu. Tetapi aku telah memberikan jawaban yang tegas kepada mereka. Peter telah memberikan janji kepada bapaku bahwa dia akan membawa aku kembali kepada agama Kristian. Kalau keadaan yang serupa berlaku, aku harap kau dan ketiga orang kawan kita yang lain akan ikut hadir sama.

Perkara-perkara lain akan aku sampaikan secara lisan kepadamu nanti.

Saudaramu,
Isabella

Setelah siap surat itu ditulis, Isabella memanggil pengasuhnya dan menyuruh mengembalikan sebuah buku kepada Mirano serta mengambil buku lain daripadanya.
“Surat ini yang telah lama terletak di sini juga dibawa bersama-sama dan diberikan kepadanya.”
Pengasuh pun segera melakukan apa yg disuruh. Dia pergi ke rumah Michael dan menyerahkan buku dan surat kepada Mirano. Mirano segera membaca surat tersebut lalu memberitahu pengasuh Isabella bahwa dia sendiri akan menghantar buku itu kepada Isabella nanti.

Pada petang itu, Isabella dan keempat orang sahabatnya bertemu di taman tempat mereka pertama kali mendengar perbualan Umar Lahmi. Dia menceritakan kepada sahabat-sahabatnya tentang kejadian pagi tadi di rumahnya seraya meminta pendapat mereka. Sahabat-sahabatnya sangat ingin berjumpa Ziad bin Umar. Mereka juga mencadangkan agar Isabella memberitahu kejadian pagi itu kepadanya.

Mereka membuat keputusan akan ke rumah Ziad bin Umar pada petang berikutnya. Setelah itu mereka pun bersiar-siar di taman itu sampai waktu perpisahan lalu pulang ke rumah masing-masing.

BAB 9 Ujian Keimanan

Pagi berikutnya, Isabella menerima surat dari Michael yang dibawa oleh seorang pesuruh. Surat itu berbunyi : Anakku Isabella. Harap kamu dapat datang segera ke tempatku kerana ada perkara yang penting yang akan kubincang denganmu. Tinggalkan dulu urusanmu yang lain. Aku menunggu kedatanganmu. Sepintas lalu, Isabella sudah dapat menanggapi maksud surat itu, tentu ada hubungan dengan peristiwa yang berlaku kelmarin pagi di rumahnya. Isabella lalu memberitahu ibunya. Dia pun segera bertolak ke rumah Michael.

Di sana, selain daripada Michael dan Peter, ikut plua seorang rahib yang cukup terkenal, cukup popular dan mashyur di seluruh Sepanyol kerana kehidupan pertapaannya. Mirano di lain pihak telah memanggil kawan-kawannya supaya datang berkumpul di rumahnya untuk mendengar pemeriksaan ke atas Isabella.
Setelah Isabella dipersilakan duduk di tempat yang disediakan khas untuknya, Michael pun memulai pertanyaan seperti berikut, “Kelmarin kamu telah menangkis pertanyaan-pertanyaan kami dengan jawaban yang bersifat kabur. Hari ini kami akan bercakap kepadamu secara berterus-terang. Nah, mahukah kamu menjawab soalan saya dengan jawaban yang benar?”
“Saya tidaklah begitu pintar untuk menjawab semua pertanyaan bapa dan yang kedua saya fikir tidak ada perkara sehingga interogasi serupa ini dilakukan ke atas saya.”
“Apakah kamu sudah menjadi seorang penganut Islam?”
“Saya sudah menjawabnya kelmarin dan saya tidak mahu berkata apa-apa lagi tentang hal itu.”
“Baiklah,” kata Michael, “apakah kamu percaya dengan Ketuhanan Suci dan Jesus Kristus sebagai Tuhan dengan segala keperluan kewujudannya?”
“Saya percaya kepada Tuhan sebagai Tuhan dan bukan manusia sebagai Tuhan.” jawab Isabella.
“Jadi jelaslah bahwa kamu tidak percaya kepada Ketuhanan Tuhan Jesus Kristus. Jadi, apa lagi bukti yang ada kalau kau bukan seorang Muslim?” tanya Michael.
“Maksud saya tidak ada bukti di mana-mana pun juga di dalam Injil bahwa Jesus itu Tuhan.” jawab Isabella.
“Demi Tuhan!” kata Michael dengan nada yang agak meninggi. “Jangan memfitnahkan Injil Suci. Tidakkah kau baca di dalam Injil itu bahwa dia adalah ‘putera Tuhan’?”
Isabella lalu mengambil Injil dan dipegangnya.
“Nah, kalau begitu tolong jelaskan kepada saya makna ayat berikut.” Lalu dibukanya Kitab Jonah, bab 1 ayat 31-36 dan dibacanya: “Orang-orang Yahudi lalu mengangkat batu untuk melempari Kristus, yang berkata kepada mereka. Aku telah menunjukkan kepada kalian banyak perkara yang baik dari bapa, apakah kerana itu kalian merajami aku? Orang-orang Yahudi menjawab: Kami bkan merajami kamu kerana perbuatan-perbuatan baik tetapi kerana kecuranganmu sebagai manusia mengaku dirimu sebagai Tuhan. Kristus berkata: Tidakkah agamamu ada berkata bahwa kamu juga Tuhan? Waktu dipanggil Tuhan itu kepada mereka yang diberi wahyu maka orang yang telah dikirim Tuhan ke dunia sesudah dimuliakannya, maka betapa kalian berkata dia bercakap curang. Itulah sebabnya aku berkata aku ini ‘putera Tuhan’. Ini serupa dengan panggilan terhadap lain-lain nabi di dalam Kitab Taurat dan lain-lainnya. Maka serupa itulah pula aku dipanggil ‘putera Tuhan’. Jadi,” kata Isabella, “saya ingin bertanya nabi yang manakah sebelum Jesus yang dipanggil Tuhan? Orang-orang Kristian percaya bahwa nabi-nabi yang terdahulu itu dipanggil Tuhan sebagai kiasan dan kerana kasih dan saya berkata dalam bentuk kiasan yang sama pula dan kerana kasihkan Jesus Kristus maka dia dipanggil Tuhan dan bukan kerana dia benar-benar Tuhan seperti yang didakwakan.”
“Gadis terkutuk!” Michael sudah tidak dapat membendung kemarahan lagi. “Kamu sudah suka bercakap. Daripadaku kamu belajar, sekarang kamu berani bertanyakan erti ayat-ayat itu kepadaku seolah-olah aku terlalu bodoh dan kamu seorang terpelajar. Tetapi dengan ini nabi-nabi dulu tidak dapat jadi Tuhan dalam erti sebenarnya kerana mereka itu tidak suci, sedangkan Tuhan Jesus Kristus bersih dari dosa dan suci maka sebab itulah dia menjadi Tuhan.”

“Kita tidak bercakap tentang dosa atau suci. Soalnya ialah Jesus Kristus menamakan dirinya Tuhan serupa dengan nabi-nabi lain yang menamakan diri mereka Tuhan. Jikalau Jesus Kristus benar-benar Tuhan maka kita pun juga mesti mengakui bahwa nabi-nabi lain itu pun Tuhan.” jawab Isabella. “Lagi pula dalam ayat itu Jesus Kristus menjawab tuduhan orang-orang Yahudi. Kalau benar dia putera Tuhan maka ia patut menerima tuduhan Yahudi itu.”
“Oh betapa hebatnya! Kamu kini telah menjadi ilmuwan besar sehingga kamu mau meremehkan kami.” kata Michael. “Sudah jelas kini kamu telah dipengaruhi. Jikalau Jesus Kristis itu bukan Tuhan tetapi manusia biasa bagaimana dia boleh melakukan penebusan dosa bagi dosa kita semua. Apakah ada manusia yg bebas dari dosa?”
“Saya tidak begitu faham bagaimana bapa membuat peraturan ini bahwa tidak ada manusia yang suci meskipun dalam Injil Lukas bab 1 ayat 6 ada kisah tentang Zakaria dan isterinya. Dalam Injil itu mereka berdua ada disebutkan bahwa Zakaria dan isterinya Elizabet adalah benar di hadapan Tuhan dan hidup menurut segala perintah dan ketetapan Tuhan dengan tidak bercacat. Jadi, jelaslah bahwa Zakaria dan isterinya orang-orang suci jikalau tidak perkataan ”tidak bercacat” itu tentu tidak ada makna. Jadi, kesucian Kristus bukanlah satu perkara unik. Dia suci seperti sucinya orang lain juga. Tentang masalah penebusan dosa ini juga tidak terdapat bukti di dalam Injil, kerana tidak ada orang yang memikul beban dosa orang lain apatah lagi memikul beban dosa seluruh manusia lalu mati menderita di atas salib. Pada kenyataannya Jesus ada menyebut di dalam Injil bahwa keselamatan diperoleh berdasarkan amalan bukan dengan penebusan dosa, seperti yang tertulis di dalam Injil Matius bab 16 ayat 27: Anak manusia (Adam) akan datang dalam kemuliaan bapanya, diiringi malaikat-malaikatnya, pada waktu itu dia akan membalas setiap orang menurut perbuatannya. Dalam Injil Matius juga bab 19 ayat 16-20, Injil Markus bab10 ayat 17-27, Injil Lukas bab 18 ayat 18-27 ada kisah tentang seorang lelaki datang kepada Jesus dan bertanya: Guru, perbuatan baik apakah yang harus kuperbuat untuk memperoleh hidup yang kekal?”
Jesus menjawab, “Apakah sebabnya engkau bertanya kepadaku tentang apa yang baik? Hanya satu yang baik. Tetapi jikalau engkau ingin masuk syurga turutlah segala perintah Tuhan.” Kata orang itu lagi, “Perintah yang mana?” Jesus menjawab “Jangan membunuh, jangan berzina, jangan mencuri, jangan mengucapkan saksi dusta, hormatilah ayahmu dan ibumu dan kasihlah sesama manusia seperti dirimu sendiri.” Maka terbukti sekarang daripada ayat-ayat itu bahwa jalan keselamatan hanyalah melalui amalan. Kristus tidak berkata begini sebagai jawaban kepada pertanyaan orang lelaki itu. “Kamu tidak payah lakukan apa-apa kerana aku akan melakukan penebusan dosa untukmu.”

“Perempuan! Kau nampaknya seperti mahu mengajar aku,” kata Michael menahan kemarahan, “apakah kau tidak percayakan aku lagi. Aku ialah gurumu. Kamu mesti percaya semua kata-kataku. Kalau hanya dengan kebijaksanaanmu saja kamu tidak dapat memahami masalah-masalah agama yang sulit. Nah, perkara penebusan dosa akan kita bicarakan kemudian. Sekarang kita selesaikan masalah ketuhanan Jesus Kristus dulu. Orang-orang Islam juga percaya bahwa Kristus telah diangkat ke langit hidup-hidup. Apakah ini bukan bukti tentang ketuhanannya? Jesus telah memperlihatkan mukjizat-mukjizat yang agung. Dia menghidupkan orang mati, memberi celek kepada orang yang buta. Bukankah perkara-perkara ini membuktikan ketuhanannya? Perkara yang utama ialah kamu mesti lebih dulu menerima atau menolak ketuhanan Jesus kemudian baru kita bercakap perkara lain.”
“Soal penebusan dosa tuan dulu yang memulakannya dan saya ikut membincangkan saja. Kalau Jesus Kristus boleh menjadi Tuhan kerana dibawa ke syurga hidup-hidup maka Elia juga patut menjadi Tuhan. Sebab menurut Injil dia juga dibawa hidup-hidup ke syurga.* Tentang Jesus menghidupkan orang mati dan memberi celek kepada orang yang buta, maka itu pun belum boleh dijadikan bukti yang dia adalah Tuhan sebab nabi-nabi lain juga ada memperlihatkan mukjizat mereka seperti yang sudah jelas disebutkan di dalam Injil. Kalau mukjizat serupa itu boleh menjadikan dia Tuhan, maka nabi-nabi lain juga Tuhan, tentunya.” kata Isabella.

*lihat 11 Raja-Raja bab 2:1-8 ‘Elia Naik ke Syurga’

“Lihat! Betapa pandainya budak perempuan ini menipu.” kata Peter. “Hai perempuan bodoh! Mukjizat yang ditunjukkan oleh nabi-nabi lain itu bukanlah kekuasaan mereka sendiri tetapi kekuasaan yang diberikan Tuhan. Mukjizat Kristus adalah dari kekuasaannya sendiri, yang menunjukkan bahwa dia adalah Tuhan.”
“Mukjizat bukan bukti kenabian apalagi mahu disebut sebagai ketuhanan,” jawab Isabella, “menurut agama Kristian bukan satu kemestian seseorang yang melakukan mukjizat itu nabi. Jadi, kalau nabi saja masih belum boleh dipanggil bagaimana pula dia mahu menjadi Tuhan. Jesus pernah berkata: “Saya dengan berterus-terang memberitahu kamu, barangsiapa beriman dengan saya, juga akan ikut membuat amalan seperti saya beramal, malah lebih hebat lagi*. Tentang dakwaan tuan bahwa mukjizat Kristus adalah kekuasaannya sendiri, sementara yang lain didapati dengan paksaan, ini juga dakwaan yang salah. Kitab Injil telah membuktikan bahwa tidak saja dalam melakukan mukjizat, dalam semua perkara yang lain pula pun Jesus tidak berdaya seperti nabi-nabi yang lain juga. Kerana apabila Jesus mahu melakukan mukjizat dia lebih dulu memohon bantuan daripada Tuhan. Dalam mukjizat roti dan ikan, dia menengadah ke langit dan mengucap berkat*, meminta pertolongan Tuhan dan ditempat lain pula dia berkata, “Jenis ini tidak dapat diusir kecuali dengan berdoa.” Jesus menyembuhkan orang tuli. Dia masukkan jarinya ke telinga orang itu lalu dia meludah dan meraba lidah orang itu kemudian menengadah ke langit Jesus menarik nafas. Jadi, dia berdoa juga kepada Tuhan*. Jadi dari Injil sendiri ada bukti bahwa Kristus serupa juga dengan orang lain, tidak ada kuasa untuk berbuat sesuatu. Kalau dia benar-benar Tuhan tentulah dia tidak terlalu lemah untuk berbuat sesuatu dan meminta bantuan daripa orang lain. Sebagai Tuhan maka dia bebas melakukan apa saja seperti Tuhan yang Maha Berkuasa.”

* Injil Jonah, bab 14:12 *Injil Matius, bab 14:13-21; Markus 6:30-44; Lukas 9:10-17; Yoh 6:1-13 * Injil Markus 9:29 *Injil Markus 7:31-35

Isabella lalu mengambil Injil dan membuka.
“Jesus Kristus berkata: Kerana bapanya telah bersenyawa di dalam dirinya dan bapanya juga memberikan kepadanya kekuasaan untuk melakukan keadilan kerana dia dilahirkan sebagai manusia*. Malah nyawa Jesus Kristus juga bukan haknya sendiri tetapi diberikan oleh Tuhan dan Tuhan pula yang memberikan kekuasaan kepadanya untuk melakukan keadilan. Tanpa rahmat Tuhan, keadilan apapun tidak dapat dilakukan olehnya. Hujah saya, Jesus adalah manusia dan manusia tidak akan dapat berbuat sesuatu tanpa pertolongan Tuhan. Di tempat lain Jesus pernah berkata: Saya tidak dapat berbuat apa-apa sendirian, saya berbuat keadilan seperti yang saya dengar dan pengadilan saya adalah adil*. Selanjutnya dia berkata: Saya datang dari syurga bukan mahu berbuat menurut sesuka hati saya tetapi berbuat menurut arahan orang yang mengirim saya ke mari. Nah, itulah bukti-bukti bahwa Kristus seorang yang tidak berdaya seperti juga manusia yang lain dan bergantung kepada orang lain tidak boleh menjadi Tuhan, maka Jesus juga bukan Tuhan*.”

*lihat Injil Jonah 5:26-27 * lihat Injil Jonah 5:30 *lihat Injil Jonah 16:38

Tidak saja Peter dan Michael yang terperanjat mendengar hujah-hujah Isabella yang lancar itu tetapi rahib yang seorang lagi pun seperti kelu lidahnya, tidak dapat mencelah sedikitpun. Hanya sesudah Isabella berhenti barulah mereka itu tersentak sedar dari pesona. Peter dengan cepat berkata sambil memandang kepada Michael.
“Nah, anda lihat betapa keras sudah anak ini. Orang-orang Islam telah mengajarnya untuk petah berkata-kata. Apakah anda masih berharap dia akan kembali ke jalan yang lempang? Saya fikir tidak ada gunanya lagi kita berhujah dengannya kerana imannya sudah hilang dan dia sudah menjadi ingkar.”
“Saya yakin dia telah berada di bawah kekuasaan syaitan.” jawab Michael.
Dia lalu berpaling kepada Isabella. “Semua hujah yang kamu katakan itu telah ada jawaban yang jelas dan kamu telah pun membacanya di dalam pelajaran teologi. Ada juga jawaban yang kamu tidak akan faham sama sekali. Dan sekarang, saya tidak mahu menjawab semua pertanyaanmu itu sebaliknya saya mahu tahu apa pendapatmu yang sebenarnya mengenai agama Kristian supaya mudah kami membuat keputusan tentang dirimu. Kamu telah menerangkan dengan jelas tentang pendapatmu mengenai ketuhanan Kristus dan penebusan dosa. Nah, ada apa-apa lagi yang akan kamu tambah.”
“Saya tidak pernah menafikan Kitab Injil dan Jesus Kristus. Tetapi apa yang saya katakan ialah menurut ajaran Injil tidak ada bukti bahwa Jesus itu Tuhan dan tidak ada alasan yang munasabah tentang penebusan dosa. Semua itu hanyalah rekaan orang-orang Kristian saja.” jawab Isabella.
“Jadi maksudmu semua penganut Kristian penipu dan semua penganut Kristian telah bersatu menentang Kitab Suci Injil?” Michael mengherdik. “Gadis terkutuk isi neraka! Kalau au tidak dapat memahaminya, terima saja keputusan yang telah dibuat oleh ketua-ketua agama. Bapamu yang menjadi ketua paderi mempunyai kuasa penuh untuk mengampunkan dosa, apakah dia juga menganggap semua ini salah? Apakah semua paus, rahib, alim ulama Kristian dan hamba abdi agama Kristian berjalan di jalan yang salah?”

Isabella sedikitpun tidak terpengaruh dengan herdikan Michael, malah dia dengan tenang menjawab, “Seperti Kitab Injil yang tidak membuktikan ketuhanan Kristus dan penebusan dosa maka serupa itulah pula agama Kristian dari orang-orang yang mengaku Kristian hari ini tidak wujud menurut Injil. Oleh sebab itu pendapat mereka tidak dapat saya terima sebagai bimbingan.”
“Hebat sekali!” kata Michael. “Kami sekarang semuanya penganut-penganut Kristian yang palsu dan tidak wujud sedangkan kamu adalah penganut Kristian tulen dan sejati. Gadis malang! Ke manakah sudah pergi fikiranmu yang waras? Kamu telah membuang orangtuamu. Tunjukkan bukti bahwa kami ini bukan Kristian sejati?”
“Tidak ada sebab bapa mesti naik darah.” ujar Isabella. “Perkara ini sudah cukup jelas. Andaikata bapa dapat membuktikan dari Injil bahwa penganut-penganut Kristian zaman moden ini benar-benar Kristian maka saya dengan seluruh jiwa raga akan menerima keputusan itu dan tidak akan mengemukakan hujah apa pun jua terhadap mereka menurut Injil. Jadi, bapa buktikanlah menurut Kitab Injil bahwa orang-orang Kristian sekarang adalah Kristian tulen.”
“Di seluruh dunia ada orang Kristian dan kamu berani mengatakan bahwa mereka itu bukan Kristian menurut Kitab Injil. Apakah ada bukti lain lagi? Bukankah ini sudah bukti yang cukup bahwa kami beriman Injil, berimankan ketuhanan Jesus dan penyalibannya?” kata Michael.
“Tidakkah orang-orang Islam itu percaya Kitab Injil?” tanya Isabella. “Bolehkah bapa mengatakan bahwa mereka itu juga penganut Kristian? Tentang kepercayaan kepada ketuhanan Kristus dan penebusan dosa maka itu bukanlah hujah-hujah akan keagamaan Kristiannya. Sebaliknya ia membuktikan bahwa orang itu bukanlah penganut Kristian sama sekali kerana tidak ada garis-garis kepercayaan serupa itu di dalam Injil.”
“Kau gadis tak berguna!” sampuk Peter. “Kenapa kamu menimbulkan keraguan kepada agama Kristian kami? Kalau kami ini bukan Kristian cuba kamu tunjukkan Kristian yang sebenarnya. Katakan saja di mana di dunia ini orang-orang Kristian sejati dan tulen itu ada.”
“Bapa boleh marah sebanyak mana yang bapa suka,” kata Isabella, “tetapi yang benar itu tidak dapat bapa sembunyikan. Kalau bapa mahu buktinya dari saya maka saya dengan tulus ikhlas mengatakan bahwa orang-orang Kristian sekarang ini bukanlah penganut Kristus sama sekali dan tentang siapa yang boleh menjadi penganut Kristian tulen saya bersedia membuktikannya menurut Kitab Injil sendiri.”
“Gadis terkutuk!” Michael menjerti. “Kenapa kau membebel-bebl saja? Kenapa tidak tunjukkan bukti-buktinya?”

Isabella tersenyum kecil yang menyebabkan paderi-paderi itu menjadi bertambah jengkel dan sakit hati melihatnya.
Dengan tenang dia mengambil Injil sambil berkata, “Cuba dengar baik-baik tentang tanda-tanda penganut Kristian yang sebenarnya.”
Isabella lalu membaca Injil Markus pada bab 6 ayat 17 dan 18: “Dan di antara manusia yang beriman maka mukjizat-mukjizat ini akan berlaku: Mereka akan mengusir roh jahat dengan menyebut namaku, mereka akan bercakap dengan bahasa baru, mereka akan memegang ular, mereka tidak akan terkena bisa kalau meminum benda-benda yang boleh membawa maut, mereka akan meletakkan tangan ke atas orang sakit dan menyembuhkan penyakitnya.”
Isabella kemudian membuka pula Injil Matius pada bab 16. “Ini tanda-tanda penganut Kristian yang beriman.”
Dia lalu membaca ayat 16 hingga 20. “Pengikut-pengikut mendekati Jesus dan berkata: Kenapa kami tidak dapat mengusir roh-roh jahat itu? Dia menjawab kerana kecacatan dalam imanmu kerana terus terang aku katakan kalau padamu ada iman walaupun sebesar atom dan kamu menyuruh gunung itu pindah dari tempatnya, dia akan pindah dan tidak ada yang mustahil bagimu. Nah,” kata Isabella, “Daripada kedua-dua kutipan Injil ini, ada enam tanda Kristian yang sudah dipastikan:
1. Mengusir keluar roh jahat. 2. Bercakap dengan bahasa baru tanpa mempelajarinya. 3. Memegang ular yang berbisa. 4. Meminum racun tanpa memudaratkan diri. 5. Menyembuhkan penyakit dengan sentuhan tangan dan 6. Mengubah gunung dari tempatnya. Jadi, barangsiapa yang mengaju menjadi Kristian mestilah dapat membuktikan bahwa keenam-enam tanda ini ada di dalam dirinya. Sekarang, bapa adalah seorang Kristian, kita tolak sebelah dulu keenam-enam tanda itu dan sembuhkan seorang sakit dengan sentuhan tangan bapa, gunung tentu tak mungkin bapa pindahkan tetapi ini ada seketul batu. Cuba gerakkan saja kira-kira 10 atau 20 meter, maka kekristianan bapa telah dibuktikan oleh Injil.”
“Memang benar semuanya itu ada disebutkan di dalam Injil tetapi tunjukkan pula tempat yang mengatakan sesiapa yang tidak melakukan mukjizat itu bukan Kristian? Selain daripada itu, tanda-tanda tersebut hanya khas kepada pengikut-pengikut Kristus yang dua belas itu saja bukan kepada semua orang.”
“Kedua-dua keterangan bapa itu salah.” kata Isabella. “Dalam Injil sudah jelas dinyatakan bahwa setiap orang Kristian walaupun imannya sebesar atom, boleh dapat memindahan gunung kalau dikehendakinya, diikuti dengan sesiapa yang tidak ada iman walaupun sebesar atom tidak akan dapat memindahkan gunung. Dan juga salah mengatakan bahwa tanda-tanda ini hanya khas untuk pengikut-pengikut Kristus yang dua belas itu kerana di dalam Injil ada disebutkan dengan jelas bahwa mukjizat ini diberikan kepada semua orang yang beriman. Kalau tanda-tanda ini hanya dikhususkan kepada pengikut-pengikut Kristus saja, maka keimanan pun hanyalah kepada pengikut-pengikut itu saja yang bererti tidak ada Kristian tulen yang dilahirkan sesudah pengikut-pengikut itu.”

“Kau gadis malang!” ujar Peter. “Itulah sebabnya telah kukatakan bahwa kamu tidak dapat memahami misteri dan inti erti Injil. Gadis bodoh! Mukjizat itu ada kaitannya dengan masalah-masalah rohani iaitu dengan sebutan penyakit ertinya penyakit rohani, racun bererti kufur yang dimaksudkan kepada orang-orang Kristian walaupun mereka diserang oleh orang-orang kafir, mereka tidak akan berganjak dari keimanannya dan begitulah seterusnya.”
“Fikir dulu masak-masak sebelum bapa menjawab,” kata Isabella, “bapa kata saya bodoh tetapi topik itu mungkin tidak padan dengan bapa. Dengar kata Jesus Kristus seperti tertulis dalam Injil Jonah 14:12 ini. Barangsiapa beriman dengan aku akan melakukan kerja yang aku lakukan. Jadi, Kalau mukjizat itu ditafsirkan sebagai masalah rohaniah semata-mata maka kesimpulannya ialah Kristus tidak menghidupkan yang mati, juga tidak mencelekkan mata yang buta, juga tidak menyembuhkan yang sakit tetapi dia cuma menyembuhkan rohaniah yang mati, roh jahat dan mebina di dalamnya cahaya keimanan. Tetapi bapa-bapa tidak mahu mengaku interpretasi tentang Kristus serupa ini, jadi mengapa pula bapa-bapa reka tugas baru untuk orang lain? Kristus berkata ‘kerja yang aku lakukan’, jadi apa yang dilakukan olehnya dalam bentuk bagaimanapun juga, penganut-penganut Kristian mesti ikut melakukannya dan dalam bentuk yang sama pula, kalau tidak mereka itu tidak beriman.”
“Memang susah mahu membuat gadis yang ingkar ini mengerti.” kata Peter. “Ubatnya bukan lagi dengan desakan tetapi seksaan yang sama yang dilakukan oleh inquisisi*.”
Kemudian Peter berkata kepada Michael “Anda usir dia dari rumah ini dan beritahu bapanya yang suci bahwa dia sudah tidak dapat diubati lagi. Cara lain mesti dilakukan.”
Dengan mengucapkan kata-kata itu, Michael dan Peter bangun dari kerusi lalu masuk ke dalam bilik sebelah untuk berbincang.

Setelah bapanya dan Peter masuk ke bilik sebelah, Mirano pun segera menemui Isabella dan menasihatinya supaya meninggalkan rumah itu seberapa cepat yang boleh, kalau tidak dia pasti akan mendapat kesusahan besar. Sebelum Isabella keluar mereka lebih dulu berjanji akan berjumpa di Taman Cordova pada petang itu untuk memikirkan tindakan selanjutnya yang akan mereka lakukan. Setelah berteguh-teguhan janji, Isabella pun segera keluar dari rumah Michael, lalu terus pulang ke rumahnya. Dalam masa dia menghayun langka, fikirannya melayang ke rumahnya. Apa gerangan yang akan menunggunya di sana? Bagaimanapun ketika dia sampai, ibunya menyambut dengan muka manis dan memaksanya makan sedikit. Setelah makan, Isabella meminta izin kepada ibunya untuk masuk ke dalam bilik. Fikirannya agak runsing sedikit, sehingga dia tidak dapat berfikir apa yang patut dilakukan pada waktu itu. Jadi, sementara menunggu hari petang, dia berlengah-lengah di tempat tidurnya. Dia melihat perpustakaannya yang penuh dengan berbagai-bagai buku dan barang-barang miliknya dengan perasaan sayu. Dia kemudian melayangkan pemandangan ke setiap sudut bilik itu. Fikiran berkelana jauh. Apakah dia akan ditakdirkan tinggal di situ lagi atau ada orang lain yang akan menempati dan menggunakan semua buku dan barang-barangnya? Kemudian bawahsedarnya berkata: Biarlah sesiapa pun membaca bukunya dan menggunakan barang-barang miliknya, tinggal di bilik itu, dia akan pergi mencari kebenaran yang kini sudah dapat dicapai puncanya. Allah akan membimbingnya. Rasa syukur tidak terkira banyaknya kepada Dia yang telah menganugerahkan kepadanya nikmat kebenaran yang begitu besar dan tidak ada yang lebih besar daripada itu. Beribu-ribu buah rumah serupa itu boleh dikorbankan demi untuk memperoleh rahmat Islam. Sambil berkata-kata, Isabella lalu duduk bertelut di lantai. Kemudian, dia melakukan sujud syukur kepada Allah Yang Maha Berkuasa.Petang pun menjelang tiba setelah ditunggu dengan penuh harapan oleh Isabella. Memang nasibnya baik, pada masa itu ibunya sedang sibuk membuat sesuatu urusan di dalam biliknya. Isabella pun keluar perlahan-lahan menuju ke rumah gurunya, Michael. Dia mendapati Mirano sudah siap menunggu. Mereka lalu berjalan bersama-sama menuju Taman Cordova. Di dalam perjalanan, Mirano dalam diam-diam memperhatikan perubahan pada diri sahabatnya. Wajahnya murung tidak seperti biasa.
“Isabella,” ujar Mirano, “aku lihat anda di dalam kesusahan besar. Kenapa? Karena anda mau berpisah dengan keluarga?”
“Aku di dalam keadaan yang sulit setelah pulang dari rumah anda tadi.” jawab Isabella. “Waktu aku hendak keluar kalau tidak karena ibuku sibuk di biliknya, aku tentu tidak dapat memenuhi janji kita ini. Tuhan saja yang mengetahui apa yang akan dilakukan olehnya. Tetapi sekarang dengan rahmat Allah, aku tidak khuatir lagi. Aku sudah bersedia menghadapi apa jua percubaan demi kebenaran.”
“Isabella,” kata Mirano, “aku sangat kagum dengan anda. Anda telah memberikan pukulan yang hebat waktu menjawab hujah-hujah bapaku dan Peter. Mereka semua tercengang-cengang, tidak dapat menjawab. Hairannya, hujah-hujah anda semuanya berdasarkan Kitab Injil.”Mereka sudah sampai di taman dan di sana sahabat mereka, Catherine dan Martha, sedang menunggu.
“Dari jauh kami melihat anda berdua sangat asyik bercakap.” tegur Martha. “Bolehkah kami ikut tahu sama?”
“Kami bercakap tentang perbahasan Isabella dengan bapaku dan Peter pagi tadi.” jawab Mirano.
“Bapamu dan paderi tua itu seperti tidak dapat berhujah dengan Isabella.” kata Martha. “Rahib yang seorang lagi itu siapa agaknya? Dia diam saja.”
“Aku tidak pernah melihatnya sebelum ini.” kata Isabella.
Pada waktu itu barulah mula terfikir olehnya tujuan rahib itu ikut serta mendengar perbahasan. Air mukanya pun berubah.
“Kenapa muka kau pucat tiba-tiba?” tanya Mirano.
“Oh, tidak ada apa-apa.” jawab Isabella cuba menyembunyikan kebimbangannya. “Apa yang kau mau katakan tadi, Martha?”
“Aku hairan,” ujar Martha yang tidak sedar akan perubahan pada wajah Isabella. “walaupun mereka itu telah terpukul begitu hebat, mereka masih tetap tidak mahu mengaku.”
“Mereka mungkin tidak mengaku dengan lidah tetapi aku percaya hati kecil mereka membenarkannya.” jawab Mirano. “Sesudah kalian meninggalkan rumahku tadi, aku mendengar bapaku berkata kepada Peter bahwa memang benar tidak ada bukti tentang ketuhanan Kristus di dalam Injil. Tetapi biar bagaimanapun kita terpaksa patuh kepada keputusan gereja, kata bapaku. Aku nampak Peter terpengaruh dengan ketegasan hujah-hujah anda karena dia berkata semua hujah-hujah anda itu cukup kuat.”
“Dalam perbahasan pagi tadi, Islam terbukti agama yang benar, sementara agama Kristian tidak ada apa-apa kecuali kesesatan saja.” kata Martha seperti mengeluh.Setelah mereka duduk di suatu tempat yang agak terpencil dari orangramai, Mirano lalu bertanya kepada Isabella.
“Apakah anda sudah membuat keputusan mahu meninggalkan bapa, mama, adik-adik dan abang-abang dan kaum keluarga serta kehidupan selesa serba mewah? Dan apakah tindakan anda kalau bapa anda berkeras mau menyerahkan anda kepada inquisisi?”
Mendengar pertanyaan Mirano itu, Martha dan Catherine memandang muka Isabella sambil menunggu jawaban dengan hati yang berdebar-debar walaupun jawabannya itu telah mereka duga dari awal. Isabella memegang bahu Mirano sambil memandang muka Martha dan Catherine.
Dia berkata dengan suara yang tetap dan perlahan, “Aku kini telah membebaskan diriku daripada semua fikiran yang bukan-bukan. Allah telah menganugerahkan kepadaku nikmat Islam dan Dia juga akan membimbing aku menjalani hari depanku serta tidak akan mensia-siakan niat yang baik. Aku menemui ketenangan yang luarbiasa daripada ayat-ayat Al-Quran yang maksudnya begini: Barangsiapa yang takut akan Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keselamatan dan akan memberikan kepadanya rezeki dari tempat yang sama sekali tidak disangka-sangkanya.”

Ketiga-tiga sahabatnya diam terpegun mendengar kata-katanya. Sejurus lamanya, apabila tidak ada yang berkata-kata, Mirano memecah kesepian dengan bertanya, “Anda berjanji akan membawa kami menemui Ziad bin Umar dan kawan-kawannya. Bila?”
Isabella seperti tersentak. “Kalau kita mahu pergi ke sana, kita mesti pergi lebih awal sedikit. Jadi, lebih banyak ilmu yang kita dapat dan tidak akan terlalu lewat pulang ke rumah.”
“Anda mahu memberitahu kepada Ziad tentang perbahasan anda pagi tadi?” tanya Mirano.
“Ya. Kenapa pula tidak?” balas Isabella. “Nah, mari kita bertolak sekarang dan sampai di sana waktu solat isyak. Kita duduk kira-kira satu jam sebelum kita pulang.”

Isabella dan sahabat-sahabatnya keluar dari Taman Cordova. Mereka mengambil jalan yang menuju ke masjid besar Cordova. Dalam perjalanan, Isabella memberitahu sahabat-sahabatnya bahwa walaupun pada batinnya dia sudah menjadi Islam tetapi dia belum lagi secar rasmi menganutinya. Dia akan memeluk agama itu melalui Ziad bin Umar. Dengan demikian, Allah akan lebih menguatkan lagi imannya, memberi dia keberanian dan seluruh jiwaraganya akan diserahkan kepada Allah. Semua sahabat-sahabatnya sangat gembira dan mengucapkan tahniah di atas niatnya yang baik. Mereka lebih dulu singgah di rumah Umar Lahmi yang bersambung dengan tempat kediaman Ziad bin Umar. Kedatangan mereka telah diberitahu kepada Ziad oleh Umar Lahmi.

Selesai solat isyak, maka berhimpunlah cerdikpandai, alim ulama, para pengikut , ahli Hadis, penyair, penulis, ahli akademik dan para cendekiawan. Setelah bertukar-tukar khabar, Umar Lahmi meminta kebenaran Ziad untuk menjemput anak-anak gadis yang sedang menunggu di rumahnya. Ziad dengan segera memberi persetujuan. Anak-anak gadis itu pun dibawa ke hadapannya. Mereka masuk dengan penuh hormat dan tertib. Masing-masing mengambil tempat duduk di atas hamparan agak jauh sedikit di hadapan Ziad bin Umar. Setelah bertanyakan khabar tentang keadaan mereka, Isabella pun menceritakan kisah perbincangan dengan bapanya, ketua paderi dan lain-lain paderi serta kisah perbahasan dengan gurunya, Michael dan Peter tentang masalah lain dan hujah-hujah yang dikeluarkan olehnya. Para hadirin menyambut keterangannya itu dengan perasaan gembira dan mereka mengucapkan tahniah di atas keberanian Isabella. Mereka turut mengagumi ilmunya yang luas.
“Tuan yang dihormati,” kata Isabella kepada Ziad sesudah itu, “perkara ini sudah pun berlaku dan akibatnya akan kita lihat kemudian tetapi sekarang saya mohon tuan Islamkan saya secara rasmi supaya saya dapat ikut dalam persaudaraan Islam sedunia, yang mengimankan Allah yang Esa.”

Mendengar permohonan Isabella itu, Ziad pun memanggil Isabella supaya dekat dengannya. Disuruh Isabella membaca kalimah syahadat yang memang sudah lancar dihafal oleh Isabella. Seluruh hadirin menadah tangan sambil berdoa dengan penuh keikhlasan agar Isabella diteguhkan iman dan menjadi hamba yang berbakti.

“Anakku,” ujar Ziad setelah selesai doa diaminkan, “kini kamu telah rasmi menjadi umat Muhammad, penganut Islam. Maka sebagai wanita Islam, tutuplah kepalamu. Menurut ajaran Islam, wanita-wanitanya mesti selalu melindungi wajah dan mengerjakan solat lima kali sehari yang diwajibkan ke atasmu. Kamu tidak boleh meninggalkannya walaupun dalam keadaan yang bagaimana juga kerana ia adalah pintu kebahagian.”
Kemudian Ziad memandang kepada sahabat-sahabat Isabella. “Jadi, inilah kawan-kawanmu?”
“Ya, tuan.” jawab Isabella berpaling memandang sahabat-sahabatnya yang sedang duduk dan takjub dengan perhimpunan yang dirasakan amat berlainan dengan perhimpunan alim ulama agamanya.
“Itu Mirano, anak guru saya, Michael. Yang satu lagi Martha dan Catherine. Hanana tidak datang.”
“Apakah mereka masih ragu terhadap Islam?” tanya Ziad.
“Mereka tidak sedikit pun meragui akan kebenaran Islam dan seperti saya, mereka telah mempercayainya. Bila dikehendaki Allah, mereka dengan rasmi akan menyatakan keislaman masing-masing. Mirano barangkali ada yang mahu ditanyakan dan semuga saudara Umar Lahmi dapat menolongnya. Dia akan datang ke mari selalu untuk belajar.”

“Nampaknya sikap bapa saudara akan semakin keras terhadap saudara. Tidak menghairankan kalau satu masa nanti saudara diserahkan kepada inquisisi.” kata Umar Lahmi. “Michael dan Peter tentu telah melaporkan kepada bapa saudara. Bapa saudara tentu sudah bersikap antagonis sekarang ini. Apa yang telah saudara fikirkan tentang hal ini?”
“Saya fikir pun begitu. Waktu perbahasan pagi tadi, ada seorang rahib tua yang ikut serta. Saya fikir dia dari panel inquisisi. Allah lebih mengetahui apa yang akan terjadi. Saya telah menyerahkan masalah saya kepada Allah. Namun kalau bapa saya terlalu menekan, ada kemungkinan saya pindah ke rumah tuan.” jawab Isabella.
“Saudara boleh pindah ke mari bila-bila masa saja.” jawab Umar Lahmi. “Bagaimanapun saudara terpaksa melakukannya pada suatu hari nanti kerana orang-orang Kristian itu agak kolot sikapnya, mereka akan menekan saudara dan tidak akan membiarkan bebas begitu saja apabila mereka mengetahui saudara telah memeluk Islam.”
Isabella berkata kepada Ziad bin Umar, “Tuan yang mulia. Doakan saya agar Allah memberikan ketabahan dan kesabaran. Sekarang saya minta izin pulang dulu.”
Ziad bin Umar dan semua hadirin mengucapkan selamat jalan kepada Isabella dan sahabat-sahabatnya sambil memanjatkan doa agar mereka sentiasa di dalam perlindungan Allah.

Setelah meninggalkan rumah itu, Isabella dan sahabat-sahabatnya pulang ke rumah masing-masing sambil berteguh-teguh janji akan bertemu lagi. Apabila sampai di rumah, ibunya menunggu seperti biasa dan tidak banyak bertanya. Mereka lalu makan bersama-sama. Setelah selesai, Isabella meminta izin masuk ke biliknya.
Isabella tidur di dalam biliknya yang terletak di salah satu sudut rumah. Lama sebelum fajar menyingsing, dia telah terbangun. Dia tidak keluar dari bilik. Waktu sedang berbaring-baring, kedengaran suara azan sayup-sayup dari menara masjid besar Cordova. Mendengar laungan Allahu Akhbar! Allahu Akhbar! membuat hatinya menjadi terharu. Kebesaran dan kehebatan Allah, kekuasaanNya menyelinap masuk ke dalam hati, menimbulkan rasa takut sehingga tanpa disedari airmatanya meleleh jatuh. Dia lalu turun berlutut di lantai dan mencecahkan dahi ke lantai, bersujud kepada Maha Pencipta bumi dan langit.
“Oh Allah. Berikanlah kepadaku kasihMu dan juga kepada orang-orang yang mendapat rahmatMu. Oh Allah. Limpahkanlah cahaya Islam dan tauhid ke dalam hatiku dan jadikanlah ketaatanku kepada RasulMu sebagai jalan hidupku. Oh Allah. Aku bersyukur kepadamu kerena telah menjadikan aku salah seorang pengikut Rahmat Dunia. Oh Allah. Cucurilah hidayat kepada ibubapaku, keluargaku dan semua orang-orang Kristian dan mereka yang sesat dari rahmat Islam. Berilah kami semua hidup dan mati dalam agama Islam. Oh Allah. Makbulkanlah doa hambamu yang tertekan ini kerana Engkau Maha Mengetahui dan Maha Melihat.”

Setelah mengucapkan doa itu, Isabella merasa dadanya menjadi ringan seolah-olah suatu beban yang berat sudah terangkat dan hatinya menjadi terhibur. Dia menemukan suatu perasaan yang penuh dengan kesabaran, kegigihan dan rasa gembira yang amat sangat. Dia terlalu gembira kerana telah dapat memiliki kekayaan Islam dan dengan itu dia tidak lagi merasa takut kerana tauhid telah mengikis semua rasa takut yang ada dalam dirinya kecuali takutkan Allah saja.

Ibu Isabella tidak begitu peramah pada pagi itu. Dia tidak bersarapan bersama-sama anaknya seperti biasa. Isabella sudah menduga bahwa perbahasan antaranya dengan Peter dan Michael telah pun sampai ke pengetahuan bapanya. Mereka tentu telah menyakinkan bapanya bahwa dia sudah murtad dan semua pintu untuk membujuknya kembali dalam pelukan agama Kristian telah tertutup rapat. Dalam keadaan gelisah, Isabella menunggu kepulangan bapanya dari gereja; menunggu hukuman yang akan dikenakan ke atasnya


BAB 10 1 KOMPLOTAN
Setelah keluar sebentar untuk sarapan, Isabella kembali semula ke biliknya. Ibunya tidak kelihatan dan menurut pembantu rumah, ibunya telah bersarapan awal dari biasa. Isabella tidak mengesyaki apa-apa cuma terasa sudah ada bibit-bibit kerenggangan sudah mula ada. Bagaimanapun tekadnya sudah bulat. Dia sanggup menghadapi apa saja demi untuk mempertahankan keislamannya. Dia tidak akan melepaskan lagi jalan kebenaran yang telah diperolehinya itu. Dalam masa dia berfikir, pintu biliknya diketuk orang. Ketika dibuka, pembantu rumah memberi sepucuk surat yang bersampul.
“Ini dari pembantu rumah Nona Mirano,” katanya, “dia sedang menunggu di luar.”
Isabella segera membuka surat. Dia merasa hairan melihat tulisan surat itu bukan tulisan Mirano. Tentu ada sesuatu perkara yang telah terjadi ke atas dirinya, fikir Isabella.

Saudara Isabella.
Aku mesti berjumpa dengan anda segera kerana ada perkara penting yang hendak kusampaikan. Harap anda datang pada waktu ini juga. Jangan lengah-lengahkan lagi, terlalu penting. Aku sedang menunggu di sebuah rumah lain. Datanglah bersama-sama dengan pembantu rumahku ini.
Saudaramu, Mirano

Tanpa mengesyaki sesuatu, Isabella mengikuti pembantu itu. Mereka berjalan melewati Qasrul Syuhada lalu berjalan lurus menuju ke Rabat Ramani. Isabella merasa hairan kerana selama dia berkawan dengan Mirano, mereka belum pernah sampai ke tempat itu. Mirano pun tidak pernah menceritakan kepadanya tentang sesiapa di antara keluarga atau kenalannya yang tinggal di daerah tersebut. Tentu Mirano dalam kesusahan, fikirnya lagi. Tidak jauh dari Rabat Ramani, mereka membelok ke sebuah lorong dan pembantu rumah itu membawa dia masuk ke dalam sebuah rumah yang cukup besar. Sebaik saja Isabella masuk, pintu halaman ditutup. Begitu juga dengan pintu depan. Isabella dibawa ke sebuah bilik. Apabila pintu bilik ditutup, barulah Isabella sedar bahwa dia telah ditipu dan dijadikan tawanan. Kesedaran itu telah terlambat. Tiga orang rahib masuk ke dalam bilik menerusi pintu lain. Mereka menolak Isabella dengan menggesanya menuruni anak tangga yg membawa mereka ke bawah tanah. Isabella berpaling untuk berkata sesuatu kepada pembantu rumah Mirano tetapi pembantu itu sudah tiada lagi. Hilang sekelip mata.

Perasaan Isabella menjadi gempar dan sedarlah dia sekarang bahwa dirinya telah berada di dalam cengkaman inquisisi. Kakinya agak berat mahu melangkah turun. Ketika itu juga, salah seorang rahib menumbuk belakangnya dengan kuat. Sebagai seorang gadis yang perwatakannya lemah-lembut, terasa pukulan itu seperti satu batu besar yang jatuh menimpa belakangnya. Dia hampir jatuh tersungkur ke depan.

“Perempuan terkutuk!” sumpah rahib yang memukul tadi. “Jalan cepat! Tengok itu api Tuhan Jesus Kristus sudah tidak sabar lagi menunggu untuk membakarmu, perempuan sial! Kau telah menghina agama Kristian dan menyeret kehormatan bapamu, ketua paderi, masuk ke dalam lumpur.”
Isabella yang malang tidak menjawab. Tubuhnya menggigil dan belakangnya terasa terlalu sakit. Dia melangkah turun ke dalam ruang di bawah tanah itu, yang kelihatan kelam dan suram. Dari samar-samar kelam, dia terpandang kerangka manusia berselerak di semua sudut. Ada tengkorak bergantungan di dinding. Salah seorang rahib menyalakan sebuah andang. Setelah itu, dia merapati Isabella.
“Nah, di sinilah tempat tinggalmu supaya kamu tahu akibat permusuhan dengan Tuhan Jesus Kristus, perempuan malang!”
Dia lalu menunjukkan kepada Isabella kerangka manusia.
“Inilah wakil kami yang akan mendera dan menyiksa kamu di sini.”
Isabella masih berdiam diri dan merasakan dirinya seperti sedang di dalam satu mimpi ngeri. Rahib-rahib lalu meninggalkan ruang lalu memasang kunci pada pintunya. Mereka beredar ke bilik lain untuk beribadat. Sejurus kemudian, barulah Isabella sedar bahwa dia dipenjarakan sebagai satu seksaan kerana sudah tidak beriman.

Isabella tidak tahu apakah hari masih siang ataupun sudah malam kerana dia merasa sudah begitu lama sekali dikurung di ruang bawah tanah itu. Kemudia dia dibawa keluar untuk diberikan semangkuk kacang tanah yang sudah digoreng dan dikisar lumat dengan segelas air minum. Rahib-rahib masih menghina dan mencacinya. Setelah itu, Isabella dibawa ke sebuah bilik lain. Di dalamnya, Isabella melihat ada beberapa orang rahib sedang dalam keadaan yang amat khusyuk. Tujuan mereka membawa Isabella ke situ agar dapat menyedarkan Isabella tentang keluhuran agama Kristian apabila dia melihat kekhusyukan para rahib.

Isabella memerhatikan dengan penuh minat. Seorang rahib terbaring tidur. Kaki dan tangannya diikat dengan rantai. Seorang lagi memukul-mukul tubuhnya dengan cemeti. Agak ngeri juga dia melihatnya. Terlintas di dalam fikiran mungkin orang itu dianggap ada membuat kesalahan seperti yang dilakukannya tetapi kemudian dia mendapat tahu bahwa semua penyeksaan diri yang dilakukan oleh rahib-rahib ialah suatu cara untuk menundukkan diri sendiri dan penyeksaan diri serupa itu dilakukan atas kemauan rahib itu sendiri. Di dalam sebuah bilik besar yang lain, terdapat patung Mariam Perawan. Di sekelilingnya duduk rahib lelaki dan perempuan, tenggelam di dalam tafakkur. Ada rahib yang tidur menelungkup di atas lantai dan ada yang menangis teresak-esak di sudut-sudut di sekitar dinding bilik. Sebagai usaha untuk menaklukkan diri mereka, mereka berpuasa selama 20 atau 21 hari. Isabella telah mengetahui keadaan itu tetapi inilah pertama kali dia melihat sendiri.

Seorang rahib tua berkata kepada Isabella, “Wahai gadis jahanam! Jikalau kau mahu mendapat keselamatan, amalkan cara hidup sederhana serupa itu dan kamu akan disenangi oleh Tuhan Jesus Kristus.”
Isabella tertawa mendengarnya. “Kenapa Tuhan menyuruh hidup serupa itu? Tujuan agama ialah memberikan tugas kepada manusia untuk membuat kebajikan kepada sesama manusia bukan disuruh menggantung diri sendiri di sudut bilik seperti kelawar. Lagi pula menurut anda, Jesus sudah menebus dosa semua orang-orang Kristian maka perbuatan menyeksa diri serupa itu sudah tidak ada gunanya lagi.”
Mendengar kata-kata Isabella, mata rahib itu menjadi merah kerana terlalu marah. Dia menumbuk dada Isabella dengan sekuat-kuatnya .
Dia memekik, “Perempuan isi neraka! Kau sudah tidak boleh dipujuk lagi. Pergi duduk di tempatmu. Di sana nanti akan kami ajar!”

Kembali Isabella ke ruang bawah tanah yang dipeuhi dengan tulang-tulang dan tengkorak manusia. Pada mulanya, perasaan Isabella terganggu sedikit dengan keadaan sekitar yang mengerikan. Lama kelamaan dia sedar akan kedudukannya dan mulai dapat menenangkan diri. Dia pasrah dengan apa yang akan dihadapinya di hari depan.
Dikuasainya diri sendiri dan berdoa kepada Allah.

Dalam keadaan yang sunyi sepi begitu, sedikit bunyi saja dapat kedengaran dan Isabella akan memasang telinga. Ruang yang gelap gelita mulai mendapat sedikit cahaya apabila bilah-bilah sinar matahari menembusi masuk dari lubang-lubang kecil yang ada di dinding bilik. Isabella sedar malam sudah berlalu. Tidak lama kemudian, pintu dibuka orang dan seorang rahib membawanya naik ke sebuah bilik yang lebih besar. Dalam bilik itu terdapat patung dua belas orang Pengikut Kristus dan lain-lain patung para martir. Dua orang paderi duduk menghadap ke sebuah meja. Isabella disuruh duduk berdepan dengan paderi-paderi itu. Isabella tahu mereka adalah paderi-paderi termahsyhur di Sepanyol. Dia pernah melihat mereka di rumah bapanya.

Mula-mula, paderi-paderi itu menyumpah-seranah Isabella dengan berbagai-bagai kutukan yang diucapkan dalam keadaan marah. Kemudian mereka menuduhnya murtad, memberi malu kepada bapanya, seorang paderi yang dihormati, mencemarkan agama Kristian dan sebagainya. Setelah itu, baru mereka berlembut dan berdakwah.
“Sudahkah kau masuk Islam?”
“Syukur kepada Allah yang telah memberikan kepada saya nikmat Islam.” jawab Isabella.
“Sudah!” ujar salah seorang paderi. “Hentikan puji-pujian kepada Islam. Beritahu kami apakah kau mahu mati dengan kematian yang memalukan ataupun kau mahu kembali menjadi hamba Tuhan yang dirahmati?”
“Setelah menjadi Islam tiap-tiap orang sudah menjadi hamba Tuhan yang dirahmati dan tidak ada orang yang lebih beruntung daripada mereka yang diberi peluang untuk menerima Islam kerana hanya inilah saja agama yang diredhai Allah.”
“Jangan memuji-muji agama terkutuk seperti Islam di hadapan kami. Kami cuma mahu mendengar dua perkataan saja, apakah kau mahu mati atau mahu hidup di dalam agama Kristian? Jawab segera kerana nasibmu akan diputuskan pada hari ini juga.”
“Betapa penderitaan dan seksaan yang telah dialami oleh martir-martir Kristian pada zaman permulaan dulu, tetapi mereka tidak membuang agamanya.” jawab Isabella.
“Mereka telah dibakar hidup-hidup, dicampak ke dalam kandang harimau dan singa dan dipotong dua tetapi mereka tetap berpegang teguh pada kepercayaannya. Andaikata kerana keimanan seseorang itu mesti menghadapi kematian maka itu bermakna dia telah mendapat kerelaan Tuhan dan mendapat kepuasan batinnya sendiri. Saya sekarang sudah berada di jalan yang benar, tidak ada satupun di dunia bahkan kematian juga, dapat memesongkan pendirian saya. Kitab Suci Al-Quran telah mengajar saya bahwa sembahyang saya, pengorbanan saya, hidup dan mati saya semata-mata untuk Allah yang tiada sekutu bagiNya. Saya sudah bertekad untuk tetap mempertahankannya dan saya ternasuk orang-orang yang bertaqwa.”
“Jadi bererti kau tidak mahu meninggalkan Islam dan kembali ke dalam kasih Tuhan Jesus Kristus.” kata salah seorang paderi itu.
:Nasibmu akan diputuskan hari ini!”
“Apa saja keputusan yang tuan buat, buatlah tanpa takut dan menurut kata hati tuan yang sebenarnya.” kata Isabella. “Paling banyak pun, tuan hanya boleh mengambil nyawa saya saja tetapi tuan tidak tahu bahwa saya sebagai hamba Allah, Allah hidup abadi.”
“Bila kematian sudah berada di hadapanmu,” jawab salah seorang paderi, “barulah kau akan lupa semua ayat-ayat Quran dan Allah serta lain-lainnya. Kami baru boleh mengerti kalau Quran atau Muhammad boleh menyelamatkan kau dari kematian.”

Isabella tersenyum kecil.
“Masalah serupa itulah yang telah dikemukakan oleh orang-orang Yahudi kepada Jesus Kristus dulu iaitu kalau dia di jalan yang benar maka dia mesti turun dari salib itu dan menyelamatkan nyawanya. Kini, adakah Kristus di pihak yang salah menurut tuan kerana dia tidak dapat menyelamatkan nyawanya dari kematian ataupun tuan semua telah mengikut jejak langkah orang-orang Yahudi itu.”
“Syaitan! Isi neraka! Otak iblis! Tak berguna! Sial!” Paderi itu melenting lalu bangun dan membeliakkan matanya kepada Isabella. “Kau panggil aku Yahudi! Kau diam! Tunggulah kematianmu!”
“Memang baik begitu kalau tuan juga diam dan biarkan saya sendirian. Tuan boleh buat apa yang tuan suka.” kata Isabella.
Paderi yang sedang marah memanggil rahib-rahib yang sedang berdiri mengawal Isabella.
“Kurung perempuan ini di ruang bawah tanah itu. Jangan diberi dia makan atau minum. Bapanya telah mengarahkan supaya dia diserahkan kepada inquisisi dan nasibnya akan ditentukan esok.”
Mendengar perintah itu, rahib-rahib pun menangkap Isabella dan menolaknya secara kasar. Sambil menyorong-nyorongnya ke hadapan, mereka memukul dan membawanya keluar dari bilik itu. Ketika di luar bilik, mereka lebih berleluasa memukul Isabella hingga dia jatuh tersepuk di atas lantai. Dia ditarik bangun dan didorong sehingga sampai ke ruang bawah tanah. Kemudian, Isabella ditolak masuk hingga jatuh ke lantai lalu pintu ruang itu pun dikunci.

Sudah tiga hari Isabella di dalam kurungan dan tidak sekali pun dibawa keluar lagi. Isabella tetap cekalkan hati dan memberanikan diri. Walaupun pada waktu malam, ketika suasana menjadi hening sepi, tengkorak dan tulang-tulang kerangka manusia menjadikan suasana menakutkan, ketenangan hati yang diperolehnya membuat dia tidak merasa takut. Sayup-sayup sampai ke telinganya, suara ngauman para rahib sedang melakukan ibadat dan adakala kedengaran ucapan, esakan dan raungan rahib-rahib perempuan yang sedang menyeksakan diri mereka.

…………..

Berita kehilangan Isabella telah diketahui oleh Mirano daripada pembantu rumah yang telah digunakan oleh komplotan paderi-paderi untuk menculik Isabella. Mirano segera menghubungi Martha, Hanana dan Catherine. Dari penyelidikan mereka, ternyata Isabella telah dikurung dan diseksa di bawah kolong sebuah rumah yang dijadikan sebagai sebuah biara yang letaknya tidak jauh dari Rabat Ramani. Keempat orang gadis itu pun membuat keputusan untuk memberitahu hal itu kepada Umar Lahmi dan Ziad bin Umar.

Pada suatu malam, secara sembunyi-sembunyi, mereka telah ikut hadir dalam satu perhimpunan di rumah Ziad bin Umar. Semua yang hadir terperanjat mendengar berita sedih itu, lebih-lebih lagi Umar Lahmi. Dia tidak memperlihatkan kegemparan hatinya kerana Ziad bin Umar sendiri menerima berita itu dengan tenang dan sabar.
“Demi Allah,” kata satu suara di antara para hadirin, “jikalau kita terus bersikap toleran serupa ini, orang-orang Kristian itu akan menjadi penghalang besar kepada dakwah Islam. Isabella yang sudah menjadi saudara kita kini dalam tawanan mereka. Menjadi tanggungjawab tiap-tiap kita untuk membebaskannya walau betapapun juga korbannya.”
Seorang hadirin berdiri dan bersuara dengan lantang sekali.
“Dengan izin tuan, saya akan pergi membebaskannya sekarang juga. Malang sekali, saudara kita sedang menghadapi seksaan dan kita duduk berpeluk tubuh. Memang satu kezaliman!”
Umar Lahmi memandang Ziad bin Umar sebelum dia berkata.
“Saudara-saudara, kegemparan dan jerit-pekik tidak dapat menolong kita. Perkara ini sekarang ada di dalam tangan guru kita, Ziad bin Umar. Kita semua akan mengikut apa jua arahannya.”
“Tuan Ziad,” kata hadirin, “kami menuruti apa saja perintah tuan.”
“Arahan saya kepada tuan-tuan semua,” ujar Ziad bin Umar, “ialah jangan melakukan tindakan yang terburu-buru yang akan mengakibatkan kematian Isabella. Jika kita mahu, kita boleh mengirim sepasukan tentera tetapi adalah lebih manfaat kalau kita melakukan tindakan yang strategis. Andaikata Isabella di dalam kesukaran maka insya’Allah itu akan mempertebalkan imannya. Iman itu ialah nilai Islam yang hanya dapat dicapai melalui percubaan.”

Umar Lahmi lalu memandang kepada Mirano dan sahabat-sahabatnya.
“Nah, bagaimana pula pendapat saudara-saudara sekalian? Sampai setakat mana saudara-saudara boleh menolong Isabella?”
“Sekiranya kami dibenarkan menolong,” kata Mirano, “kami dengan mudah dapat melepaskan saudara kami itu dari kesukaran.”
“Terima kasih banyak.” ujar Umar Lahmi.
“Saudara-saudara, kami beri kebenaran untuk melakukan apa saja bagi membebaskan Isabella.” kata Ziad bin Umar.
Setelah mendapat kebenaran dari Ziad bin Umar, keempat-empat anak gadis itu pun meminta diri. Dalam perjalanan pulang, mereka membuat satu rancangan dan berteguh-teguhan janji akan merahsiakan rancangan itu.


Related Post



0 komentar:

Posting Komentar

 

Site Info

Blog ini akan terus di update tiap hari, jangan lupa terus berkunjung untuk mendapatkan update nya...thanks

Smile

Welcome to my blog

AntaraIslamdanKristen Copyright © 2009 Template is Designed by Pengelana Agama Special for My BrotherYohanes Adi Susilo